Triple Cheeseburger dan Mozzarella Stick di THEFAT.BURGER (The Fat Burger), Bayan Baru

Burger bersama kentang goreng dan mozzarella stick
Memang seronok kalau dapat makan burger gourmet yang menggunakan bahan-bahan premium seperti brisket atau kepingan daging macam yang penulis makan di Woodfire. Tapi, ada masanya penulis nakkan sesuatu yang lebih ringkas.

Untuk mengisi perut yang lapar, ban bersama patti daging dan keju — dan mungkin juga sedikit salad — pun dah memadai. Modalnya pun tak banyak, jadi selalunya itulah menu yang paling murah di kedai burger.

Untuk sebuah burger yang sedap, asasnya — ban, patti dan sos — mestilah terlebih dahulu sedap. Kalau tak diberikan perhatian kepada asasnya, letaklah bahan mewah macam mana pun tak ada gunanya.

THEFAT.BURGER

Kedai makan THEFAT.BURGER di Bayan Baru
Sebab tu lah kali ni ke kedai burger — THEFAT.BURGER di Bayan Baru, Pulau Pinang — penulis cuma pesan burger keju yang paling ringkas ada pada menu walaupun ada banyak menu lain yang lebih menarik.

Cuma dalam 1 kilometer dari Setia SPICE Convention Centre, THEFAT.BURGER menyediakan sehingga 15 pilihan burger jenis daging, ayam dan ikan menggunakan patti buatan sendiri.


Alamat: 1-1-25, One World, Tingkat Mahsuri 4, Bayan Baru, 11950, Pulau Pinang.
Waktu: Selasa - Sabtu (4:30pm - 11pm).

Restoran ni juga terbahagi kepada dua, di satu bahagian ialah tempat membuat pesanan dan satu lagi bahagian di seberang jalan pula ruang makan berpendingin hawa untuk pelanggan yang makan di sini.

Kaunter pesanan THEFAT.BURGER
Kebanyakan tapak parkir dah disewa oleh kedai, jadi agak susah nak dapatkan parkir berdekatan dengan restoran. Penulis bernasib baik sebab ada sebuah parkir kosong berhampiran Kopi Saigon, cuma 75 meter dari THEFAT.BURGER.

TRIPLE CHEESEBURGER

Triple cheeseburger dengan kentang goreng
Ada pilihan antara patti single, double atau triple. Kalau makan kuat bolehlah pesan patti berganda atau bertiga, tapi kalau ada gout eloklah ambil yang single je — lagi bagus kalau kongsi separuh dengan orang lain. Kalau perasan, burger penulis dah dibahagi dua — atas permintaan.

Harga ala carte bermula daripada RM16, untuk set bersama kentang goreng dan air perlu tambah lagi RM6.90. Kentang goreng yang digunakan tebal, hampir sama macam kentang goreng di Mizukicakes.

Burger yang dilimpahi sos keju
Ban bijan yang digunakan lembut, patti dagingnya pula tebal. Cuma penulis tak faham kenapa mesti letakkan sos keju sehingga melimpah — walaupun daripada namanya penulis tahu akan ada tiga jenis keju.

Sos keju juga sedap dimakan bersama kentang goreng, rasanya seperti nacho cheese — mungkin ada bagusnya juga dapat sos keju yang banyak. Secara keseluruhan, sedap walaupun comot — sarung tangan plastik dan tisu disediakan.

MOZZARELLA STICK

Mozzarella stick yang dipatahkan kemudian kejunya direnggangkan
Kalau tak panjang kejunya ditarik bukan mozzarella stick la namanya. Penulis pernah makan di Burger King sebelum ni, jadi nak tengok juga macam mana perginya mozzarella stick di sini.

Di sini, mozzarella stick disediakan bersama sos marinara. Jadi rasanya seakan-akan piza margherita tanpa daun selasih — atau pepperoni tanpa kepingan pepperoni — kalau dimakan bersama.

Sekotak mozzarella stick bersama sos marinara
Bahagian luarnya lebih licin dan kurang berserbuk berbanding yang penulis makan di Burger King, tak nampak macam disalutkan dengan serbuk roti. Bahagian dalamnya pula keju yang lembut dan boleh renggang.

Rangup perkataan yang lebih tepat berbanding rapuh untuk menerangkan adunannya sebab bahagian luarnya tak mudah pecah walaupun ditekan. Harga sekotak mozzarella stick ialah RM15.90 untuk 5 batang mozarella dan sebekas sos marinara.

HARGA BERMULA RM15

Menu restoran THEFAT.BURGER
Harga burger lembu dan ayam bermula daripada RM15 untuk patti tunggal, kalau dikira set bermula daripada RM21.90. Bagi penulis, untuk sebuah burger gourmet bersama kentang goreng dan air harga di THEFAT.BURGER adalah munasabah.

Cuma penulis harap ada la menu-menu bajet yang lebih ringkas atau bare-bones. Asas kepada burger keju ialah, menurut definisinya; ban bersama patti daging dan kepingan keju. Bahan-bahan lain cuma memperkenalkan variasi.

Burger, mozzarella stick dan air
Kalau burger yang penulis beli tadi cuma gunakan satu jenis keju, mungkin boleh dijual lebih murah daripada RM15 secara ala carte. Menu yang menarik penting untuk mendapatkan perhatian pelanggan baharu, menu yang lebih ringkas pula penting untuk mengekalkan pelanggan sedia ada.

Bagi penulis, nilai untuk wang adalah apabila penulis boleh dapatkan satu set burger keju pada harga kurang daripada harga satu set burger keju berganda di McDonald's — lagipun harga untuk satu patti dan satu keju sepatutnya lebih murah berbanding dua.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top