Menu Mantap di Medan Selera The Portload by Pulut-pulut

Gerai Fam'Fries di The Portload by Pulut-Pulut
Orang kata, makan untuk hidup, bukannya hidup untuk makan. Tapi, di Malaysia kebanyakannya, walaupun bukanlah sampai ke tahap hidup untuk makan; orang jadikan makan sebagai aktiviti harian.

Jadi masuk akal juga kalau penulis kata medan selera atau foodcourt, sebagai tempat makan dan bersosial; ialah pusat aktiviti rakyat Malaysia, sama seperti stadium, tempat beribadat, taman riadah atau rekreasi, dan pusat membeli belah.

Pelanggan di medan selera The Portload
Dulu, kebanyakan gerai di medan selera menjual makanan yang sama. Sekarang, kebanyakan medan selera menyediakan gerai yang menjual makanan yang berbeza, pilihan yang kita ada pun lebih luas dan banyak.

The Portload by Pulut-Pulut

No meja di atas meja medan selera
Macam tu lah keadaannya di medan selera The Portload by Pulut-Pulut yang penulis pergi sewaktu ke Hillpark sebelum ni. Bangunan induknya ialah restoran Pulut-Pulut. Di bahagian luar pula medan selera.


Alamat: 11A, Pusat Perdagangan Hillpark, No 7&7, 1, Jalan Hillpark 11, Bandar Hillpark, 42300 Puncak Alam, Selangor.
Waktu: Ahad & Selasa - Khamis (4:15 - 11pm), Jumaat & Sabtu (4:15pm - 1am).

Lokasinya terletak di antara Saujana Utama dan EcoWorld, berdekatan Petronas, dan bersebelahan Soi 55. kalau datang dari arah Puncak Alam, kena buat pusingan-U di persimpangan antara Saujana Utama dan UiTM.

Aneka Pulut di Pulut-Pulut

Pulut ayam siam dan kerabu mangga ayam
Di Pulut-Pulut, korang boleh cuba pulut mangga, durian, ataupun ayam. Pulut kuning pun ada, tapi penulis lebih tertarik dengan pulut ayam thai sebab ayamnya menggunakan bahagian yang sama dengan chicken chop.

Selain pulut ayam, penulis cuba juga kerabu mangga ayam. Kedua-duanya menggunakan bahagian ayam yang sama, digoreng rangup, dan mempunyai isi yang tebal. Sos thai dan mangga manis, tapi tak keterlaluan.

Smoothie mangga dari Pulut-pulut
Selain pulut dan kerabu mangga ayam, ada juga laksa siam, nasi dagang, nasi lemak, bubur pulut hitam, dan kek. Untuk basahkan tekak pula, ada cendol dan smoothie mangga yang kaw!

Cendol

Cendol bersama kacang merah dan jagung
Cendol yang penulis cuba ni ringkas je, tak ada pulut atau durian pun. Yang ada cuma kacang merah dan jagung. Santan yang digunakan tak terlalu masin, gulanya pula tak terlalu banyak.

Cendol yang digunakan tebal, cuma tak berapa lembut. Cendol yang penulis selalu makan lebih lembut dan sedikit kenyal.

Laksa Siam

Semangkuk laksa siam yang keperangan
Laksa siam di Portload ni boleh tahan power. Rasa kuahnya yang berlemak hampir sama dengan kuah laksam, tapi rasanya sedikit berbeza sebab ada bahan lain macam lengkuas, kunyit dan belacan.

Di sini, laksa siam dihidang bersama hirisan timun. Disampingnya pula ada potongan bawang, cili, kacang panjang, tauge dan limau. Kuahnya pula memang likat, penuh dengan isi ikan.

Lempeng dan Sambal

Beberapa helai lempeng yang nipis bersama sambal ikan bilis
Lempeng di sini nipis, tak berapa garing, lembut, dan licin macam crepe. Sambal ikan bilisnya sedap dan tak terlalu pedas, cuma sambalnya macam sikit. Untuk orang yang sukakan sambal, tak cukup hanya sesudu sambal.

Hidangan Dari Timur ke Barat

Pelanggan di hadapan gerai shawarma dan nasi arab
Di medan selera ada pilihan antara makanan barat, makanan arab, dan makanan Malaysia. Antara gerai yang ada ialah Nasi Kukus Tonggek, Famfries, The Danau Western, Shawarma dan Nasi Arab, Noodles by Che Gion, dan North Station.

