Ayam Lemon dan Mi Kantonis Goreng di Restoran Cina Muslim HOMST
Dah banyak kali penulis ke restoran masakan cina, dan setiap kali ke sana, mesti penulis akan pesan ayam lemon, dan tomyam kalau ada; sebagai lauk untuk dimakan bersama nasi putih.
Walaupun pernah makan di restoran makanan barat dan gerai nasi ayam medan selera Tesco, ayam lemon yang sedap penulis makan tetap dari restoran masakan cina seperti Pak Li Kopitiam, Sharin Low, dan Mohd Chan.
Jadi, kalau penulis pergi ke restoran masakan cina yang penulis belum pernah pergi, contohnya di restoran Homst penulis pergi baru-baru ni; wajib pesan ayam goreng lemon.
Restoran Cina Muslim Homst
Restoran Cina Muslim Homst yang penulis pergi terletak di Setia Alam, cuma 1 kilometer dari pusat membeli belah Setia City Mall, bersebelahan dengan restoran Modern Mamak.
Alamat: 1, Jln Setia Dagang AJ U13/AJ, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor
Waktu: Sabtu - Khamis (11:30AM - 10PM), Jumaat (3:30PM - 10PM)
Waktu: Sabtu - Khamis (11:30AM - 10PM), Jumaat (3:30PM - 10PM)
Selain di Setia Alam, ada lagi lapan cawangan Homst di Taman Tun Dr Ismail, Kampung Baru, Seksyen 13 Shah Alam, Kajang, Cyberjaya, Putrajaya, Wangsa Maju, dan Bangi.
Banyak juga cawangan restoran Homst, 9 kesemuanya. Pelik juga kenapa baru sekarang penulis, seorang penggemar masakan cina; dengar dan sedar tentang kewujudan restoran ni.
Rugilah kalau datang cuba ayam lemon dan tomyam je. Ada banyak lagi masakan cina lain boleh cuba, contohnya mi kantonis goreng, yee mee sizzling, dan dumpling atau ladu.
Selalunya penulis akan pesan lauk, contohnya udang mentega, filet ikan masam manis, atau tauhu sizzling; selain daripada ayam lemon untuk dimakan secara hidang di restoran masakan cina, kali ni berbeza.
Nak tahu juga apa istimewanya yee mee sizzling di Homst berbanding di medan selera Lotus's. Mi kantonis goreng pula, ni kali pertama.
Yee Mee Sizzling
Besar juga bahagian yee mee sizzling di Homst. Yee mee rangup diletakkan di tengah piring sizzling, kelilingnya pula bahan-bahan seperti pak choy, lobak, kubis bunga, shitake, dan cendawan butang.
Ada satu lagi bahan yang penulis kurang pasti apa. Teksturnya lembut macam telur dadar. Tapi, semakin penulis makan semakin penulis percaya ianya ikan, cuma tak tahu jenis apa — mungkin dory.
Telurnya ada di bahagian bawah macam tauhu sizzling, agak kering, penulis lebih sukakan telur yang dipecahkan pada kuah. Kuahnya pula tak selikat kuah sizzling penulis makan di tempat lain.
Minya rangup, kalau suka mi yang lembut boleh cepat-cepat campurkan mi dengan kuah sementara masih panas.
Mi Kantonis Goreng
Ingatkan mi goreng, rupanya macam mi ladna. Bezanya pada mi yang digoreng, rangup macam yee mee tadi walaupun saiz mi lebih tebal. Kuahnya nampak macam sup isi ketam, tapi rasanya macam kuah mi ladna atau kuetiau kungfu.
Tak macam yee mee sizzling tadi yang penuh dengan sayur dan cendawan, sayur yang ada pada mi kantonis goreng ni cuma pak choy. Selain tu, ada kepingan ayam, beberapa ekor udang, dan kek ikan.
Dumpling Kambing
Dari segi rupa nampak macam dumpling di Mee Hiris China Muslim, cuma tak ada daun bawang. Sama juga dihidang bersama chili oil, cuma chili oil di Homst seperti berkuah, dan ada sedikit rasa masam.
Mungkin chili oil di Homst dah diolah rasanya ke tekak Melayu, tak tawar seperti di Mee Hiris China Muslim.
Tomyam Seafood
Walaupun bukan restoran masakan siam, tomyam di sini sedap juga. Rasanya kuat dan berlemak, mungkin ada santan atau susu cair. Walaupun antara yang tersedap penulis pernah makan, masih tak boleh lawan tomyam Sri Pinang.
Walaupun saiz regular, boleh dimakan sehingga empat orang. Ada makanan laut seperti udang, sotong, dan siput lala.
Ayam Lemon
Ayam lemon di Homst tebal dan rangup, dihiasi juga dengan beberapa keping lemon dan timun. Sos lemonnya pula tak terlalu manis, likat, dan kuantitinya banyak — lebih banyak berbanding apa yang penulis pernah cuba di tempat lain.
Bahagian ayam yang digunakan nampak macam pinggul atau paha, seperti yang digunakan pada chicken chop; berkulit, dan tak kering seperti bahagian dada. Boleh dimakan dua ke tiga orang sebagai lauk.
Nilai Atas Wang
Secara keseluruhannya memang puas hati, saiz hidangan pun sesuai dengan harga. Ayam lemon dan tomyam cuma RM17 dan RM15 untuk saiz regular, boleh dimakan dua ke tiga orang.
Ayam lemon di Homst lebih murah berbanding di Sri Pinang dan Mohd Chan. Tomyamnya pula lebih murah berbanding di restoran makanan siam Soi 55. Memang berbaloi untuk apa yang kita dapat.
Kalau pesan lauk — bersaiz regular — seperti ayam lemon, tomyam, kangkung belacan, filet ikan masak masam manis, telur dadar, dan udang mentega, semuanya berharga RM88 — tak sampai RM100.
Harga air bermula daripada RM1.50 untuk secawan teh cina, sehingga RM7 untuk air kelapa. Boleh tengok menu lain di sini.
Kalau datang ke sini, jangan lupa cuba cili kicap dan sambal. Cili kicap boleh dimakan dengan mi sizzling atau kuetiau goreng. Sambalnya yang kaya dengan rasa udang kering pula boleh dimakan dengan sayur, dumpling, atau nasi.
Post a Comment