Kopi Pahlawan di Warong Kopi Manggis Road, Jalan Klebang, Melaka
Sekarang ni memang leceh kalau nak ke Melaka pada waktu cuti, kalau boleh nak elak daripada masuk ke bandar. Tapi kalau nak ke Masjid Tengkera dan Pantai Klebang, tak ada masalah.
Sebab nak ke sana tak perlu lalu bandar, bolehlah lepaskan rindu pada kuetiau sup di Warung Mi Sup Tengkera. Selepas tu, bolehlah singgah di gerai kuih Keria Antarabangsa Limbungan.
Warung Kopi Manggis Road
Dalam perjalanan menuju ke arah Klebang Original Coconut Shake, ada ternampak sebuah warung yang penulis tak pernah perasan sebelum ni — Warong Kopi Manggis Road.
Alamat: 71, Jalan Kampung Baru, Taman Gembira, 75200 Melaka
Waktu: Isnin - Ahad (7:30am - 2:00pm).
Waktu: Isnin - Ahad (7:30am - 2:00pm).
Tak tahulah kenapa namanya Jalan Manggis walaupun warungnya dibuka di Jalan Klebang. Tapi, warungnya yang besar dengan gambar secawan kopi pada papan tanda kedai buatkan penulis rasa tertarik pula nak cuba.
Warong Kopi Manggis Road menyediakan sarapan seperti nasi lemak, roti canai, lontong, mi goreng dan kopi. Seeloknya datanglah awal sebab pukul 1 atau 2 warung dah mula tutup.
Menu Terpaling Bangsawan
Pesanan cuma di kaunter, masalahnya waktu tu menu di kaunter tak ada gambar dan harga. Sepatutnya menu yang ada gambar dan harga diletakkan di kaunter, tapi digantung dalam 5 meter dari kaunter.
Nama menunya pula terlalu kreatif, contohnya nasi lemak dan lontong gunakan perkataan — mengikut bilangan lauk 2, 3 atau 4 — seperti "bendahara", "sultan" dan "maharaja".
Untuk minuman, ada Cendol Demang Pewira, Ais Kacang Sakna Bongsu, Teh Indera Wangsa, Air Jagung Berdenyut, dan — minuman utama dan istimewa di sini — Kopi Pahlawan.
Orang yang pertama kali datang dan tak diberitahu tentang menu yang digantung tadi mesti takkan faham bila baca menu. Apa kaitan Teh Indera Wangsa dengan teh ais cincau?
Kopi Pahlawan atau Neslo?
Kalau tak tanya, melainkan sebab baca blog ni; korang pun takkan tahu yang Kopi Pahlawan tu sebenarnya Kopi-O campur serbuk Milo atau koko. Rasanya lebih kurang neslo, cuma kopinya lebih kaw.
Cantik cawan yang digunakan, sama macam di kopitiam. Rasa kopinya pekat tapi tak terlalu pahit, mungkin sebab dah bercampur dengan rasa koko. Jangan pesan kalau tak suka neslo atau milo.
Roti Dengan Daging Cincang
Roti canai boleh pilih antara bangsawan dan temenggong. Roti Temenggong, macam yang penulis makan ni; ialah roti yang dibalut seperti popia atau burrito dan berintikan daging cincang.
Kalau dapat inti banyak memang mengenyangkan. Penulis dah makan murtabak dulang di Alor Gajah sebelum ke sini, jadi memang kena berkongsi — tak dapat nak habiskan seorang.
Sebenarnya penulis lebih tertarik dengan Roti Bangsawan, roti canai bersama dua biji telur setengah masak sama macam roti canai telur goyang. Pesan Roti Temenggung sebab nak cuba kelainan.
Bagi penulis, kalau nak buat roti canai dengan daging cincang buatlah macam roti telur sarang burung. Letakkan sekali cuka bawang, nampak lebih menarik daripada apa yang penulis dapat.
Untuk sebuah warung, harganya sedikit mahal. Harga secawan Kopi Pahlawan lebih mahal berbanding secawan Coconut Shake Special di kedai lain, cuma 550 meter dari sini.
Kalau tak ramai orang di warung, bolehlah cuba sarapan di sini. Kopi Pahlawannya boleh buatkan korang celik sampai ke malam, lagipun datang ke Melaka bukannya untuk tidur kan?
Post a Comment