Mi Hiris, Dumpling, dan Teh Babao di Restoran Mee Hiris China Muslim
Ini bukan pertama kali penulis menulis tentang mi. Sebelum ni penulis dah tulis tentang ramen yang penulis makan di beberapa restoran makanan Jepun seperti Nippon Sushi, Ichiban Ramen, dan Maruki Ramen.
Kali ni pergi ke sebuah restoran cina muslim yang menyediakan hidangan berasaskan mi juga. Cuma kali ni lain sedikit, sebab mi yang penulis cuba mempunyai rupa yang berbeza.
Mi yang penulis makan kali ni ialah mi hiris. Berbeza dengan mi tarik atau "la mian" yang mempunyai rupa yang sama seperti ramen, mi hiris atau "dao xiao mian" lebih menyerupai kuetiau.
Mee Hiris China Muslim
Di restoran Mee Hiris China Muslim, kita boleh dapatkan mi tarik dan mi hiris. Cuma penulis lebih tertarik dengan mi hiris sebab lebih sukakan kuetiau berbanding mi, jadi nak tahu juga apa bezanya dengan kuetiau.
Sehingga ke hari ni, Mee Hiris China Muslim ada sebanyak 22 buah cawangan di negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Mungkin dalam beberapa tahun lagi akan ada cawangan di negeri lain.
Mi Hiris Ayam
Untuk mi hiris, penulis pesan mi hiris ayam. Warna supnya jernih, 7 kepingan ayam tersusun elok bersama dengan sayur yang nampak macam bok choy. Hidangan juga ditaburkan dengan daun bawang dan bijan.
Rasa supnya mengingatkan penulis kepada Kuetiau Sup Tengkera di Melaka. Tak terlalu manis seperti di Gerai Sup Ketapang, rasanya lebih ringan, sedikit masin, dan rasa seakan-akan sup sayur.
Keistimewaannya di sini, mereka ada sediakan minyak cili atau "chili oil". Jadi kalau nakkan rasa yang lebih kick dan pedas, boleh cuba campurkan sesudu dua minyak cili.
Minyak cilinya tak berapa masin, sedikit tawar, mungkin 99% daripada bahannya cuma cili, rempah dan minyak, dan 1% garam. Ataupun tak ada garam langsung, untuk elakkan sup menjadi terlalu masin.
Mi hirisnya pula, lebih lebar berbanding kuetiau. Panjang dan bentuk setiap hirisan mi juga berbeza, memang nampak seolah-olah ia dihiris menggunakan tangan, bukannya mesin.
Sedikit kenyal, tak terlalu panjang, dan sedap dimakan. Selalunya penulis kurang gemar kuetiau yang lebar, tetapi untuk mi hiris ni penulis masih boleh terima.
Dumpling Daging
Disebabkan mi hiris tadi dah makan bersama ayam, untuk dumpling pula penulis pesan daging. Ada 10 biji untuk satu pesanan dumpling, pilihan antara ayam, daging, dan kambing.
Setiap hidangan dumpling juga disediakan bersama sambal yang nampak hampir sama dengan chili oil tadi, cuma rasanya sedikit berbeza. Penulis lebih sukakan chili oil yang diletakkan di atas meja.
Rasa yang asli dengan pengubahsuaian yang hanya sedikit, tak terlalu masin, dan sedikit tawar walaupun selepas dicecahkan dengan sambal. Tetapi, lebih sedap apabila dimakan bersama sup.
Rasa dan tekstur dumpling lebih kurang sama dengan mi hiris, mungkin kedua-duanya menggunakan tepung atau bahan yang sama. Sejujurnya, penulis lebih sukakan gyoza ayam. Dumpling di sini, bagi penulis; lebih kepada pelengkap kepada hidangan bersup berbanding untuk dimakan bersahaja.
Healthy Babao Tea
Di sini ada dua jenis teh herba, teh babao dan teh jasmine berherba. Teh babao ni nampak agak rare, belum pernah penulis cuba. Tak tahu rasanya macam mana selagi tak cuba.
Datang dengan gelas besar, dalamnya ada 8 jenis bahan. Antaranya, yang penulis kenal; ialah buah longan kering, lychee kering, daun teh, dan goji berry. Selebihnya? Penulis tak pasti.
Rasanya pula? Sangat pahit, boleh meremang bulu roma setiap kali minum. Mungkin tak ada gula batu seperti dalam kebanyakan resipi teh babao di internet.
Menu yang Pelbagai
Selain daripada mi hiris ayam, sudah tentulah ada mi hiris bersama daging rebus. Ada juga mi yang disediakan tanpa sup, dan menu-menu lain seperti telur goreng, ayam kung pao, ayam xin jiang, cendawan goreng, dan ikan hot & sour.
Nasi putih pun ada, boleh pesan bersama lauk seperti cendawan, ayam, kubis, cauliflower, atau daging. Nasi goreng pula ada pilihan antara nasi goreng telur, udang, ayam, atau daging.
Untuk menu yang penulis pesan tadi, harga mi hiris ayam, dumpling daging, dan teh babao masing-masing ialah RM17.70, RM12, dan RM7.80 sebelum dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 10%.
Portion mi hiris dan dumpling boleh dimakan seramai dua orang, tak tahulah kalau korang jenis yang boleh makan 10 biji dumpling sekali gus. Untuk lihat menu yang lain boleh ke sini.
Post a Comment