Dark Choco Latte dan Butter Cream Latte di Gigi Coffee
Suatu masa dahulu, kedai-kedai kopi didominasi jenama-jenama antarabangsa seperti Starbucks, Coffee Bean and Tea Leaf dan DOME. Tetapi sekarang, semakin banyak kedai kopi tempatan mula mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Antara jenama tempatan tersebut ialah ZUS Coffee, Gigi Coffee, Nasken Coffee dan Richiamo Coffee. PAK MAT Western yang selama ni jual Chicken Chop pun cuba mengambil peluang atas peningkatan permintaan terhadap kedai kopi tempatan dengan memperkenalkan Mat Coffee beberapa bulan yang lepas.
Jadi penulis pun rasa terpanggil nak cuba salah satu daripada kedai kopi tadi, yang penulis belum pernah cuba pun sebelum ni — Gigi Coffee. Gigi Coffee, sama seperti Zus Coffee; pertama kali dibuka di Malaysia pada tahun 2019.
GIGI COFFEE
Cuma kali ni penulis tak naklah pesan kopi biasa macam americano dan latte, nak cari sesuatu yang lain. Jadi penulis pun pesanlah Dark Choco Latte — bukan kopi — dan Buttercream Latte di Gigi Coffee.
Harga asal secawan Dark Choco Latte dan Buttercream Latte ialah RM12, tapi kalau lakukan pesanan secara pesan ambil melalui aplikasi boleh dapat harga RM11 — jimat RM1 secawan.
DARK CHOCO LATTE
Ada lah beberapa minuman coklat yang penulis pernah cuba dari Starbucks, Coffee Bean and Tea Leaf dan Zus Coffee. Tapi kalau nak dibandingkan dengan kesemua tu, Dark Choco Latte di Gigi Coffee kurang manis.
Pada secawan Dark Choco Latte ada krim dan taburan hirisan coklat. Apabila dimakan bersama krimnya yang sedikit manis dengan sedikit rasa seakan-akan aiskrim vanila, minumannya jadi lebih manis dan berlemak.
BUTTERCREAM LATTE
Dah lama nak cuba kopi buttercream, yang pernah cuba sebelum ni cuma kopi mentega di sebuah karnival di Pulau Pinang. Buttercream ialah mentega yang dicampurkan dengan gula aising, jadi kopi buttercream sepatutnya lebih manis.
Tak pasti sebab dah dicampurkan ke dalam kopi atau apa, warna krim mentega pada Buttercream Latte lebih perang berbanding krim pada Dark Choco Latte. Rasa krim mentega yang digunakan pada kopi macam krim mentega yang digunakan pada kek.
Daripada batang kayu yang penulis dapat, rasanya krim dan kopi perlu dikacau sebelum diminum. Tapi penulis lebih suka kalau krim dan kopi tak disebatikan untuk dapatkan juga dua tekstur berbeza daripada satu minuman.
CHOCOLATE DANISH SEBAGAI PELENGKAP
Apa yang lebih menarik kalau minum kopi dengan krim seperti Dark Choco Latte dan Buttercream Latte adalah kita boleh jadikan krim tersebut sebagai pencecah untuk chocolate danish — salah satu pastri di Gigi Coffee.
Kalau dimakan sebaik sahaja diambil dari kaunter dan masih sedikit panas, rotinya lembut seperti croissant dan inti coklatnya sedikit cair. Nak lebih sedap? Celupkan je ke dalam minuman yang berkrim tadi.
Cumanya, tak tahulah ini petanda yang baik ataupun bukan; rasa coklatnya seakan-akan inti coklat yang ada pada roti ban berjenama Sweetie yang penulis makan lama dulu sebagai seorang pelajar.
GIGI COFFEE × WARDAH BEAUTY
Pada waktu penulis cuba Gigi Coffee baru ni, ada kolaborasi antara Gigi Coffee dan Wardah Beauty — sebuah jenama kosmetik Halal dari Indonesia. Untuk pembelian melebihi RM25 menggunakan aplikasi, kita boleh dapatkan lip cream jenama Wardah secara percuma.
Ada sehingga 5 warna lip cream untuk direbut dan dikumpulkan antara 18 dan 31 Disember 2023. Ada kemungkinan promosi dipanjangkan sehingga awal tahun 2024, jadi jangan lupa semak promosi terkini di laman sesawang Gigi Coffee.
SEKALI SEKALA, KOPI PUN PERLU MANIS
Walaupun penulis seorang penggemar "latte no sugar" yang sukakan kopi tanpa gula, sekali sekala suka juga cuba kopi yang sedikit manis macam vanilla latte — kadang-kadang terlebih manis seperti caramel macchiato.
Bagi penulis, buttercream latte di Gigi Coffee, walaupun lebih manis berbanding latte; kurang manis berbanding kopi yang dicampurkan karamel. Jadi kalau diberikan pilihan antara buttercream dan karamel mungkin penulis lebih cenderung ke arah buttercream.
Dan sebagai orang yang kurang gemar pada makanan dan minuman yang terlalu manis pula, penulis lebih sukakan Dark Choco Latte di Gigi Coffee berbanding Australian Chocolate di ZUS Coffee.
Walau bagaimanapun, tetap tak mengubah citarasa dan pandangan penulis terhadap "latte no sugar" — sederhana itu indah.
Post a Comment