Fam'Fries

Classic creamy mushroom cheese fries dari Fam'Fries
Menu pertama dari medan selera yang penulis cuba ialah Fam'Fries. Creamy mushroom cheese fries memang sedap, kentang gorengnya tak terlalu berminyak, dan paling penting kejunya banyak.

Disampingnya ada roti, kalau makan lambat akan lembik. Bagi penulis, menu ni nampak simple, tapi bila makan rasa leka. Untuk kentang goreng, harganya mahal sikit tapi berbaloi dengan apa yang penulis dapat.

Mantou dan Sup Berkrim

Sup berkrim bersama kupang, kepah dan udang
Menu ni bagi penulis unik sikit, sebab penulis tak pernah makan mantou cicah sup macam ni. Supnya nampak macam tomyam berlemak, tapi bukan. Rasanya lebih kepada berkrim atau buttermilk.

Mantounya lembut dan gebu, sedap juga bila cicah dengan kuah yang berkrim dan sedikit manis. Cuma, penulis cepat rasa muak kalau supnya diratah. Mungkin tekak Melayu ni kena ada rasa yang lebih berempah. Walaupun ada serpihan cili, rasanya tak pedas.

Yang penulis cuba ni, ada banyak kupang, kepah, dan udang. Peminat makanan laut boleh cuba yang ni.

Mi Wantan Kicap

Mi wantan kicap bersama wantan goreng, pak choi, dan daging
Dalam semangkuk mi wantan di Portload, ada sayur pak choi, wantan goreng, hirisan daging, taugeh, daun bawang, dan bawang goreng. Disampingnya pula ada sup dan minyak cili untuk yang suka makan pedas.

Boleh gunakan sup untuk lembutkan wantan goreng, atau cairkan sedikit rasa kicap pada mi. Bagi penulis, rasanya setanding sebuah kafe yang viral dengan roti bakarnya baru ni.

Mi wantan kicap ni, atau umumnya mi wantan; tak sama dengan mi kicap gaya Ipoh yang penulis makan di Bidor. Satu gunakan mi telur, satu lagi gunakan mi kuning.

Ikan Goreng Telaga Emas (Fish & Chip)

Fish & chip dari gerai The Danau Western
Disebabkan penulis dah cuba pulut ayam dan kerabu mangga ayam, untuk makanan barat penulis cuba fish & chip. Fish & chip di sini besar, dalam sepinggan ada dua ketul ikan yang digoreng dengan salutan serbuk roti.

Ikannya digoreng cantik, tepungnya tak hangit, dan rasanya agak rangup. Kalau tak silap, ikan yang digunakan ialah dori air tawar — sama dengan kebanyakan fish & chip di tempat lain.

Sepinggan fish & chip dengan salad, roti, sos tartar dan kentang putar
Fish & Chip dihidang bersama sos tartar, roti, salad dan kentang putar. Semuanya ok kecuali kentang putarnya yang agak kering dan memerlukan sedikit kuah. Pelik pula kalau makan dengan sos tartar — lebih sesuai dengan sos perang atau lada hitam.

Harga Hipster Tapi Berbaloi

Pulut ayam thai
Untuk yang penulis makan tadi, setiap satu berharga atas daripada RM10. Pulut ayam dan kerabu mangga ayam contohnya berharga RM15. Terus terang harga makanan di sini agak hispter.

Tapi, berbaloilah dengan apa yang penulis dapat — isi ayam tebal, keju pada kentang goreng banyak, kupang dan udang boleh dimakan dua orang, mi wantan pun lengkap bahannya.

Pekerja Nasi Kukus Tonggek sedang menciduk gulai
Penulis paling suka pulut dan kerabu mangga ayam, sebab ayamnya tak terlalu kering, tebal dan rangup. Cuma, ayam yang penulis dapat pada pulut ayam tu kurang identiti siam, hanya ayam yang digoreng dengan tepung, kurang perasa kalau tak dimakan sekali dengan sos.

Datang lepas ni penulis nak cuba menu lain pula, mungkin pulut mangga, pulut kuning, atau nasi lemak. Chicken chop, chicken grill dan pasta dari gerai The Danau Western pun nampak menarik juga.

Menu gerai The Danau Western
Untuk menu dari restoran Pulut-Pulut, boleh buat pesanan menggunakan QR dari meja. Kalau nak pesan dari gerai-gerai di medan selera, contohnya chicken chop atau nasi kukus, boleh ke kaunter gerai yang berkaitan.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top