Berbaloi ke Sangkut Dalam Trafik Hanya Untuk Makan Lokching di Rantau Panjang?
Penulis ingat lagi, suatu masa dahulu penulis perlu ke Kelantan kalau nak makan lokching atau sosej siam. Tak pun, kena tunggu adik penulis yang belajar di Kelantan balik ke rumah pada waktu cuti.
Tapi sekarang lokching ada di mana-mana, dah tak perlu ke Kelantan atau Perlis. Boleh jumpa di pasar malam atau di restoran makanan siam, nak beli yang sejuk beku di Shopee pun ada.
Cuma, kalau dah alang-alang sampai ke Rantau Panjang, Kelantan rugilah kalau penulis tak makan lokching. Sebab harganya di sini ada yang lebih murah berbanding di Selangor atau Pahang.
Lokching di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang
Ada banyak gerai lokching di tapak perniagaan zon bebas cukai Rantau Panjang yang menjual lokching bakar pada harga antara RM1 ke RM3 sejenis. Pilihan yang ada pun sangat banyak.
Walaupun kebanyakan gerai atau restoran menjual lokching yang sama, yang membezakannya adalah sos. Penulis sangat sukakan sos yang dicampurkan ketumbar — lebih dinamik dan tak membosankan.
Kalau boleh, tak perlu dibakar lokchingnya sehingga ada bahagian yang hangus — kanak-kanak kurang suka. Kalau susah nak kawal api, mungkin boleh cuba jual lokching goreng — cuma perlu goreng dalam beberapa saat, sedap juga.
Di gerai-gerai lokching ni juga ada jual kerabu mi segera, bolehlah kita makan dengan lokching. Selalunya kerabu mi segera dimakan dengan udang, sosej, dan filamen ketam.
Barangan Lain di Rantau Panjang
Sama seperti di Padang Besar, di sini juga ada jual banyak jenis kacang seperti badam, gajus, dan pistachio. Kalau nak dibandingkan dengan kacang tong garden, di sini lebih murah.
Nak cari permainan kanak-kanak, toto, alatan memasak, di sini jugalah tempatnya. Peniaga yang mencari kuali bersaiz besar, boleh cari di sini alang-alang dah ke Kelantan.
Sesak Pada Waktu Balik
Waktu perniagaan di zon bebas cukai Rantau Panjang cuma sehingga pukul 6 petang. Jadi, untuk mengelakkan kesesakan ramai yang akan balik sebelum pukul 5. Trafik pada waktu cuti jauh lebih teruk, dah mula sesak seawal 2:30 petang.
Jadi akan ada banyak kereta dari kawasan parkir yang tak dapat keluar, sebab kereta dari luar, yang secara undang-undangnya mempunyai hak laluan; tak bagi peluang kepada kereta dari kawasan parkir untuk keluar.
Waktu penulis ke Rantau Panjang, trafik sangat perlahan sampaikan nak keluar dari kawasan parkir pun susah, sebab tak ada orang yang mengawal trafik. Yang jaga kawasan parkir hanya kutip duit parkir, tak tolong jagakan trafik. Kalau beli kacang, boleh juga makan sambil menghadap trafik.
Sepatutnya, sama seperti ketika lorong bertukar dari dua kepada satu; kita perlu berselang seli. Disebabkan rakyat Malaysia kurang arif tentang "zipper merge", perlu ada orang yang mengawal trafik di simpang keluar parkir.
Apa Bezanya Lokching Kelantan?
Lokchingnya tak ada beza pun, rasa lokchingnya sama. Cuma, penulis sukakan sos siam yang digunakan di sini. Di tempat lain, rasa sosnya seperti sos siam maepranom tambah air gula.
Di sini ada yang campurkan ketumbar, rasanya lebih sedap. Kalau ada yang sediakan sos sama seperti yang penulis makan dengan ayam di restoran Boat Noodle, lagi terangkat.
Tentang kesasakan lalu lintas tadi, penulis nak tahu; lebih baik untuk balik awal ataupun lewat? Sesiapa yang tahu keadaan trafik sekitar 6 petang, boleh kongsikan di komen.
Post a Comment