Fire Chicken, Air Pink Lava, dan Aiskrim Mac N Cheese di Richeese Factory Pertama Malaysia
Sejak adanya MRT laluan Kajang, perjalanan ke IKEA di stesen Mutiara Damansara dan 1 Utama di stesen Bandar Utama menjadi semakin mudah. Yang berada jauh di Kajang tak perlu dah menghadap trafik yang sesak.
Yang datang dari arah Kwasa Damansara pula, seperti penulis; boleh je singgah makan di kedua-dua tempat tadi dalam perjalan pergi ke atau balik dari Kuala Lumpur. Di 1 utama khususnya ada lebih daripada 100 kedai makan.
Richeese Factory Pertama di Malaysia
Antaranya ialah Richeese Factory yang baru je dibuka pada Februari 2023 — yang pertama di Malaysia. Restoran makanan segera yang dimiliki Nabati Group ni dah lama ada di Indonesia, sejak 2011 lagi.
Di Richeese Factory, hampir kesemua menunya datang bersama sos keju sesuai dengan namanya "Richeese". Kalau korang suka makan snek wafer Nabati berperisa keju, korang kena cuba makan di sini.
Antara menu istimewa di sini ialah Fire Chicken dan air Pink Lava. Untuk Fire Chicken, kita boleh pilih tahap kepedasan antara 0 dan 5. Pedas dan keju, tak asing lagi bagi peminat makanan korea.
Pertama kali ke Richeese Factory di Lot LG356, Rainforest, penulis pesan satu set Combo 2 Fire Chicken (RM20.49), kentang goreng (RM4.49), dan aiskrim mac n cheese (RM1.50). Pesanan dilakukan menggunakan kiosk, dan malangnya pada waktu tu burger dah kehabisan stok.
Combo Fire Chicken
Untuk setiap set combo Fire Chicken, kita akan dapat juga coleslaw, mashed potato, dan air Pink Lava. Mula-mula penulis ingatkan air Pink Lava sama seperti pink guava atau pink lemonade, rupa-rupanya air sirap bandung.
Untuk set ni, ayam gorengnya disaluti sepenuhnya dengan sos barbeku pedas — menggiurkan tetapi dalam masa yang sama menakutkan. Tahap 2 pun dah terasa pedasnya, macam manalah agaknya kepedasan tahap 5.
Antara coleslaw dan mashed potato yang sedap penulis pernah makan walaupun kuantitinya agak sedikit. Lebih sedap berbanding di Marrybrown, dan boleh bersaing dengan KFC. Kentangnya mempunyai rasa mentega yang kuat, dan kuahnya pula seperti campuran cream of mushroom dan lada hitam.
Air Pink Lava dan Kentang Goreng
Air Pink Lava, walaupun menyegarkan; tak ada rasa yang istimewa, rasanya seperti sirap bandung. Air bersama dengan sos keju boleh mengurangkan rasa pedas daripada ayam yang kita makan.
Sos keju, kalau dimakan dalam kuantiti yang banyak; rasa seperti keju yang digunakan pada wafer nabati. Kentang gorengnya pula mempunyai rupa yang hampir dengan kentang goreng di McD, cuma rasanya sedikit berbeza mungkin sebab minyak atau garam yang digunakan berbeza.
Kalau tak sukakan ayam goreng yang bersalut sos, boleh cuba Fire Flying Chicken. Harga bagi set Fire Flying Chicken juga lebih murah berbanding Fire Chicken untuk kuantiti ayam yang sama.
Aiskrim Mac N Cheese
Penulis sangat tertarik dengan aiskrim mac n cheese di Richeese Factory, ada pilihan antara kon dan cawan. Ini pertama kali penulis makan aiskrim berperisa keju, belum pernah lagi cuba dari restoran lain.
Rasa aiskrim mac n cheese mengingatkan penulis kepada snek Super Ring. Walaupun penulis suka, penulis tak rasa profil rasa aiskrim ni sesuai untuk semua orang. Rasanya seperti campuran aiskrim vanila dan sos keju.
Pesanan dan Iklan Mengelirukan
Makanannya sedap, tapi ada beberapa masalah yang penulis hadap berkaitan servis. Tentang kiosk yang sedikit mengelirukan, promosi yang kurang tepat, dan pesanan yang tercicir.
Untuk pesanan set kombo Fire Chicken tadi, kiosk memberi pilihan menu sampingan walaupun tak perlu, contohnya antara coleslaw dan mashed potato. Sepatutnya cuma minta respon pembeli untuk menu sampingan yang memang perlu dipilih, seperti tahap kepedasan, jenis, dan saiz air.
Ada papan iklan yang menunjukkan penulis akan dapat dua breadball secara percuma untuk pembelian satu set Combo 2 Fire Chicken sama seperti di sini, tetapi tak dinyatakan pada kiosk ketika membuat pesanan, dan penulis juga tak dapat breadballnya. Kalau breadball atau promosinya dah habis, sepatutnya iklan tu diturunkan.
Sepatutnya juga penulis dapat dua sos keju, satu untuk set Fire Chicken dan satu lagi untuk kentang goreng, tetapi penulis cuma dapat satu. Jadi elok semak resit sebelum naik ke tempat makan di tingkat atas.
Rasa Sedap, Harga Kompetitif
Harga menu di sini, khususnya untuk set lebih kurang je dengan harga di kebanyakan restoran makanan segera lain seperti Marrybrown, KFC, dan McD. Kalau ambil set Fire Flying Chicken atau Richicken, harganya cuma RM16.49 untuk dua ketul ayam.
Daripada ketiga-tiga menu yang penulis cuba tadi, menu yang paling mahal ialah kentang goreng sebab dibeli secara ala carte. Harga RM4.49 yang penulis bayar tak berbaloi dengan kuantiti yang penulis dapat.
Sebab tulah penulis tak pernah pesan kentang goreng ala carte di restoran makanan segera. Di Richeese Factory, semua set datang dangan mashed potato termasuklah burger. Tak boleh ditukar, jadi terpaksalah beli ala carte kalau nak cuba.
Memandangkan burger habis waktu penulis ke sini. Penulis akan datang lagi untuk cuba burger. Tak macam di KFC yang cuma ada burger ayam, di Richeese Factory ada juga burger daging.
Post a Comment