Nasi Ayam dan Nasi Itik Cara Cina di Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee

Nasi ayam hainan di restoran Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee
Tak semua nasi ayam sama. Bagi penulis, lebih sukakan nasi ayam hainan yang kuat rasa halia dan bawang putihnya. Kalau ada pilihan antara ayam roasted dan kukus, penulis lebih sukakan ayam kukus.

Nasi ayam hainan kalau dimasak dengan betul, cukup bahan-bahannya macam bawang, halia, bawang putih, dan stok ayam; makan secara bersahaja pun dah cukup sedap dah.

Menu Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee
Boleh kira dengan jari restoran nasi ayam hainan yang penulis pernah pergi, antaranya The Chicken Rice Shop, Mohd Chan, Nasi Ayam Papa di Kuantan, dan beberapa gerai "nasi ayam" di medan selera.

Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee

Pelanggan menikmati nasi ayam di restoran Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee
Yang terbaharu penulis cuba ialah restoran Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee, waktu tu bersebelahan dengan Masjid Al-Hidayah di Seksyen 18, Shah Alam. Sekarang dah berpindah ke Seksyen 16, berdekatan Shell. Satu lagi cawangan terletak di Pusat Perdangangan Hillpark, Bandar Puncak Alam berhampiran medan selera The Portload dan Soi 55.

Dah lama dah sebenarnya penulis ke sini, sebelum puasa 2023. Baru sekarang rasa terpanggil nak tulis blog, sebab nampak ramai pempengaruh di YouTube yang review tempat ni.


Alamat: Persiaran Selangor, Seksyen 16, 40200 Shah Alam, Selangor
Waktu: Sabtu - Khamis (11AM - 10PM)

Ruang makan gerai lama di Seksyen 18 agak kecil dan sempit. Di Seksyen 16 ruang makannya lebih besar, dan tak berkongsi dengan peniaga lain seperti di Seksyen 18.

Nasi Itik Roasted

Ayam dan itik panggang digantung di kaunter gerai nasi ayam
Selain ayam roasted dan kukus, di restoran Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee juga ada itik roasted. Rasanya ni kali pertama penulis cuba itik roasted di kedai nasi ayam.

Boleh nampak beberapa ekor itik roasted atau panggang tergantung disebalik kaca, di atasnya pula tertera perkataan "Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee, Since 1960, Masakan Cina Muslim".

Sehingga Lapan Menu Sampingan

Ayam dan menu sampingan
Ada lebih kurang lapan menu sampingan, antaranya sup bebola, pai tee, tauge kicap, kaki ayam kicap, pak choy, dan tauhu stim. Setiap satu boleh dimakan dua ke tiga orang.

Tak lengkap nasi ayam hainan tanpa tauge kicap dan pak choy, perlu juga sayur selain timun untuk cukupkan syarat pemakanan "suku-suku separuh".

Nasi Ayam dan Itik

Ayam stim di Ahmad Lee
Walaupun menarik untuk cuba nasi itik, penulis cuba juga nasi ayam roasted dan kukus. Ayam dan itik disediakan bersama kicap, timun, salad, dan sedikit potongan lobak.

Antara ayam roasted dan kukus, bezanya cuma pada kulit. Isi kedua-duanya sama lembut, rasa pun tak jauh beza. Kalau tak sukakan kulit yang nampak mentah, pesan je lah ayam roasted.

Itik roasted restoran Nasi Ayam Ahmad Lee
Tekstur dan rasa isi itik berbeza dengan ayam, warnanya juga sedikit gelap. Lebih liat berbanding ayam, mungkin hampir sama dengan ayam kampung; tapi takdelah seliat daging.

Mungkin ada orang yang tak suka makan itik, sebab ada rasa yang "gamey" atau hanyir daripada itik tu. Bagi penulis, itik disini kurang, atau hampir tiada; rasa hanyir.

Sambal dan Halia

Makanan yang dihidang di atas dulang
Penggemar nasi ayam hainan mesti tahu, ada satu lagi kondimen selain cili, kicap, dan sup yang melengkapkan rasa nasi ayam, selalunya tak ada pada nasi ayam yang dimasak cara melayu.

Sos halia bercampur cili, bagaikan penambah perisa pada nasi ayam hainan, menjadikan rasanya lebih "cina". Halia antara bahan yang banyak digunakan dalam perubatan dan masakan cina.

Nasi Ayam, Tauge Kicap, dan Pak Choy

Tauge Kicap
Bagi penulis, dah cukup kalau makan nasi ayam bersama tauge kicap dan pak choy. Selain daripada tu, macam pai tee dan tauhu; kalau takde pun takpe. Bagi penulis, pai tee sedikit overrated.

Penulis tak pesan pai tee sebab dah habis. Penulis dah pernah makan di TCRS, jadi takdelah rasa "missing out" sangat. Lagipun rasanya lebih kurang popia je — popia lebih murah dan mengenyangkan.

Harga Berpatutan, Servis Pantas

Menu Restoran Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee
Walaupun harganya lebih mahal berbanding nasi ayam di tempat lain, bahan yang digunakan adalah berkualiti, dan isi ayamnya besar. Menu sampingannya pula boleh dikongsi.

Di bawah ialah harga terbaru yang penulis jumpa:

Menu Harga
Nasi Ayam Roasted/Kukus RM9.50
Nasi Itik Roasted RM15.00
Sup Bebola RM8.00
Pai Tee RM8.00
Tauge Kicap RM7.00
Kaki Ayam Kicap RM9.00
Pak Choy RM7.00
Tauhu Stim RM9.00

Walaupun ramai, servis di sini laju. Nasi ayam dan menu sampingan dah siap disediakan, jadi tak perlu tunggu lama selepas buat pesanan. Sekejap je makanan dah terhidang di atas dulang.

Pekerja menyiapkan makanan
Lain kali ke restoran Nasi Ayam Hainan Ahmad Lee, penulis nak cuba kaki ayam kicap dan tauhu stim. Cuma penulis tak pasti tauhu stim tu makan dengan nasi atau diratah.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top