Menjamah Nasi dan Lauk di Restoran Masakan Cina Muslim HOMST
Ini kali kedua penulis ke restoran makanan cina muslim HOMST di Setia Alam. Sebelum ni, penulis cuma makan nasi dengan ayam lemon, dan beberapa menu ala carte lain macam ladu kambing dan mi kantonis.
Rasanya yang sedap dan harganya yang, selepas dibandingkan dengan restoran cina muslim lain yang penulis pernah pergi; berpatutan membuatkan penulis rasa terpanggil untuk datang lagi ke HOMST.
Silaplah kalau datang untuk makan malam tanpa membuat tempahan pada hujung minggu. Hampir-hampir tak jadi makan di sini sebab meja yang ada hampir kesemuanya dah berpelanggan atau ditempah.
Nasib baik ada tiga meja kosong yang terletak bersebelahan. Walaupun mejanya kecil - untuk pelanggan yang datang berpasangan - selepas digabungkan dapatlah muatkan enam orang.
Untuk makan malam kali ni, nasi putih bersama lauk — macam yang kita biasa makan di kedai tomyam. Cuma, lauknya gabungan antara masakan cina dan siam sama macam di restoran Sri Pinang dan Mohd Chan.
Selain daripada ayam goreng lemon, kali ni penulis makan nasi dengan lebih banyak pilihan lauk. Tomyam, sup isi ketam dan tauhu, tauhu sizzling, udang mentega, telur dadar tiram dan baby kailan ikan masin.
Menu | Harga |
---|---|
Tomyam Seafood (L) | RM28 |
Tofu Crab Meat Soup (R) | RM15 |
Sizzling Tofu (R) | RM15 |
Butter Prawn (R) | RM27 |
Oyster Omelette (R) | RM15 |
Baby Kailan Ikan Masin (R) | RM17 |
(R) - Regular, (L) - Large
Ayam goreng lemonnya, sama macam sebelum ni; tebal dan rangup. Menurut HOMST, menu berasaskan ayam yang disediakan di sini 100% menggunakan ayam daripada Beacon Chicken, tanpa antibiotik dan hormon.
HOMST tak terkecuali bila bercakap bab harga udang mentega atau "butter prawn" — antara menu berharga tinggi. Tapi, untuk bilangan udang yang penulis dapat, masih berbaloi. Lagipun serunding telurnya sempurna dan sedap.
Tauhu sizzling pula tak terlalu masin, pada kuahnya pula diletakkan juga sebiji telur. Kuahnya yang dicampurkan ayam dan cendawan yang dicencang sedap dimakan bersama nasi.
Rasa sup isi ketam di sini sedikit berbeza berbanding di Mohd Chan dan Sri Pinang, warnanya pun lebih gelap. Dalam tomyam seafood pula ada udang dan lala, samalah macam sebelum ni cuma kali ni lebih banyak sebab pesan saiz "large".
Mungkin tak nampak daripada gambar, sebenarnya banyak isi tiram pada telur dadar tiram atau "oyster omelette". Telurnya pun masih sedikit basah, tak digoreng sampai kering.
Daripada kesemua menu yang penulis cuba cuma tomyam seafood bersaiz besar, selebihnya bersaiz biasa. Walaupun boleh dikongsi sehingga enam orang, secara idealnya saiz biasa boleh dimakan tiga ke empat orang.
Dari segi portion, HOMST antara restoran yang portion makanannya besar. Kalau korang tercari-cari restoran masakan cina yang halal di Selangor, khusunya sekitar Lembah Klang bolehlah cuba datang ke restoran HOMST.
Post a Comment