Pasta Berkrim, Pizza Peperoni dan Steak Ribeye di Hardcovr Cafe Eco Grandeur, Puncak Alam

Pasta dengan ikan salmon
Tak semestinya kafe cuma sediakan kopi, teh dan manisan seperti kek atau pastri. Dah banyak rasanya kafe yang memperkenalkan dan menyediakan menu lain seperti salad, sandwich dan pasta.

Lagipun, bukan semua yang datang ke kafe gemarkan makanan yang manis. Betul, kopi dan kek sering digandingkan bersama, tapi apa kurangnya gandingan antara kopi dan sandwich ataupun pasta?

Kafe Hardcovr Eco Grandeur

Hardcovr Cafe Eco Grandeur Puncak Alam
Kalau pergi ke kafe Hardcovr (sebutannya hardcover) di Eco Grandeur, Puncak Alam jauh lebih banyak menunya. Di sini juga ada beberapa pilihan burger, steak, pizza, makanan korea dan nasi goreng.


Alamat: Hardcover Cafe, 30-G, Jln Eco Grandeur 1/8A, Puncak Alam, 42300 Kuala Selangor, Selangor
Waktu: Ahad - Selasa dan Khamis (12pm - 10pm), Jumaat (2:30pm - 11pm).

Buku di atas rak di tepi dinding
Selang beberapa lot je dari kafe dan bakeri Mizukicakes yang penulis review baru ni, kafe Hardcovr ni pun antara kafe yang korang kena cuba kalau datang ke Puncak Alam.

Walaupun kafe, menunya mengalahkan restoran. Mana taknya, untuk pasta je ada lebih daripada 15 jenis pilihan, pizza lebih daripada 8 pilihan, dan nasi goreng pula lebih daripada 6 pilihan.

Sandwich, Pasta, Pizza dan Steak

Air apple mint mojito dengan daun pudina
Penulis lebih tertarik untuk cuba makanan di kafe Hardcovr berbanding minuman. Antara makanan yang penulis cuba ialah Smokey Duck Sandwich, Salmon My Pasta, Beef Pepperoni Pizza dan Ribeye Steak.

Smokey Duck Open Face Sandwich

Sanwich sourdough dengan salad, telur mata dan itik salai
Sandwich cuma menggunakan sekeping roti jenis sourdough dan bahannya pula diletakkan di atas roti seperti topping, bukannya diapit. Sejujurnya ni kali pertama penulis makan roti sourdough.

Kerak roti sedikit keras, tapi bahagian dalamnya lembut dan rasanya sedikit berbeza berbanding roti putih. Selain itik salai, ada juga salad coral hijau dan merah, dan sebiji telur mata kerbau yang kuning telurnya masih basah.

Bagi penulis, ni menu yang paling ringkas antara menu-menu yang penulis cuba. Tapi, tetap puas hati sebab ada sebiji telur dan lebih daripada 5 hirisan itik salai.

Salmon My Pasta

Pasta berkrim dengan ketulan ikan salmon
Kuahnya berlemak dengan sedikit rasa lemon dan bawang putih, cuma kurang likat berbanding carbonara yang penulis biasa makan. Ada juga hijaunya dari tumbuhan atau sayur seperti - penulis teka - pasli, bayam dan pea sprout.

Isi ikan salmon dipotong dadu, menjadi ketulan tak bertulang yang mudah dimakan. Sedap, tak ada apa nak merungut. Cuma, kalau korang suka makan kuah, menu ni kuahnya tak banyak.

Beef Pepperoni Pizzeria

Piza peperoni daging
Pizza di kafe Hardcovr adalah handmade dan disediakan sebaik sahaja pesanan dibuat — bukan readymade. Keraknya nipis jadi bahagian luar atau tepinya rangup.

Bahannya cumalah pes tomato, mozzarella, parmesan, peperoni, dan sayur yang kelihatan macam bayam dan arugula. Rasa pizza tak manis dan tak terlalu masin, tapi ada sedikit rasa masam dari tomato.

Pizza cendawan dan daging
Ada dua pizza yang penulis cuba sebenarnya. Satu lagi, pizza mixed mushroom & beef dibawa pulang. Sedap juga, penulis perasan ada tiga jenis cendawan — inoki, shimeji dan shiitake.

Grass Fed Ribeye Steak

Steak ribeye dengan salad, kentang dan sos lada hitam
Steak ribeye disediakan bersama sos lada hitam, tomato ceri, salad dan kentang panggang yang dah siap dihiris ala kentang hasselback. Kentang yang digunakan tak macam russet, mungkin cuma kentang kuning biasa.

Kalau tengok dari warna daging yang masih pink, mungkin steak dimasak antara medium rare ke medium. Selalunya steak yang dimasak macam ni empuk, tapi ribeye yang penulis cuba ni sedikit keras, lebih padat dan kurang berjus.

Penulis dapat tahu daging lembu yang diberi makan lebih banyak rumput atau grass-fed, walaupun lebih mahal; adalah kurang empuk, kurang berlemak dan kurang kalori berbanding lembu grain-fed yang diberi makan lebih banyak bijirin macam soya dan jagung.

Persembahan Makanan Teliti dan Kreatif

Secawan latte dengan seni tulip
Secara keseluruhannya memang berpuas hati. Persembahan hidangan, terutamanya pasta dan pizza; pun teliti kalau kita tengok pada cara pasta diletakkan di pinggan, susunan bahan atas pizza, dan pemilihan salad.

Latte art berbentuk tulip menjadi, mengingatkan penulis semula yang restoran ni sebenarnya sebuah kafe. Kecerunan warna antara putih dan hijau pada air apple mint mojito pun nampak menarik.

Sandwich sourdough di Hardcovr Cafe
Selepas diambil kira rasa, bahan, persembahan dan harga, penulis paling sukakan Salmon My Pasta diikuti dengan Smokey Duck Sandwich. Kuah pasta tak memuakkan, hirisan itik pada sandwich pula banyak, dan bagi penulis pilihan yang lebih sihat berbanding steak dan pizza.

Menu Harga
Smokey Duck Open Face Sandwich RM13.90
Salmon My Pasta RM20.90
Beef Pepperoni Pizzeria RM25.90
Mixed Mushroom & Beef Pizza RM25.90
Grass-fed Ribeye Steak RM49.90
Latte Single Shot (Hot) RM9.00
Apple Mint Mojito RM13.00

Piza peperoni daging
Cumanya, pizza menu yang lebih jimat kalau datang beramai-ramai sebab boleh makan sampai 4 orang — 2 keping seorang. Boleh datang berempat, pesan 2 jenis pizza dan latte 4 cawan, modal tak sampai RM25 seorang.

Kalau ada yang kurang mungkin pada steak, seeloknya untuk daging grass-fed cuba pesan medium rare dan habiskan sebelum sejuk. Masalahnya, tekak Melayu yang dah biasa dengan daging well done ni boleh terima setakat medium je — dilemma.

Persembahan dan penyediaan steak ribeye
Steak yang penulis dapat ni, nampak berbeza dengan gambar di Instagram dan Google Maps yang menggunakan sos peppercorn. Sebabnya, yang penulis tengok tu Gaucho Ribeye tapi yang penulis cuba ni Grass-fed Ribeye Steak.

Jadi, penulis rasa menu dan apa yang korang akan dapat sedikit sebanyak bergantung pada ketersediaan atau availability bahan dan chef. Untuk steak yang berharga premium macam ni, sebaiknya korang tanya dulu sebelum buat pesanan.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top