Shabu-shabu di Let's Nabe Charcoal Grill n Hotpot Kuantan

Hirisan daging untuk shabu-shabu
Kepelbagaian dan kualiti bahan sering dijadikan piawai dalam menilai sebuah restoran stimbot dan gril. Lebih mahal harga yang dibayar, lebih tinggi kualiti yang diharapkan.

Lagipun, takkanlah kita nak makan benda yang sama sepanjang masa di restoran. Tak mustahil kita akan rasa muak, dan rasa taknak pandang dah benda yang kita makan tu untuk seminggu dua akan datang.

Dah banyak kali penulis ke restoran stimbot dan gril, tapi ni pertama kali penulis ke restoran yang menyediakan shabu-shabu, sejenis hidangan nabemono dari Jepun yang menggunakan sup dan daging yang dihiris halus.

Let's Nabe Charcoal Grill n Hotpot

Bahagian hadapan restoran Let's Nabe
Let's Nabe Charcoal Grill n Hotpot terletak di Indera Mahkota 7, Kuantan, cuma 200 meter dari hotel Sri Manja dan 350 meter dari Starbucks Indera Mahkota. Baru beroperasi dalam setahun, tapi dah ada lebih 900 review di Google Maps


Alamat: B38 &, B40, Jalan IM 7/4, Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan, Pahang.
Waktu: Isnin - Ahad (12PM - 10PM).

Di sini, korang ada pilihan untuk makan secara ala carte atau bufet. Lebih menarik lagi, ada bahan yang disediakan atas conveyor belt seperti di restoran sushi, jadi kita tak perlu bangun dari meja.

Antara bahan yang diletakkan atas conveyor belt ialah tauhu lembut, tauhu telur, sosej, telur, cendawan inoki, cendawan shimeji, salad coral, romaine lettuce, pak choi, mi, mochi, kek, dan banyak lagi.

Menyediakan Shabu-shabu

Daging yang diletakkand alam chiller
Tapi, tujuan utama penulis ke Let's Nabe bukan untuk makan sosej, filamen ketam, atau bebola ikan. Tapi, untuk cuba shabu-shabu. Selalunya, daging yang digunakan untuk shabu-shabu berkualiti tinggi.

Daging lembu yang digunakan untuk shabu-shabu adalah jenis angus, dan kedua-dua daging lembu dan kambing yang digunakan di Let's Nabe diimport dari Australia. Untuk shabu-shabu, dagingnya tak diperap.

Untuk daging perap pula, ada perapan jenis korean sweet chili, hot sriracha, chinese black pepper, honey butter, dan soy garlic. Daging yang diperap lebih sesuai dimasak atas gril.

Bakar Menggunakan Arang

Dapur arang dengan corong penyedut asap
Di Let's Nabe, grilnya tak gunakan dapur gas tapi gunakan arang. Di setiap meja ada corong yang berfungsi untuk menyedut asap dari gril, jadi takkan ada masalah asap atau bau dalam restoran.

Sup pula, untuk bufet boleh pilih dua jenis. Antara pilihan sup yang ada ialah nabe signature, Japanese miso, Tomyam, dan Korean kimchi. Penulis pilih nabe signature dan kimchi, nabe signature lebih manis.


Sup kimchi tu, kalau tambah tauhu lembut akan jadi sundubu jjigae macam yang penulis makan di Dubuyo. Cuma, sebabkan terlalu teruja dengan pilihan daging yang ada, penulis terlupa nak ambil gambar hotpot.

Selain daging, ada juga makanan laut seperti udang harimau, saba mackerel, dory, sotong, scallop, tiram dan kupang. Tapi, benda tu kita boleh dapat di restoran stimbot lain juga, sebab tu penulis bagi lebih tumpuan ke daging.

Daging Lembu dan Kambing Berkualiti

Aneka jenis daging
Di restoran stimbot gril lain, penulis sangat-sangat jarang makan daging lembu sebab dagingnya liat jadi penulis akan banyak makan ayam. Tapi di Let's Nabe, bukan setakat daging lembunya lebih lembut, jenis perapan pun lebih banyak.

Kalau kita tengok dari hirisan daging lembu yang ada, kita boleh nampak marbling atau corak lemak pada daging walaupun bukan daging Wagyu. Bahagian apa yang digunakan penulis tak pasti, mungkin sirloin atau ribeye.


Semua daging disediakan tanpa tulang, jadi tak perlu risau sakit gigi tergigit serpihan tulang — perkara yang biasa jadi bila penulis makan daging kambing di restoran stimbot dan gril.

Di Let's Nabe, ada tujuh pilihan sos antaranya thai sweet chili, namjin, roasted goma, gochujang, dan sichuan chili. Penulis suka dengan sos namjin yang penulis tambahkan ketumbar dan bawang putih.

Harga di Let's Nabe

Daging sedang dimasak atas dapur arang
Untuk harga bufet, boleh tengok jadual di bawah:

Kategori Harga
Dewasa RM73.44
Kanak-kanak RM41
Warga Emas RM59.40
OKU RM41
Pelajar RM64.80
Bawah 5 Tahun Percuma

Untuk harga ala-carte pula:

Menu Harga
Stimbot Gril 2 Orang RM16.80
Stimbot Gril 4 Orang RM26.80
Piring Beige RM1.80
Piring Hijau RM2.80
Piring Kuning RM3.80
Piring Biru RM4.80
Piring Purple RM5.80
Piring Merah RM7.80
Daging Perap dan Shabu-shabu RM13.80
Salmon RM17.80
A5 Japanese Wagyu 100/200/400 gram RM95/185/365
Australia Black Angus 100/200/400 gram RM45/85/165
Minuman RM5.00 - 18.00

Untuk bufet, boleh makan semua yang ada pada menu kecuali bahan premium seperti wagyu, black angus, dan salmon. Masa diberikan ialah 90 minit.

Walaupun harganya lebih mahal untuk bufet; penulis rasa berpuas hati dengan pilihan yang ada. Cuma, bagi penulis masa sejam setengah tu perlu dinaikkan kepada 2 jam, sama seperti di Seoul Garden.

Sichuan chili oil dan kicap masin
Selama penulis makan di restoran stimbot dan gril, bukan semuanya penulis berpuas hati. Antara masalah di beberapa restoran penulis pergi ialah sos yang sedikit dan kaunter makanan yang dibiarkan kosong.

Masalah tu takde di Let's Nabe. Boleh dikatakan, di samping Hausgrill di Klang dan Bendang Steamboat & Grill di Tikam Batu, inilah antara restoran stimbot dan gril terbaik penulis pernah pergi.

Jadi, jangan lupa masukkan Let's Nabe dalam jadual percutian ke Kuantan nanti. Untuk maklumat lanjut, boleh ke laman facebook atau instagram Let's Nabe.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top