Nasi Arab Mandy dan Mashawey di Restoran Nasi Arab Damsyik Empire, Senawang

Nasi arab mandy bersama potongan bawang dan cili di atasnya
Entah kali ke berapa dah penulis singgah di restoran Damsyik Empire, Senawang setiap kali balik daripada percutian dari arah selatan. Sampai sekarang rasa nasi arabnya masih kekal sedap.

Ni bukan kali pertama penulis tulis tentang restoran yang menyediakan hidangan timur tengah ni. Sebelum ni — ketika pandemik pada tahun 2020 — penulis dah pernah kongsikan tentang restoran ni.

RESTORAN DAMSYIK EMPIRE

Pintu utama restoran Damsyik Empire
Terletak di kawasan perumahan 4 ke 5 kilometer dari pekan Senawang, jangan tertukar pula dengan restoran Nasi Arab Damsyik di Persada Cattleya. Parking, bagi penulis; susah sikit kalau ramai.


Alamat: No. 1 Taman Bourgainvillea, Jalan Paroi - Senawang, 70450 Seremban, Negeri Sembilan.
Waktu: Isnin - Ahad (11am - 11pm).

Antara ayam dan kambing, penulis selalunya akan makan nasi arab dengan kambing. Boleh pilih salah satu atau campur kedua-dua sekali. Cumanya, di sini hanya ada nasi arab mandy — tak ada kabsah dan maqluba.

NASI ARAB MANDY

Sedulang nasi arab mandy kambing
Nasi arab mandy di Damsyik Empire dah diolah kepada tekak melayu. Tak adalah rasa asap atau salai macam nasi arab mandy Chef Ammar, tapi rasanya masih berempah dan sedikit manis.

Sedulang nasi arab datang bersama salsa dan semangkuk kuah cair berwarna putih yang sedikit masam — tak pasti sejenis krim masam atau yogurt. Pada nasi juga diletakkan potongan timun, cili hijau dan bawang.

Nasi arab mandy bersama semangkuk salsa dan semangkuk kuah masam
Tak perlu gulai macam nasi beriani, makan dengan salsa dan kuah masamnya pun dah cukup — tak perlu sup. Kuah masamnya selepas dicampurkan dengan timun jadi macam raita, cuma lebih cair.

Tak banyak restoran nasi arab yang sediakan mandy bersama kuah masam sebab selalunya ia dimakan dengan nasi beriani macam yang penulis makan di restoran Kapitan Tandoori House.

Di Damsyik Empire, sup boleh diambil secara layan diri. Rasa supnya — mungkin dah diolah juga — macam sup tulang, tak macam sup di kebanyakan restoran nasi arab yang sedikit tawar.

SET MASHWI ATAU MASHAWEY AYAM DAN KAMBING

Ayam panggang bersama salad, kentang goreng dan sos
Ada sebab lain sebenarnya kenapa penulis tak pesan nasi arab dengan ayam. Sebab penulis nak makan juga set mashawi atau mashawey — ejaan lainnya mashwi, mishweh, atau mishwi — ayam dan kambing.

Mashwi bermaksud panggang, jadi mashwi ni lebih kurang sama macam ayam atau kambing panggang. Yang bestnya, selain daripada salad, sos lada hitam dan kentang goreng; dalam satu set mashwi juga ada roti leper dan sos bawang putih.

Set mashawey ayam dan kambing
Untuk set mashwi, boleh pilih antara ayam, kambing, ataupun kedua-dua sekali macam yang penulis pesan ni. Untuk set ni, akan dapat juga shish tawook dan kebab.

Kalau kita makan roti bersama ayam, kentang goreng, salad dan sos bawang putih, rasanya seakan-akan shawarma. Sebaiknya dimakan sebaik sahaja dihidang, kalau dibiarkan terdedah lama isinya akan kering.

BAHAGIAN BESAR BOLEH DIKONGSI

Nasi arab mandy isi kambing dengan potongan timun
Dari segi harga, mungkin nampak sedikit mahal. Tapi bahagian makanan di sini besar, set seorang boleh dimakan berdua, dan set bertiga boleh dimakan berlima. Jadi kalau datang berlima, yang makan banyak pula cuma seorang dua eloklah cuma pesan set tiga orang.

Mandy Set
1 3 5
Ayam RM18.00 RM44.00 RM83.50
Kambing RM27.00 RM77.00 RM120.50
Ayam + Kambing RM39.00 RM100.00 RM174.00

Tak berani nak kata tentang keaslian resepi dan rasa nasi arab mandy di Damsyik Empire. Kalau pergi ke 10 restoran nasi arab, tak semua akan rasa sama sebab dah diolah dengan sentuhan masing-masing.

Bagi penulis, ni antara restoran nasi arab yang tersedap di Negeri Sembilan, mungkin juga di Semenanjung Malaysia. Rugi kalau datang ke Seremban atau Senawang tapi tak singgah cuba makan di sini.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top