Restoran Nasi Lemak Bangsudu: Ayam Goreng Berempah dan Telur Mata

Nasi lemak telur mata dan ayam goreng
Nasi Lemak Bangsudu pernah tular di media sosial pada tahun 2022. Pada waktu tu, Bangsudu buka meja di belakang bonet kereta untuk jual nasi lemak di tepi jalan Persiaran Desa Coalfields, Sungai Buloh.

Tak mungkin tular hanya sebab harganya RM1 atau Bangsudu sendiri selalu live di Tiktok. Mesti ada sesuatu pada nasi lemaknya sehinggakan pempengaruh seperti Khairul Aming sendiri tak berasa segan terus mempromosikan nasi lemak ni.

Restoran Nasi Lemak Bangsudu

Kaunter lauk Nasi Lemak Bangsudu
Selang setahun selepas nasi lemaknya tular, Bangsudu dah berjaya membuka restoran pertamanya di Bandar Seri Coalfields — 3 km dari tapak lama dia berniaga. Inilah kali pertama penulis cuba Nasi Lemak Bangsudu.

Untuk elakkan sesak, penulis ke restoran Nasi Lemak Bangsudu pada hari Rabu selepas pukul 2 petang. Keadaan waktu tu agak lengang dan penulis orang kedua yang beratur, tak sampai 5 minit dah dapat apa yang dipesan.


Alamat: 15, Jalan BSC 2B/1, Bandar Seri Coalfields, 48020 Sungai Buloh, Selangor.
Waktu: Isnin - Ahad (10:30am - 8pm).

Kalau datang pada hujung minggu mesti barisannya lebih panjang. Walaupun kaunter nasi lemak boleh muatkan dua orang pelayan, kalau dah ramai sangat tetap kena menunggu lebih lama.

Nasi Lemak Berlauk

Telur mata dan telur rebus pada nasi lemak
Setiap pesanan nasi lemak akan ada kacang, ikan bilis, telur rebus, timun dan sambal. Lauk pula, boleh pilih antara telur mata, ayam, kerang, sotong, paru dan hati.

Nasi dimasak elok, bersantan dan berderai macam nasi kukus. Ikan bilis rangup, dan rasa sambal nasi lemaknya pula manis dan sedikit pedas. Aroma daripada daun pisang pula menaikkan lagi selera.

Telur Mata

Pandangan atas nasi lemak berlauk
Untuk telur mata yang penulis dapat, bahagian kuning telurnya kurang berair. Tapi, boleh diterima sebab masih lembap dan tak dimasak sampai kering macam kuning telur pada telur rebus.

Bagusnya di sini, kita tetap akan dapat telur rebus walaupun pesan nasi lemak dengan telur mata. Bagi penulis, telur matanya lebih sedap berbanding telur rebus.

Ayam Goreng Berempah

Nasi lemak ayam berempah dan telur mata
Walaupun ayam berempahnya kurang panas, isinya masih lembut. Saiz peha ayamnya juga lebih besar daripada peha ayam KFC, seketul pun dah cukup untuk seorang. Cuma penulis pernah dapat peha yang lebih besar di kedai lain.

Rasa rempahnya lebih kurang sama dengan ayam goreng berempah di kebanyakan kedai nasi kukus. Yang penting, tak terlalu masin dan ayamnya dimasak elok sampai ke tulang.

Set Nasi Lemak Lengkap

Kacang, timun dan ikan bilis
Nasi lemak di sini lengkap — ada daun pisang, ikan bilis, kacang, timun, telur rebus dan sambal. Pada penulis, yang menjadikan Nasi Lemak Bangsudu istimewa ialah sambalnya.

Daun pisang pun mainkan peranan juga, kalau tak percaya cuba makan sambil tutup hidung. Persepsi kita terhadap rasa sesebuah makanan, 70% ke 75% daripadanya datang daripada deria bau.

Menu Harga
Nasi Lemak Biasa RM3.00
Nasi Lemak Telur Mata RM4.50
Nasi Lemak Ayam Berempah/Sambal RM9.00
Nasi Lemak Rendang Ayam RM10.00
Nasi Lemak Kerang/Paru RM8.00
Nasi Lemak Hati Ayam RM5.00

Harga mestilah berbeza bila dah ada restoran yang selesa, tambah pula berpendingin hawa. Air suam pun disediakan percuma, takkan masih nak minta Bangsudu jual RM1.

Nasi lemak ayam berempah telur mata
Buat masa ni, Bangsudu dah tak jual nasi lemak di tepi jalan untuk bagi tumpuan sepenuhnya ke restorannya di Bandar Seri Coalfields. Dia pun masih lagi bereksperimen untuk cari cara yang terbaik menguruskan pelanggan yang ramai.

Bangsudu boleh cuba tengok macam mana restoran lain uruskan pelanggan yang ramai. Dua tempat penulis cadangkan untuk tengok: Nasi Kandar Mamu FZ Puncak Alam dan Nasi Lemak Wanjo Kg Baru.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top