Jenahak Tiga Rasa dan Ketam Masak Lemak di Api Api Ikan Bakar Kuala Perlis

Ikan jenahak
Rakyat Malaysia ni terlalu dimanjakan dengan makanan. Sarapan ada nasi lemak, roti canai, lontong, nasi dagang, pelbagai macam kuih. Tengah hari pula nasi campur, nasi kandar, nasi ayam, mi kari, laksa.

Kalau tak masak, malam mesti lepak mamak, kedai tomyam atau medan selera. Tambah pula kalau bercuti di tempat berhampiran laut, mesti nak cuba makan kedai ikan bakar.

Api Api Ikan Bakar Kuala Perlis

Restoran Api Api Ikan Bakar Kuala Perlis
Kalau bercuti di Kuala Perlis, boleh ke restoran Api Api Ikan Bakar. Restoran ni bersebelahan je dengan Sungai Perlis, dalam 3 kilometer dari Jeti Kuala Perlis dan 2.5 kilometer dari Muzium Kota Kayang.


Alamat: Jalan Dato Ali, Bukit Tok Po, 02000 Kuala Perlis, Perlis
Waktu: Isnin - Ahad (5pm - 10:30pm).

Waktu ke sini dulu, restoran dah ramai seawal dibuka pada pukul 5 petang. Parkir percuma disediakan di seberang jalan utama, tak mengganggu jalan, cuma kena berhati-hati melintas.

Nombor meja yang diambil sebelum masuk ke restoran
Restoran ni antara yang termasyhur di Perlis, di Google Maps dah ada lebih daripada 2000 penilaian dengan purata penilaian setinggi 4.3 bintang. Jadi tak peliklah kalau ramai.

Tak Berebut Meja

Sate ayam dan daging bersama timun dan bawang
Tak perlu berebut meja kalau restoran penuh sebab kita akan diberikan nombor. Sementara tunggu nombor dipanggil, boleh tengok suasana Sungai Perlis atau pesan dan makan sate dari gerai bersebelahan.

Kebanyakan makanan di sini sama je macam di restoran ikan bakar lain, yang buatkan tempat ni popular adalah rasa masakannya yang sedap. Antara menu yang penulis cuba ialah jenahak tiga rasa, ketam masak lemak dan udang goreng mentega.

Ikan jenahak masak tiga raswa
Memang sedap makan nasi berkuahkan masak lemak dan berlaukkan isi jenahak yang tebal. Sebolehnya, kena ada satu lauk yang dimasak berkuah tak kisahlah masak lemak, gulai atau asam pedas.

Ikan digoreng tak terlalu kering jadi isinya masih gebu, cuma kuah tiga rasanya macam sos siam, manis dan tak berapa pedas. Walaupun kuahnya sedap, penulis lebih sukakan kuah tiga rasa yang ditumis dengan bawang yang lebih banyak.

Wajib Cuba Ketam Masak Lemak

Ketam masak lemak
Kesemua makanan lauk yang penulis cuba segar, isi ikan dan udang tak lembik, makanan pun tak ada yang berbau. Antara tiga kuah tadi, penulis paling sukakan masak lemak.

Cuma butter prawn di sini jenis basah, jadi tak adalah serunding telur macam penulis makan di restoran Homst. Boleh dimakan dengan nasi, tapi lebih puas kalau diratah.

Udang goreng mentega basah
Nak kata harga makanan laut di Api Api Ikan Bakar ni murah sangat pun tak juga. Kalau tak ambil banyak lauk mungkin murah sikit je berbanding restoran ikan bakar yang penulis selalu pergi di Selangor dan Melaka.

Waktu ke sini dulu, harga sekilo udang lebih mahal tapi sekilo ikan jehanak lebih murah berbanding di Melaka. Harga makanan laut ni susah nak dijangka, bergantung pada bekalan dan permintaan setempat.

Api Api River Cruise
Datang awal kalau nak makan sambil tengok suasana sungai. Tak pasti masih ada atau tak perkhidmatan river cruise antara pukul 3 dan 7 petang. Naik bot sepanjang Sungai Perlis dalam 30 ke 45 minit, cuma RM12 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.

Untuk maklumat terkini tentang cuti atau waktu operasi, boleh ke laman Facebook atau Instagram Api Api Ikan Bakar Kuala Perlis.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top