Asam Pedas Tetel di Ujang Asam Pedas Claypot, Medan Selera Pasar Borong Batu Berendam
Ada beberapa tempat yang penulis akan pergi di Melaka untuk makan asam pedas. Salah satunya di Medan Selera Pasar Borong di Batu Berendam, dalam 13 kilometer dari Banda Hilir.
Kalau tinggal di sekitar Ayer Keroh, lebih dekat ke Medan Selera Pasar Borong berbanding ke pusat bandar. Pilihan gerai yang ada pun banyak, mesti ada salah satu yang kena dengan tekak.
UJANG ASAM PEDAS CLAYPOT
Seingat penulis, di sinilah pertama kali penulis makan roti canai bersama kuah asam pedas. Cuma sekarang medan seleranya dah diubahsuai, dan kebanyakan gerai dah diambil alih orang yang lebih muda.
Kali terakhir ke sini mungkin 6 tahun yang lepas sebelum diubahsuai, tak pasti gerai mana yang ok jadi penulis ke gerai yang nampak menarik. Gerai yang penulis cuba ialah Ujang Asam Pedas Claypot, salah satu daripada kurang 9 gerai yang ada.
Daripada sepanduknya yang selebar 2 gerai, ada tertulis — bersama gambar — beberapa pilihan asam pedas yang ada di gerai ni. Antaranya asam pedas ikan kembung, pari, tenggiri, telur ikan, telur mayong, kepala jenahak dan tetel.
ASAM PEDAS BERSAMA NASI LEMAK?
Selain daripada roti canai dan nasi putih bersama kubis dan telur masin, ada juga nasi lemak. Rasanya tak pernah lagi penulis makan nasi lemak dengan asam pedas sebelum ni.
Menu roti terbang nampak menarik, tetapi badan rasa nak makan nasi lemak bersama asam pedas tetel. Semangkuk asam pedas boleh dimakan 2 ke 3 orang, isi dagingnya banyak.
Selain daging, lemaknya pun banyak juga — kalau takde lemak bukan tetel namanya. Mungkin sebab lemaknya banyak jadi asam pedasnya pun berminyak dan nampak kurang menyihatkan.
Dalam semangkuk asam pedas tetel tak ada bendi. Sedap, cuma tak sesuai dimakan selalu. Untuk pilihan yang lebih sihat boleh cuba pesan asam pedas ikan seperti pari dan sembilang.
KUAH ASAM PEDAS LEBIH SESUAI DENGAN NASI PUTIH
Walaupun nasi lemak boleh dimakan dengan daging tetel, kuah asam pedas lebih sesuai dimakan dengan nasi putih. Jadi kalau tujuan utama nak makan asam pedas, pesan bersama nasi putih atau roti canai.
Memandangkan ni gerai pertama yang penulis cuba selepas pengubahsuaian medan selera, tak dapatlah nak bandingkan dengan gerai lain. Dari segi pilihan lauk asam pedas, rasanya lebih kurang sama.
Tak dinafikan ada yang lebih sedap pada tekak penulis di sekitar pusat bandar. Tetapi kalau disuruh lagi untuk makan di gerai yang sama, penulis tak ada masalah sebab tetelnya sedap juga.
Ada banyak pilihan, kalau tak berkenan dengan satu gerai ada lagi gerai lain yang kita boleh cuba. Kalau masih belum jumpa asam pedas yang kena dengan tekak, bolehlah cuba datang ke Medan Selera Pasar Borong di Batu Berendam.
Post a Comment