Penginapan yang Selesa, dan Sarapan yang Pelbagai di Resort A'Famosa
Agak mencabar sebenarnya bercuti di Melaka sekarang ni. Berapa banyak lampu trafik perlu dihadap dalam perjalanan ke Banda Hilir, dan bila dah sampai kena pula hadap keadaan trafik yang sesak.
Hujung minggu, sama macam waktu cuti; kalau nak ke muzium, Kota A Famosa, Dataran Pahlawan, Jonker Walk, dsb. memang seeloknya tinggal terus di bandar dan pergi ke semua tempat tadi berjalan kaki.
Tapi jangan risau, di Melaka ada lagi tarikan lain. Nak ketenangan? Banyak chalet di kawasan Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak. Nak seronok? Boleh ke taman tema air atau taman safari di resort A'Famosa.
Alang-alang dah ke taman tema air A'Famosa, rugilah kalau tak ke Safari Wonderland. Cuma, kalau nak tengok semua pertunjukan haiwan di Safari Wonderland, tak bolehlah pergi kedua-duanya pada hari yang sama.
Condo D Savoy, Resort A'Famosa
Salah satu pilihan yang kita ada, tinggal di resort A'Famosa. Ada tiga pilihan antara kondo, apartment dan villa. Kondo atau apartment sesuai untuk satu keluarga, dan villa pula dapat muatkan antara dua ke tiga keluarga.
Harga kondo bermula daripada RM149, villa pula bermula daripada RM599. Menariknya tentang villa di resort A'Famosa, selain daripada luas dan besar; ada kolam renang peribadi.
Kondo yang penulis duduk, Condo D Savoy; boleh memuatkan sehingga 5 atau 6 orang. Ada dua bilik, empat katil, dan dua bilik air. Ruang tamu luas, meja makan pun besar dan selesa. Kolam renang pun ada cuma kena berjalan sikit.
Bilik yang penulis duduk termasuk sarapan untuk empat orang. Selebihnya pula, kalau datang berlima atau berenam; boleh bayar berasingan di kaunter tempat sarapan di clubhouse nanti.
Jarak antara clubhouse dan condo yang penulis duduk dalam 2 kilometer. Dari tempat parkir ke lobi clubhouse pula perlu berjalan lagi 2 ke 5 minit. Kalau tak larat berjalan, ada kenderaan shuttle disediakan.
Sarapan di Resort A'Famosa
Perasaan sewaktu bersarapan di resort A'Famosa lebih kurang macam pergi kenduri. Selain daripada nasi lemak, roti bakar, bubur, dan bijirin, macam yang biasa ada di hotel-hotel lain; ada beberapa lagi menu lain.
Makanan lain, pada waktu penulis ke sana; macam poori, mi rebus, pancake, dan omelette ada kaunternya sendiri dan disediakan panas-panas. Tak rugi beratur, semuanya sedap sesuai dengan status hotel 4 bintangnya.
Waktu cuti memang ramai turun bersarapan. Tak boleh nak memilih sangat meja, mana yang kosong kita duduk je. Kalau nak makan di ruang makan yang lebih cantik, kenalah datang lebih awal.
Dalam perjalanan ke tempat makan akan jumpa taman dan kolam. Selepas sarapan, boleh bagi makan, menggunakan makanan palet yang dijual berhampiran laluan masuk tempat makan; ke ikan koi di kolam.
Memang tak rugilah sarapan di sini. Dalam banyak-banyak menu tadi, penulis sukakan nasi lemak, mi rebus, dan poori. Waktu korang datang nanti mungkin ada menu lain pulak.
Dah selesai makan, bolehlah siap-siap ke waterpark atau safari park, waktu petang boleh membeli belah di Freeport A'Famosa Outlet, malam pula boleh cari makan di pekan Tampin.
Post a Comment