Pho Daging dan Ayam di Restoran Makanan Vietnam Saigon Bowl
Berbanding makanan Jepun dan Thai, agak jarang kita dapat jumpa makanan Vietnam selain daripada popia Vietnam atau "Vietnamese roll". Bila kali terakhir kita jumpa "banh mi" atau "pho"?
Kalau ada restoran yang menjual makanan Vietnam sekali pun, cuma beberapa restoran sahaja, contohnya Saigon Bowl dan MyViets; yang menyediakan makanan Vietnam.
Tertanya juga, kenapa pho tak mendapat layanan yang sama seperti ramen dan pad thai? Padahal, ia merupakan makanan Vietnam yang paling dikenali luar dari negara tersebut.
Restoran Saigon Bowl
Untuk mendapatkan rasa pho yang mungkin hampir kepada autentik, penulis pergi ke restoran Saigon Bowl di Georgetown, Pulau Pinang berhampiran dengan hotel Royale Chulan Penang — dalam 200 meter.
Alamat: 20A&B, Whiteaways Arcade, Lebuh Pantai, 10300 Georgetown, Pulau Pinang.
Waktu: Setiap Hari (11AM - 10:30PM)
Waktu: Setiap Hari (11AM - 10:30PM)
Buat masa ni, inilah satu-satunya cawangan Saigon Bowl yang ada di Malaysia. Jadi kalau nak cuba pho di Saigon Bowl, memang kena berjalan jauh sampai ke Pulau Pinang.
Walaupun ada juga menjual makanan Vietnam yang lain, tarikan yang paling utama di Saigon Bowl ialah pho terutamanya pho bo ataupun pho daging. Penulis dah cuba kedua-dua pho daging dan ayam.
Pho Bo dan Pho Ga
Bo bermaksud daging, ga pula ayam. Bahan yang berbeza dalam penyediaan pho bo dan pho ga akan menghasilkan rasa sup yang berbeza, samalah seperti berbezanya rasa sup daging dan sup ayam.
Untuk pho daging, ada pilihan antara bebola daging, brisket, dan ribeye. Penulis pesan menu kombo yang ada ketiga-tiga jenis daging dalam semangkuk pho, senang tak perlu pilih.
Untuk pho ayam pula, cuma ada pilihan antara bebola ayam dan dada ayam. Kalau nakkan kedua-dua bebola dan dada ayam, boleh pesan menu kombo. Penulis cuma pesan dada ayam.
Harga pho daging antara RM17.90 dan RM21.90 termasuk cukai dan caj perkhidmatan. Pho ayam pula antara RM15.90 dan RM16.90. Harga mungkin berbeza waktu korang pergi nanti.
Kedua-dua pho menggunakan bahan seperti cili, bawang, daun selasih thai, ketumbar, dan taugeh. Air limau dan sambal diberikan secara berasingan, bolehlah kawal tahap kemasaman dan kepedasan sup.
Warna pho daging lebih gelap berbanding pho ayam, rasanya pun lebih mendalam, kaya atau "rich". Rasa pho ayam lebih ringan atau "light", tak terlalu manis seperti pho daging.
Walaupun rasa pho daging lebih sedap, penulis lebih sukakan pho ayam. Rasa manis daging dari pho daging agak kuat, membuatkan penulis rasa sedikit muak untuk habiskan sup.
Untuk pilihan mi pula, ada tiga. Boleh pilih antara mi leper, bihun, ataupu mi segera. Penulis lebih sukakan mi leper yang digunakan, lebih kecil berbanding kuetiau.
Mi leper yang digunakan nampak sama seperti yang digunakan untuk pad thai, kurang lebar berbanding kuetiau tetapi lebih pejal.
Banh Khot
Untuk hidangan sampingan penulis cuba banh khot, sejenis cucur udang dari Vietnam. Bahannya ialah udang, daun bawang, dan cili, rupanya pula hampir sama dengan kuih cara berlauk.
Rasa banh khot lebih kurang rasa kuih cara berlauk, mungkin bahan adunan yang digunakan hampir sama. Kalau kita gantikan sambal atau inti pada kuih cara dengan udang, mungkin rasanya akan sama.
Banh khot ni dimakan bersama sos daripada, mungkin; campuran kicap dan cuka atau sos ikan. Mengenyangkan dan sedap dimakan bersama hidangan air teh Vietnam campur laici.
Vietnam Summer
Air teh yang penulis minum ialah Vietnam Summer, campuran teh, limau dan laici. Cuma penulis tak nampak pula potongan limau. Yang ada ialah daun pudina, berbeza dengan gambar pada menu.
Harga banh khot dan Vietnam Summer masing-masing ialah RM8.90 dan 11.90.
Apa Bezanya Pho dan Mi Champa?
Sampai ke hari ni penulis masih tak tahu sama ada pho dan mi Champa dua hidangan yang sama atau berbeza. Kerajaan silam Champa merangkumi sebahagian Vietnam, Laos, dan Kemboja.
Dari pengalaman penulis mencuba mi Champa, rasanya berbeza. Mi Champa yang penulis pernah makan menggunakan minyak bawang putih pada sup, bahan yang penulis tak dapat kesan pada pho di Saigon Bowl.
Cabaran Mencari Tapak Parkir
Pada waktu tengah hari mungkin sedikit susah nak dapatkan tapak parkir. Sama ada korang kena berjalan jauh sikit, atau keluarkan RM3 sejam untuk letakkan kereta di tempat parkir berbayar Medan Selera Sri Weld.
Agak mahal untuk sebuah tempat letak kereta, sedikit sempit, dan tak ada sebarang tanda diletakkan ketika penuh. Kalau nampak kereta beratur, jangan masuk sebab korang mungkin takkan dapat keluar dan terpaksa menunggu.
Untuk alternatif yang lebih murah tetapi 120 meter lebih jauh, boleh ke tempat letak kereta bertingkat MBPP.
Ini je satu-satunya cawangan Saigon Bowl yang ada sekarang, rugi kalau datang ke Georgetown tetapi tak singgah untuk cuba pho dan makanan Vietnam lain di sini. Untuk maklumat lebih lanjut, boleh ke laman Facebook Saigon Bowl.
Post a Comment