Ayam Percik Kelantan dan Roti Titab di Syurga Makanan Kelantan, Pasar Siti Khadijah
Bukan pertama kali penulis menulis tentang Pasar Siti Khadijah dalam blog Hari3Aku. Sebelum ni, dalam tiga tahun lepas; penulis pernah tulis tentang Pasar Siti Khadijah sebagai syurga makanan di Kelantan.
Jangan ingat Pasar Siti Khadijah cuma ada barang memasak atau pakaian je. Di sini jugalah tempatnya penulis selalu cari makanan untuk sarapan atau makan tengah hari disebabkan pilihannya yang banyak.
Makanan Kelantan seperti nasi kerabu dan nasi dagang sangat senang untuk kita cari luar dari negeri Kelantan. Tetapi, ayam percik kelantan agak susah sikit nak jumpa luar dari pantai timur.
Bezanya ayam percik di Kelantan berbanding di kebanyakan tempat lain di bahagian barat semenanjung, kuahnya lebih lemak sebab menggunakan santan. Mungkin disebabkan santan jugalah harganya lebih mahal.
Ayam Percik Kelantan Lebih Berlemak
Kalau ada jumpa di Selangor sekalipun, nak dapat rasa yang sedap seperti di Kelantan memang susah. Jadi, kalau terjumpa pun penulis agak berbelah bahagi nak mencuba sebab harganya tak murah.
Daripada selidi ayam percik penulis dapat bahagian peha, pinggul, dan dada. Tak tahu kenapa kepak tak disekalikan, mungkin bahagian kepak dijual secara berasingan.
Kuahnya banyak, daripada warnanya pun dah tahu memang berlemak — rasanya manis dan tak pedas. Sejujurnya penulis kurang gemar bahagian dada, tetapi gagahkan juga.
Harga ayam percik bermula daripada RM8, bergantung pada kuantiti dan bahagian ayam yang diambil. Yang penulis beli ni, harganya dalam RM15 — boleh makan 2 ke 4 kali.
Sedikit mahal, tetapi masih berbaloi selepas diambil kira saiz bahagian, kos penyediaan, dan harga ayam semasa yang mencecah hampir RM10 sekilo di pasar pada waktu tu.
Kuih Tradisional Kelantan
Selain ayam percik, boleh juga cuba makanan-makanan lain. Cuma agak susah sebenarnya nak dapatkan tempat makan di sini, jadi terpaksalah makan dari gerai yang ada ruang makan kosong.
Berhampiran tempat penulis makan ada jual kuih-muih yang, sebahagian besarnya; penulis tak pernah makan. Jadi kalau korang mencari kuih tradisional Kelantan, boleh juga cari di sini.
Antara kuih yang ada seperti buah tanjung kecil dan besar, cek mek, tahi itik, serikaya labu, lompat tikam, dan jala mas. Tengok pun dah nampak manis, kalau tak manis bukan Kelantanlah.
Roti Titab Untuk Sarapan
Untuk sarapan boleh cuba roti titab, roti bakar yang dimakan bersama telur separuh masak dan kaya. Sedap juga, selama ni cuma makan roti bakar dengan telur goyang atau kaya, tak pernah sekalikan kedua-dua.
Untuk makanan yang berat seperti mi celop, nasi air, dan nasi campur, boleh ke tingkat atas Pasar Siti Khadijah. Di tingkat bawah pula lebih banyak kuih dan makanan yang lebih ringan seperti laksam, ketupat, kerabu kaki ayam, etok-etok, temosa, dan akok.
Senang cerita, macam-macamlah ada di Pasar Siti Khadijah. Cuma kalau nak makan nasi kerabu atau nasi dagang, kena datang awal. Kalau datang lambat mungkin dah habis.
Ayam percik yang penulis makan penulis beli dari seorang makcik di bahagian atas Pasar Siti Khadijah.
Post a Comment