Ayam Broasted dan Nasi Ikan Tilapia di SugarBun Malaysia
Kalau nak dibandingkan dengan KFC, restoran makanan segera yang bermula di Kuching, Sarawak ni kurang dikenali penduduk dari semenanjung Malaysia. Bilangan cawangan yang ada di semenanjung pun cuma enam.
Buat masa ni, restoran SugarBun cuma ada 3 cawangan di Kuala Lumpur, dan selebihnya setiap satu cawangan di Putrajaya, Selangor dan Johor. Boleh ke sini untuk perincian setiap lokasi SugarBun.
SugarBun, Dari Borneo ke Semenanjung
Lain pula ceritanya di Sabah dan Sarawak, SugarBun ialah pesaing utama KFC. Bagi orang Sarawak, SugarBun ialah nostalgia zaman kecil terutamanya bagi mereka yang kemudiannya bekerja atau berpindah ke semenanjung.
Entah bila pertama kali penulis dengar tentang SugarBun, tapi dah lama rasanya teringin nak cuba. Cuma tak berkesempatan sebelum ni sebab cawangan yang ada di semenanjung agak jauh.
Broasted Chicken
Ayam goreng di SugarBun dimasak menggunakan penggoreng tekanan, kaedah yang dipanggil sebagai "broasting" — gabungan deep fryer + pressure cooker. Dengan kaedah "broasting", ayam kurang berminyak dan isinya lebih berjus.
Cara yang sama digunakan di KFC, cuma perkataan "broasted" tak digunakan sebab ia adalah trademark syarikat Broaster Company. Untuk gunakan perkataan "broasted" mesti gunakan penggoreng tekanan, tepung dan perapan dari Broaster Company.
Antara ayam broasted SugarBun dan original recipe KFC, penulis akan pilih ayam broasted. Bukan sebab ayam KFC tak sedap, tapi kualiti tak konsisten.
Menu dari Borneo
Tak terhad kepada ayam goreng dan burger, SugarBun juga menyediakan makanan asia seperti laksa sarawak, sup ikan kerapu, claypot ayam dan cendawan, asam pedas ikan tilapia, dan set nasi ikan tilapia.
Laksa Sarawak
Inilah yang membezakan antara KFC dan SugarBun. Laksa Sarawak cukup rasa, bahan yang ada ialah telur, tauge, hirisan ayam dan beberapa ekor udang yang comel-comel. Atasnya pula dihiaskan dengan daun pasli.
Sebab tak pernah ke Sarawak, tak dapat nak menilai ke-autentik-an rasa laksa Sarawak di sini. Bagi penulis, rasa kuahnya sedap dan berbeza daripada mi kari.
Borneo Eco Fish Meal
Nampak macam sama dengan nasi tilapia penyet sebab ada sambal dan kicap, cuma bezanya tak ada tauhu dan tempe — digantikan dengan acar timun. Nasi yang digunakan pula nampak macam campuran beras putih dan perang.
Memang puas hati walaupun harganya sedikit keras, sebab saiz ikannya besar. Ambil masa juga nak habiskan seekor tilapia sampai licin, terutamanya di bahagian bawah sirip; sebab tulangnya banyak
Tak jelas kenapa menu ikan tilapia ni namanya Borneo Eco Fish, mungkin ada kaitan dengan syarikat pembekal ikan tilapia merah dari Batang Ai, 275 km dari Kuching; yang menggunakan nama yang sama, Borneo Eco Fish Sdn Bhd.
Piza Pepperoni
Berbalik ke menu barat, tak pasti sama ada piza di SugarBun ialah menu kekal ataupun bermusim. Untuk piza bersaiz 7 inci, harganya cuma RM8 dan boleh pilih daripada lapan perisa.
Rotinya lembut, keraknya sedikit rangup, dan intinya cukup untuk saiz personal. Seeloknya makan ketika panas, risau keraknya keras atau liat kalau dibiarkan sejuk.
Sos Cili Pedas Sabasco
Penulis syorkan untuk cuba Sabasco, sos cili pedas asli dari Kunak, Sabah yang diperbuat daripada cili momporok. Yang penulis cuba ni Sabasco cili hijau, rasanya sedikit masam dan pedas.
Kalau rasa macam biasa dengar, mungkin sebab namanya hampir sama dengan "Tabasco".
Kombo Bersama Nasi
Di SugarBun ada dua jenis kombo untuk ayam. Boleh pilih antara ayam dengan (1) nasi dan acar atau (2) coleslaw dan kentang putar. Cuma penulis tak pasti pilihan (2) ada di setiap cawangan atau tak.
Orang semenanjung yang turun ke Kuala Lumpur mencari alternatif kepada KFC dan Marrybrown bolehlah cuba SugarBun. Boleh ke cawangan Bangsar, Jalan Tar atau Menara Hap Seng yang terletak kurang 700 meter dari stesen LRT/Monorel terdekat.
Yang tinggal berhampiran pantai barat Selangor, antara Port Klang dan Sabak Bernam boleh juga ke SugarBun Puncak Alam — satu-satunya cawangan di Selangor buat masa ni.
Post a Comment