Muzik Lantang di Starbucks: Bagus Untuk Jualan Tetapi Bukan Mesyuarat Maya
Masih ingat lagi waktu penulis mencari tempat untuk menghadiri perjumpaan dalam talian atau online meeting di Kelantan. Semestinya sebuah tempat dengan capaian internet yang stabil, lagi bagus kalau ada WiFi.
Ada beberapa tempat dalam fikiran penulis. antaranya McDonald's dan Starbucks. Masalah dengan McD, terlalu ramai orang. Jadi penulis terus ke Starbucks di KB Mall dengan harapan dapat meeting dengan selesa.
Starbucks di KB Mall terletak di bahagian luar bersebelahan dengan laluan kenderaan, jadi pencahayaan dalam kafe memang cerah. Orang tak terlalu ramai, jadi WiFinya sepatutnya lancar.
Grande Latte No Sugar
Kalau setakat lepak di Starbucks untuk meeting atau siapkan tugasan, rasanya segelas "grande latte no sugar" pun dah cukup sebagai peneman sepanjang melakukan kerja.
Selama penulis hidup, ini kali pertama penulis buat kerja di Starbucks. Selama ni, ada lah dalam 2 ke 3 kali; cuma pesan dan bawa balik minum di rumah je, itupun orang belanja.
Tak ramai orang, jadi sepatutnya bolehlah meeting dengan tenang kan? Silap! Sebab Starbucks di KB Mall, pada waktu tu; ada masalah dengan internet, dan muzik pula dipasang dengan kuat. Rasa macam ada di sebuah majlis lebih berbanding di kafe.
Waktu meeting semakin hampir. Tak ada pilihan lain, penulis ambil air, cari tempat duduk, buka laptop, pasang hotspot, dan cuba lakukan rakaman audio untuk periksa berapa kuat muzik boleh kedengaran daripada rakaman.
Kepentingan Fungsi Pembatalan Bunyi
Akan menjadi masalah kalau laptop, perkakasan seperti headset, ataupun platform mesyuarat maya yang digunakan tak menyediakan fungsi pembatalan bunyi atau noise cancellation.
Sebagai alternatif, boleh gunakan perisian pembatalan bunyi seperti Krisp. Perisian krisp boleh digunakan secara percuma selama 60 minit pada setiap hari, atau gunakan tanpa had pada harga langganan 8 usd setiap bulan.
Cumanya, penulis tak sempat cari atau pasang sebarang perisian pembatalan bunyi pada waktu tu. Jadi penulis buat keputusan untuk duduk di bahagian luar kafe, bersebelahan laluan orang ramai.
Ironinya, walaupun keadaan di luar kafe agak bising dengan bunyi kenderaan dan orang lalu lalang, taklah sebising di dalam kafe yang sepatutnya menjadi tempat berdiskusi dengan tenang.
Tambah pula, headset Razer BlackShark V2 X yang penulis guna mempunyai butang fizikal di sebelah kiri yang boleh digunakan untuk menyahaktifkan fungsi mikrofon. Jadi penulis dengan mudahnya boleh aktifkan mikrofon hanya ketika bercakap.
Bagaimana Muzik Mempengaruhi Corak Pemakanan
Tak dinafikan fungsi muzik dalam mempengaruhi corak dan mood pemakanan. Kajian juga mendapati keberadaan muzik berkait dengan pengambilan makanan yang lebih banyak, dan tempoh makan yang lebih lama.
Tempoh makan juga, seperti dinyatakan kajian; berkadar songsang dengan tempo muzik yang dimainkan. Muzik yang lebih laju atau rancak berkait rapat dengan tempoh makan yang lebih pendek.
Bukan tu je, kelantangan bunyi muzik juga memberi kesan kepada pemilihan dan jualan makanan. Kajian mendapati muzik dengan kelantangan rendah meningkatkan jualan makanan yang sihat di restoran atau kafe.
Sebaliknya pula, muzik dengan kelantangan tinggi, seperti di Starbucks yang penulis pergi di KB Mall tahun lepas; meningkatkan jualan makanan yang kurang sihat dan berkalori tinggi.
Kebiasaan atau Terpencil?
Memang muzik di Starbucks dipasang dengan kuat ke? Atau cuma pada waktu tertentu? Mungkin pengalaman penulis ni kes terpencil, jadi penulis akan ke Starbucks lagi sekali untuk dapatkan kepastian.
Nasihat penulis, kalau ada perjumpaan dalam talian buatlah di perpustakaan, sediakan kuota hotspot kalau perlu. Kalau takde perpustakaan, ikut meeting dari dalam kereta atau di masjid. Boleh juga cuba surau di stesen minyak.
Kalau terpaksa ke Starbucks, duduk jauh dari pembesar suara, dan sediakan headset dengan fungsi pembatalan bunyi, atau gunakan perisian Krisp yang penulis kongsikan tadi.
Starbucks bukannya perpustakaan, jadi jangan sangka suasana di Starbucks takkan bising. Cuma penulis tak sangka akan sebising tu.
Post a Comment