Boat Noodle, Sangkaya dan Khao Mok Gai di HLM Authentic Boat Noodle, Alor Setar

Nasi kaomok menggunakan nasi putih
Walaupun kampung penulis cuma satu jam perjalanan dari Alor Setar, kali terakhir penulis ke ibu negeri Kedah ni, seingat penulis; waktu tu penulis masih bersekolah.

Waktu tu, masih belum ada pusat membeli belah Aman Central yang terletak di hadapan menara Alor Setar — satu lagi tempat yang penulis tak ingat pun pernah tengok dari jarak yang dekat.

HLM AUTHENTIC BOAT NOODLE

Menu di HLM Authentic Boat Noodle
3 kilometer dari Menara Alor Setar ada sebuah restoran makanan siam, HLM Authentic Boat Noodle. Di sini, korang boleh dapatkan makanan siam macam di warung Kakroh Kitchen di Penaga.


Alamat: Kompleks Perniagaan LITC, Seberang Jalan Putra, 05150 Alor Setar, Kedah.
Waktu: Rabu - Isnin (1pm - 10pm).

Nak ke restoran kena naik tangga sebab restorannya terletak di tingkat atas. Kalau korang sakit lutut, bertongkat ataupun berkerusi roda, tempat ni kurang sesuai selagi belum berpindah ke tingkat bawah.

Beberapa perasa yang disediakan di atas meja makan
Penulis duduk berhampiran dengan tingkap — lebih cerah, mudah nak ambil gambar dengan lebih jelas — walaupun mejanya tak dapat muatkan lebih daripada 4 ke 5 orang.

Di atas meja pula disediakan perasa yang kita boleh gunakan pada sup seperti serbuk cili, sos cili, garam dan sos ikan.

ANEKA MENU MASAKAN SIAM

Sama macam di restoran masakan siam lain, di sini ada nasi kaomok, nasi kerabu, pulut ayam, pulut mangga, mi celup, kerabu maggi, daging bakar, nasi pad ped, dan laksa siam. Cumanya, seingat penulis di sini tak ada lokching dan miang pla pao.

Nasi Khao Mok (Khao Mok Gai)

Nasi kaomok menggunakan nasi putih berbanding beriani
Kalau ke restoran masakan siam, mesti nak cuba nasi kaomok. Cumanya, waktu penulis ke sini nasinya dah habis jadi digantikan dengan nasi putih. Tak dinafikan rasanya memang berbeza.

Walaupun kombinasi nasi putih bersama sos siam sedikit pelik, ayamnya yang sedap sedikit sebanyak membantu penulis habiskan makanan ni. Kalau ada nasi beriani atau berempah mesti jauh lebih sedap.

Pulut Ayam (Khao Niao Gai)

Pulut yang ditaburkan bawang goreng disediakan bersama ayam berempah dan sos
Menggunakan ayam yang sama dengan nasi khaomok, bezanya cuma nasi digantikan dengan pulut. Nasihat penulis, kalau nasi khaomok dah habis lebih baik pesan pulut ayam.

Pulut dimasak elok — tak keras macam wajik — dan bawang gorengnya pun banyak.

Sup Celup

Mi celup special
Untuk sup celup ada pilihan antara biasa dan special, jenis mi pula ada kuetiau, kuetiau wai-wai, mi, bihun dan maggi. Boleh juga pilih nak ayam atau daging atau kedua-dua sekali.

Sejujurnya, tak ingat apa bahan yang membezakan antara biasa dan special. Yang penulis tahu, supnya sedap dan bahan yang digunakan pun banyak. Kalau nak lebih sedap, boleh olah menggunakan perasa yang disediakan di meja.

Seingat penulis, tak ada makanan laut macam udang atau sotong. Kalau nak makan udang galah, boleh pergi ke Border Kitchen di Padang Besar.

Roti Sangkaya

Roti kukus bersama sangkhaya
Ini kali kedua penulis makan roti sangkaya. Roti yang digunakan memang lembut, macam roti benggali yang dikukus. Adalah dalam 9 ketul roti yang disusun secara bulatan, ditengahnya pula pencecah yang dipanggil sangkhaya.

Penulis tak pasti sama ada kustard dan santan perlu dikacau terlebih dahulu ataupun tak. Rasanya mengingatkan penulis kepada tepung pelita yang penulis selalu makan waktu berbuka puasa — masin dan berlemak.

Daging Bakar

Daging bakar bersama sos cili
Untuk daging bakar, bahagian yang paling sedap bagi penulis ialah sosnya. Sos yang digunakan lebih kurang macam sos yang penulis makan bersama ayam legend di Boat Noodle.

Malangnya ada bahagian daging yang sedikit liat bercampur dengan bahagian yang lebih empuk. Secara peribadi, penulis lebih sukakan daging harimau menangis yang lebih berlemak.

BOAT NOODLE RM1.90 SEMANGKUK

Semangkuk boat noodle tomyam dan original
Tetapi, di sini juga kita boleh dapatkan mi yang disediakan cara boat noodle pada harga cuma RM1.90 semangkuk — 90 sen lebih murah berbanding di The Original Boat Noodle.

Di The Original Boat Noodle kita ada pilihan antara Pathumthani dan Ayutthaya, di Authentic Boat Noodle pula kita boleh pilih antara perisa original, kering dan tomyam.

Semangkuk boat noodle perisa original yang berkrim
Dah cuba original dan tomyam, penulis rasa ramai akan lebih suka tomyam. Tapi, kalau sukakan rasa yang berlemak dan eksotik korang kena cuba original. Rasa original lebih berlemak dan berkrim.

MAKANAN SIAM DI ALOR SETAR

Maggi celup dan daging bakar
Tak tahulah berapa banyak kedai makanan siam di Alor Setar, tapi Authentic Boat Noodle ni adalah salah satu. Kalau datang ke sini, penulis syorkan untuk makan pulut ayam, nasi kaomok kalau nasinya ada, sup celup, dan roti sangkaya.

Kalau ikutkan, nasi kerabu juga antara menu istimewa yang korang boleh cuba. Cuma waktu ke sini tak terfikir pula nak pesan nasi kerabu, tak pernah penulis kaitkan nasi kerabu dengan Thailand — fikir nasi kerabu cuma ingat Kelantan.

Dari segi harga, masih berpatutan kalau diambil kira tempatnya di bandar Alor Setar. Tak dinafikan makanan di Kakroh Kitchen Penaga lebih murah, tapi warungnya 15 kilometer dari bandar terdekat Butterworth.

Selain daripada daging bakar yang sepatutnya lebih empuk, memang berpuas hati dengan makanan lain. Cuma, penulis perasan menunya agak terhad — tak jumpa kerabu kaki ayam, som tam dan pad thai.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top