Asam Pedas Daging Tetel dan Pari di Asam Pedas Zink, Tanjung Bidara, Melaka
Tak kena kalau datang ke Melaka tapi tak makan asam pedas. Cumanya, sepanjang penulis makan asam pedas di Melaka rasa masakannya selalu berbeza dari satu kedai ke kedai yang lain.
Senang cerita, tak semua asam pedas kena dengan tekak. Kalau di sekitar Banda Hilir, ada dalam 2 atau 3 tempat yang penulis selalu pergi. Tapi kalau luar dari bandar, tak pastilah di mana asam pedas yang sedap.
Asam Pedas Zink
Sewaktu ke Tanjung Bidara baru ni, penulis singgah di sebuah restoran asam pedas berdekatan dengan penilaian tertinggi di Google Maps cuma 450 meter dari Abadi Chalet — tempat penulis bermalam.
Alamat: Jalan Persisiran Pantai, Kampung Tanjong Bidara, 78300 Masjid Tanah, Melaka
Waktu: Jumaat - Rabu (6:00am - 2:30pm).
Waktu: Jumaat - Rabu (6:00am - 2:30pm).
Dulu cuma sebuah warung kecil, sekarang dah jadi restoran dengan parkir yang luasnya boleh muatkan beberapa buah bas. Restorannya pun terletak di tengah-tengah antara Pantai Tanjung Bidara dan Pantai Pengkalan Balak.
Di restoran Asam Pedas Zink ada beberapa jenis asam pedas — antaranya pari dan tetel — dan beberapa jenis lauk lain yang boleh dimakan dengan nasi atau roti canai.
Nasi Putih Berlauk
Hampir kesemua kedai asam pedas yang penulis pergi di Melaka sediakan nasi putih bersama dengan sambal belacan, tauge dan telur masin sebagai satu set. Tapi disini kita boleh pilih sendiri lauk yang kita nak.
Di sini lauk termasuk asam pedas kena ambil sendiri secara layan diri, jadi penulis makan asam pedas dengan nasi putih bersama sambal tempe. Asam pedas yang penulis cuba ialah pari dan tetel.
Rasa Yang Lebih Masam
Rasa asam pedas di sini lebih masam daripada yang penulis biasa makan berdekatan bandar, boleh jadi yang di bandar dah diolah mengikut citarasa orang luar. Orang Melaka cuba komen, macam mana sebenarnya rasa asam pedas original Melaka?
Sedap juga, cuma mungkin terlalu masam bagi orang yang tak biasa makan asam pedas. Yang penting jangan manis, kalau manis mungkin dah sama macam masak merah campur serai dan daun limau purut.
Asam Pedas Tetel Lebih Berlemak
Secara peribadi, lebih sukakan asam pedas tetel berbanding pari. Dagingnya empuk, buat masa ni belum pernah lagi makan asam pedas tetel yang liat. Cuma tak pasti daging dan pari dimasak berasingan atau bersama dengan kuah.
Rasa asam pedas tetel, disebabkan oleh lemaknya; akan sedikit berbeza dengan pari. Lebih banyak bahagian lemak digunakan lagi berbezalah rasa kuahnya, melainkan tetel dimasak berasingan dan lemaknya dibuang sebelum dicampurkan kuah.
Antara masakan lain yang ada di sini ialah masak lemak untuk lauk macam nangka, rebung, perut dan siput sedut. Ikan pari dan keli bakar pun ada, tak ada masalah kalau datang ke sini tapi tak makan asam pedas.
Secara keseluruhannya memang ok makan di sini, harga pun lebih murah. Yang bercuti di sekitar Pengkalan Balak dan Tanjung Bidara, bolehlah singgah cuba asam pedas di restoran Asam Pedas Zink.
Post a Comment