Pelbagai Pilihan Jenama Coklat dan Aiskrim di Gedung Biskut dan Kerepek Sungai Petani

Aiskrim jenama Daim
Walaupun bukan seorang penggemar makanan manis atau manisan, sekali sekala teringin juga nak makan coklat. Kebiasaannya, penulis akan makan coklat daripada jenama seperti Kitkat, Cadbury, dan Ferrero.

Sebabnya, penulis lebih suka coklat yang ada wafer seperti Kitkat dan Kinder Bueno, atau berkacang macam Ferrero Rocher dan beberapa pilihan daripada jenama Cadbury dan Beryl's.

Ritter Sport Choco Cube
Teringat waktu penulis beli sekotak coklat tiramisu bersama almond berjenama Beryl's di sebuah kedai bebas cukai di Pulau Tioman. Bahagian luarnya pahit, tapi dalamnya manis dan kacangnya pula rangup.

Beryl's, selain daripada jenama seperti Toblerone, Hersheys, Daim, dan Bounty; adalah antara jenama yang penggemar coklat akan cari untuk dibawa balik apabila bercuti di Pulau Langkawi.

Pembekal Kuih Raya Malaysia, Gedung Biskut dan Kerepek Sungai Petani

Gedung biskut raya dan kerepek di Sungai Petani
Tapi sekarang dah tak perlu ke Langkawi, sebab di Sungai Petani, Kedah pun dah ada tempat yang jual coklat bermacam jenis, termasuklah daripada jenama yang disebutkan tadi.


Alamat: Lrg Saga 1/4, Kawasan Perusahaan Saga, 08000 Sungai Petani, Kedah
Waktu: Khamis - Selasa (11AM - 6PM)

Berada agak jauh, dalam 10 kilometer dari pekan Sungai Petani, kedai yang terletak di Kawasan Perusahaan Saga ni asalnya sebuah gedung pembekal biskut atau kuih raya. Entah sejak bila terkenal dengan pilihan coklatnya yang banyak.

Antara benda pertama yang kita akan nampak, selain daripada biskut raya; apabila masuk ke sini ialah pelbagai jenis kerepek dan kacang seperti gajus dan pistachio.

Aneka Jenama Coklat

Coklat jenama Elvan Truffle
Coklatnya ditempatkan dalam sebuah bilik berpendingin hawa belakang kaunter pembayaran. Memang teratur susunan coklat-coklat yang ada di sini, ada juga jenama yang penulis jarang atau, seingat penulis; tak pernah dengar.

Antara jenama coklat yang ada, selain daripada yang disebutkan awal tadi; ialah Snickers, Mars, Whittaker, Elvan, Ritter Sport, Maltese, Twix, Peppero, MilkyWay, dan Milka.

Pelbagai perisa coklat Ritter Sport
Selain pek, ada juga jual coklat satu per satu macam di kedai runcit. Jadi bolehlah kita campur bermacam jenis coklat yang kita nak cuba, takdelah bosan makan coklat yang sama setiap hari.

Aiskrim Pun Ada

Aiskrim Haagen-Dazs perisa vanila, coklat, dan matcha
Selain coklat, di sini pun ada aiskrim. Lebih menarik lagi, kebanyakan aiskrim yang ada jarang kita jumpa di luar contohnya aiskrim Daim, Toblerone, Snickers, Cadbury, Lotus Biscoff, dan Haagen-Dazs

Dah lama teringin nak makan aiskrim Haagen-Dazs, cuma harganya buatkan penulis berfikir panjang. Kali ni berbeza, penulis beli Haagen-Dazs berperisa teh hijau matcha bersama almond — harganya RM9.45.

Haagen-Dazs Matcha Green Tea & Almond

Haagen-Dazs Matcha Green Tea
Aiskrimnya diletakkan dalam kotak, tapi dalam kotak pula ada plastik, dalam plastik barulah ada aiskrimnya. Bungkusan je pun, agaknya; dah 15% daripada harga aiskrim.

Salutan coklat berkacang almond aiskrim Haagen-Dazs
Rasa matcha tak terlalu kuat dan salutan coklatnya tak terlalu manis. Salutannya juga lebih nipis dan kurang manis berbanding Magnum Matcha Crumble. Penulis lebih sukakan rasa Haagen-Dazs, cuma tak dinafikan Magnum lebih nilai atas wang.

Nilai Pada Keterujaan

Coklat Alfredo berperisa Tiramisu
Bab harga, mungkin ada yang lebih murah dan ada yang lebih mahal. Cuma penulis jarang jumpa produk yang sama di pasaraya lain, jadi agak susah untuk penulis buat perbandingan. Yang pasti, di Shopee akan sentiasa ada yang lebih murah.

Cuma kalau nakkan, untuk diri sendiri atau anak-anak; keseronokan atau keterujaan dapat tengok coklat yang banyak, pilih dengan tangan sendiri, dan cuba apa yang dibeli secepat mungkin sementara keterujaan tu masih ada, lebih baik datang ke sini.

Untuk maklumat lanjut dan lebih banyak lagi gambar coklat dan aiskrim, boleh ke laman Facebook Pembekal Kuih Raya Malaysia atau Gedung Biskut & Kerepek Sungai Petani.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top