Nasi Kukus Ayam Berempah di Zaeman Nasi Kukus, Bandar Kota Bharu

Nasi Kukus Ayam Berempah
Penulis tak ingat sejak bila nasi kukus, terutamanya nasi kukus ayam berempah; mula menjadi makanan pilihan untuk makan tengah hari. Seingat penulis, dalam 15 tahun yang lepas tak banyak gerai nasi kukus seperti sekarang.

Seingat penulis juga, antara nasi kukus terawal yang penulis makan ialah Suriani Nasi Kukus yang terletak bersebelahan dengan Stadium Sultan Muhammad IV di Kelantan, berhadapan sebuah kolej kejururawatan.

Cuma, kehadiran penulis ke Kelantan kali ni membawa penulis ke satu lagi restoran nasi kukus yang terletak lebih hampir dengan tempat penulis bermalam, Idaman PCB Riverview.

Zaeman Nasi Kukus

Bahagian hadapan gerai Zaeman Nasi Kukus
Jarak antara Zaeman Nasi Kukus dan Suriani Nasi Kukus hanya dalam 2 kilometer. Cuma kalau datang ke Kota Bharu pada waktu cuti, sebaik boleh nak elak dari kesesakan trafik.

Restoran Nasi Kukus Zaeman cuma 500 meter dari Pasar Siti Khadijah, 400 meter dari Masjid Muhammadi, dan 10 kilometer dari Pantai Cahaya Bulan. Ruang parkir di bahu jalan terhad, mungkin kena berjalan sikit.


Alamat: Jalan Belakang Istana, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan.
Waktu: Sabtu - Khamis (12:30PM - 9:30PM)

Zaeman Nasi Kukus juga ada cawangan lain bersebelahan Lotus's Kota Bharu dan di Kubang Kerian. Cuma orang kata cawangan di bawah Flat Buluh Kubu ni yang terbaik.

Nasi Kukus Ayam Goreng Berempah

Nasi kukus ayam berempah di Zaeman Nasi Kukus
Nasi kukus di sini, sama seperti kebanyakan nasi kukus di kedai lain; disediakan bersama ayam goreng berempah. Tak ingat pula ada atau tak lauk lain macam daging dan pajeri nenas.

Dalam sebungkus nasi kukus ayam berempah ada nasi kukus, seketul ayam goreng berempah, timun, sambal, dan gulai. Sambalnya pedas masam seperti sambal cuka, gulainya berempah, dan peha ayam yang penulis dapat besar juga saiznya.

Gulainya, walaupun tak banyak; dah cukup dari segi rasa. Cuma, penulis lebih suka kalau ada lebih banyak gulai untuk rasa yang lebih kuat. Lain kali ke Zaeman Nasi Kukus penulis akan minta kuah lebih.

Nasi air bersama daging dan ikan bilis rangup
Selain nasi kukus, boleh juga makan nasi air atau mi celup dari gerai bersebelahan. Jadi takdelah satu keluarga kena makan nasi kukus kalau datang ke sini, ada juga pilihan lain.

Waktu penulis ke sini tahun 2022 harga sebungkus nasi kukus ayam berempah ialah RM6.50. Harganya masih berpatutan selepas diambil kira kenaikan harga ayam. Dari segi kebersihan kedai pula, boleh dipertingkatkan lagi.

200 meter dari restoran Zaeman Nasi Kukus ada sebuah kedai runcit yang menjual pelbagai jenis lokching sejuk beku. Kalau berminat boleh cuba cari kalau kedainya masih ada, nama kedai dirahsiakan.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top