Classic Shoyu Ramen Bersama Ajitama Resepi dari Tokyo di Maruki Ramen The LINC, Kuala Lumpur

Shoyu Ramen di Maruki Ramen
Selain sushi, ramen juga antara makanan Jepun yang sangat dikenali — selalunya dalam keadaan mi segera. Namun, tidak seperti mi segera, penyediaan ramen secara aslinya boleh memakan masa sehingga berjam-jam.

Ramen yang mudah disediakan seperti shoyu ramen juga mengambil masa setengah jam untuk disiapkan. Ini belum diambil kira masa yang diperlukan untuk dapatkan bahan-bahannya.

Tambah pula dengan kemahiran yang diperlukan untuk ikut langkah-langkah penyediaan, ada baiknya kalau kita pergi je ke restoran makanan Jepun.

Maruki Ramen di The Linc

Meja dan kerusi di Maruki Ramen
Walaupun kita boleh dapatkan ramen di Sushi King, Ichiban Ramen dan Sukiya, untuk dapatkan ramen yang, penulis percaya; lebih autentik kita boleh ke restoran Seirock-Ya ataupun Maruki Ramen.


Alamat: The LINC KL, Lot 2-23, Level 2, 360, Jln Tun Razak, Taman U-Thant, 50400 Kuala Lumpur.
Waktu: Ahad - Khamis (10:30AM - 9PM), Jumaat & Sabtu (10:30AM - 9:30PM)

Memandangkan Maruki Ramen di The Linc, Kuala Lumpur hanyalah 5 minit perjalanan dari LRT Ampang Park, penulis buat keputusan untuk singgah ke sana sebelum ke KLCC, dan kemudian KL Sentral untuk menaiki ETS pulang ke kampung.

Classic Shoyu Ramen

Classic shoyu ramen bersama ajitama di Maruki Ramen
Untuk dapatkan rasa ramen yang asli, tradisional dan autentik, penulis membuat keputusan untuk mencuba shoyu ramen walaupun penulis lebih tertarik dengan kara miso.

Di Maruki Ramen kita boleh pilih antara superior shoyu dan classic shoyu. Bezanya, superior shoyu menggunakan sup yang ringan dan jernih, manakala classic shoyu pula menggunakan sup yang lebih keruh.

Menu classic shoyu ramen Maruki Ramen
Kedua-duanya menggunakan shoyu, atau kicap yang diimport atau dibawa khas dari Jepun. Namun, penulis lebih tertarik dengan classic shoyu kerana kuahnya yang kelihatan pekat.

Dalam semangkuk shoyu ramen kita akan dapat sup, mi, chashu ayam, dan daun bawang. Untuk rasa yang lebih mantap, boleh pesan shoyu ramen bersama ajitama atau telur.

Semangkuk shoyu ramen boleh dimakan dua orang, mi, daun bawang dan supnya banyak. Ajitama atau telur cuma separuh, tapi dimasak dengan sempurna bahagian kuningnya sedikit cair.

Notis tempoh waktu dine-in
Rasa shoyu ramen agak masin dan, tak seperti yang penulis sangka; sedikit pahit. Masinnya datang dari shoyu, dan pahitnya pula mungkin dari chashu ayamnya yang penulis lihat ada kesan bakar.

Chashu ayamnya yang lembut boleh kurangkan rasa masin apabila dimakan bersama mi dan sup. Penulis lupa nak kira berapa keping chashu ayam yang penulis dapat.

Bahan-bahan Boleh Ditambah

Secawan teh hijau
Kalau rasa ada bahan yang tak cukup, boleh je pesan add-on. Antara bahan yang kita boleh add-on ialah ajitama, chashu ayam, daun bawang, nori, dan hirisan daging.

Memang mudah kalau berkongsi ramen untuk dua orang, boleh pesan ayam dan telur lebih. Harga add-on bermula daripada RM4.90 sehingga RM10.90.

Rasa Autentik Shoyu Ramen?

Pelanggan sedang menikmati ramen di Maruki Ramen
Penulis tak pasti sama ada inilah rasa shoyu ramen yang asli. Rasanya tidaklah terlalu rumit atau kompleks, dan rasanya juga tidak seperti menggunakan stok ayam segera atau msg.

Shoyu ramen di Maruki Ramen nampak lebih premium berbanding di Nippon Sushi. Telurnya pula bagi penulis sempurna, tak terlebih masak macam yang penulis makan di Ichiban Ramen dulu.

Susah nak bandingkan ketiga-tiga ramen yang penulis pernah cuba dari Maruki Ramen, Nippon Sushi, dan Ichiban Ramen sebab penyediaan ketiga-tiganya berbeza. Nippon Sushi menggunakan sup jernih, Ichiban Ramen pula ada rasa miso.

Yang pasti, shoyu ramen di Maruki Ramen lebih masin, ramennya lebih banyak, dan rasa supnya agak berbeza. Lain kali penulis ke Maruki Ramen, penulis akan cuba ramen kara miso pula untuk rasa yang lebih "kick".

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top