Menginap di Chalet Tepi Sungai Idaman PCB Riverview, Kota Bharu, Kelantan
Perjalanan ke Kelantan dari arah barat semenanjung Malaysia sememangnya memenatkan. Bertambah penat kalau kita singgah ke Rantau Panjang terlebih dahulu sebaik sahaja tiba di negeri yang terkenal dengan nasi kerabu ni.
Jadi, sebolehnya kita mahukan penginapan yang selesa, menarik, dan nilai atas wang. Kadang-kadang kita mahu tinggal sedikit jauh dari pekan Kota Bharu yang sesak dengan kenderaan pada musim percutian.
Kali terakhir penulis ke Kelantan, penulis berkesempatan untuk tinggal di sebuah chalet bersebelahan dengan Sungai Badang. Di sini suasananya nyaman, dan pemandangannya pun lebih cantik berbanding di pekan.
Idaman PCB Riverview
Idaman PCB Riverview terletak hanya dalam 10 kilometer (16 minit perjalanan menggunakan kereta) dari Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Ia juga hanya 2 kilometer (5 minit) dari Pantai Cahaya Bulan.
Secara teknikalnya, kita boleh ke Pantai Cahaya Bulan dari chalet Idaman PCB Riverview hanya dengan berjalan kaki selama lebih kurang 25 minit. Dapat bakar kalori, dan dalam masa yang sama tak perlu bersesak cari tempat parkir.
Alamat: Idaman PCB Riverview, 508, Jalan Pantai Cahaya Bulan, 15350 Kota Bharu, Kelantan.
Harga: RM120 - RM290
Harga: RM120 - RM290
Sewaktu penulis ke sini, ada 3 unit chalet darat, 1 chalet terapung, dan 2 unit glamping disediakan. Kolam renang pun masih dalam pembinaan. Sekarang, kolam renang dah siap, dan 2 unit glamping lagi, salah satunya terapung; telah dibina.
Chalet Tepi Sungai Yang Selesa
Walaupun penulis tak duduk di chalet yang terapung, chalet yang lain pun masih boleh dapatkan pemandangan sungai. Setiap chalet mempunyai beranda yang menghadap ke arah sungai.
Dari beranda tadi kita boleh juga memancing. Kalau pilih chalet yang berandanya luas, boleh juga duduk bersembang, minum kopi, makan colek yang dibungkus dari PCB, atau membaca buku.
Daripada ketiga-ketiga chalet di darat, ada satu chalet (no 3) yang luas dan sesuai untuk keluarga. Dalam chalet tersebut, disediakan sebuah katil bersaiz queen, sebuah sofa, dan peti ais.
Sebaik sahaja buka pintu chalet, boleh nampak sebuah ruang yang luas disebabkan oleh ketiadaan dinding atau pembahagi antara ruang tamu dan tempat tidur. Boleh hampar toto atau gunakan tilam lebihan yang disediakan supaya lebih ramai orang boleh tidur.
Kalau tak dapat chalet no 3 pun takpe, chalet darat yang lagi dua pun ok juga. Setiap unit disediakan pendingin hawa, jadi memang selesa berehat dan tidur di chalet walaupun pada waktu tengah hari.
Tandasnya, bagi penulis; bersihlah juga. Cuma pada waktu penulis ke sini, ada masanya pam air berhenti berfungsi. Dalam waktu tersebut, kadang-kadang sekejap, kadang-kadang lama; tandas tak ada air.
Bermula Daripada RM120 Satu Malam
Harga bagi setiap chalet, di darat dan terapung; ialah RM120 untuk satu malam. Harga untuk glamping pula adalah antara RM150 ke RM290 untuk satu malam. Jadi bolehlah pilih mana yang lebih sesuai dengan poket masing-masing.
Penulis belum pernah menginap di unit glamping Idaman PCB Riverview, jadi penulis tak ada pengalaman yang boleh dikongsikan. Tetapi kalau diberikan peluang lagi untuk ke sini, penulis akan cuba glamping pula.
Unit glampingnya nampak luas, kemas, teratur, lebih instagrammable, dan mempunyai tempat barbeku. Tak mustahil juga kalau ia lebih selesa berbanding di chalet.
Buat Tempahan Lebih Awal
Penulis syorkan untuk buat tempahan lebih awal, lebih-lebih lagi untuk glamping. Lokasinya yang strategik di antara Pantai Cahaya Bulan dan pekan Kota Bharu sudah tentu menjadi rebutan ramai terutamanya pada waktu cuti persekolahan.
Mujur penulis berkesempatan untuk menginap di sini, tempat yang penulis kategorikan sebagai bajet. Rasa terubat sedikit hati selepas menghadap trafik yang sangat sesak dan menekan perasaan di zon bebas cukai Rantau Panjang.
Untuk maklumat lebih lanjut dan terkini, boleh ke laman facebook Idaman PCB Riverview. Di sini pun boleh adakan majlis perkahwinan tau.
Post a Comment