Nasi Dagang dan Teh Peng Ombak Rindu di Nasi Dagang Atas Tol, Kuala Terengganu
Ada satu perkara yang penulis belajar sewaktu ke Terengganu dulu, kalau nak makan nasi dagang sila keluar bersarapan lebih awal. Kalau bersarapan selepas 9 pagi, dah dikira lewat terutamanya di luar bandar.
Pada musim percutian, mungkin perkara yang sama akan jadi di bandar juga. Tak mustahil majoriti daripada pelancong luar negeri akan cari nasi dagang untuk bersarapan, lebih-lebih lagi di restoran yang pernah tular seperti Nasi Dagang Atas Tol.
Nama "Atas Tol" diambil daripada Kampung Atas Tol yang tak ada kaitan dengan mana-mana tol di Malaysia. Perkataan "Tol" berasal daripada "itu" atau "tu" yang entah macam mana berubah menjadi "tol" sejak tahun 1924 — mungkin ejaan berbeza tapi sebutan dialek Terengganunya hampir sama.
NASI DAGANG ATAS TOL, KAMPUNG ATAS TOL
Ada beberapa cawangan Nasi Dagang Atas Tol di Kuala Terengganu — Kampung Atas Tol, Padang Negara, Hiliran dan Bandar. Kalau ikutkan, cawangan bandar cuma dalam 600 meter dari Felda Residence — tempat penulis bermalam.
Alamat: Hadapan Surau Tanah Lot, Kampung Atas Tol, 21070 Kuala Terengganu, Terengganu.
Waktu: Isnin - Ahad (6:30am - 11:30am).
Waktu: Isnin - Ahad (6:30am - 11:30am).
Tapi ini pertama kali penulis ke sana, jadi macam peliklah kalau ke Nasi Dagang Atas Tol di tempat yang tak ada nama "Atas Tol". Gagahkan juga walaupun Kampung Atas Tol ialah cawangan yang paling jauh — 13 kilometer dari Felda Residence.
Mungkin sebab penulis datang pada hujung minggu, seawal 8 pagi pun dah ada lebih daripada 40 orang yang sedang beratur untuk membuat pesanan. Musim hujan, jadi payung disediakan untuk yang beratur di kawasan tak berbumbung.
Nombor meja akan diberikan selepas pesanan dibuat, jadi banyak kerusi disediakan untuk menunggu — tak boleh tunggu di meja makan — sementara wakil keluarga atau rakan beratur untuk membuat pesanan.
NASI DAGANG IKAN, AYAM DAN DAGING
Ada pilihan antara nasi dagang ikan, ayam dan daging, tetapi pada menu tak tertulis pula harga gulai daging bersama nasi dagang — yang ada cuma bersama nasi minyak. Orang terengganu tak makan nasi dagang dengan gulai daging ke?
Ayamnya digoreng berempah, tak dimasak gulai seperti daging. Tak pasti gulai kosong disekalikan atau tak untuk nasi dagang ayam, sebab daripada menunya tak ada gambar gulai pada nasi dagang ayam dan ikan — cuma ada pada nasi dagang ikan tambah telur.
Penulis pesan 6 pinggan nasi dagang, tapi cuma dapat 3 mangkuk gulai — ikan, telur rebus dan daging. Sepatutnya, ikan tongkol rebus diletakkan pada nasi tapi penulis minta diasingkan dan dicampurkan dengan gulai.
Semangkuk gulai pun sebenarnya dah cukup untuk dua ke tiga pinggan nasi dagang. Gulainya likat dan kaya dengan rempah — sedap dan tak pedas. Ketulan ikan tongkolnya pula besar.
Rasa gulai ikan dan daging hampir sama. Dagingnya empuk, cuma gulai daging yang penulis dapat dipenuhi bawang yang cuma dibelah dua. Tak pastilah bawang tu untuk dimakan ataupun tak.
Cumanya, nasi yang digunakan tak selembut nasi dagang yang penulis biasa makan. Bagi penulis, ok je. Tapi, kalau sukakan nasi yang lebih lembut boleh cuba biarkan nasi kembang sedikit dalam beberapa minit selepas dituangkan kuah.
KEROPOK LEKOR
Selain nasi dagang ada juga keropok lekor, cuma perlu beratur di kaunter berasingan. Di sebelah kanan untuk pesan nasi dagang, di sebelah kiri pula untuk keropok lekor. Harganya RM2 untuk 3 batang keropok lekor.
Keropok lekornya rangup, bahagian dalamnya pula lembut. Penulis pesan 9 batang untuk dimakan dan 6 lagi dibungkus, tapi semuanya habis di restoran tak sempat nak bawa balik.
TEH OMBAK RINDU DAN HULK
Teh ais dan teh hijau ais di sini diberi nama Teh Peng Ombak Rindu dan Teh Peng Hulk, sesuai dengan warna masing-masing. Ada dua saiz antara sedang dan besar, kalau datang satu keluarga mungkin dua gelas besar dah cukup.
Menariknya teh disini, buihnya banyak sampai meleleh — macam teh ais madu yang pernah tular dulu. Kedua-dua teh dan teh hijau rasa macam teh siam yang selalu dijual menggunakan gelas besar di pasar malam dan tepi jalan.
KALAU LAMBAT TAK MENDAPAT
Seawal 9:30 pagi, papan tanda bertulis "Harap maaf, makanan & minuman sudah habis. Sila datang lagi." dah diletakkan di luar kedai. Kecewalah orang yang datang lewat waktu tu, terpaksa cari nasi dagang di restoran lain.
Penulis tak pasti sama ada papan tanda yang sama diletakkan berhampiran laluan masuk ke parkir. Sebab masih ada yang meletakkan kenderaan, turun ke restoran dan kemudian berpatah balik selepas terpandang papan tadi.
Kalau datang pada hari minggu atau luar daripada musim percutian, mungkin lambat sikitlah makanan akan habis. Kalau dah habis sekalipun, ada beberapa lagi restoran nasi dagang di Kampung Atas Tol.
Menu | Harga |
---|---|
Nasi Dagang Kosong | RM4.00 |
Nasi Dagang Ikan Tongkol | RM5.50 |
Nasi Dagang Ikan + Telur | RM6.50 |
Nasi Dagang Ayam Goreng | RM8.00 |
Nasi Minyak Ayam Goreng | RM7.00 |
Nasi Minyak Ayam Masak Merah | RM7.00 |
Nasi Minyak Gulai Daging | RM7.00 |
Gulai Daging | RM3.00 |
Add On Ayam Goreng Berempah | RM5.00 |
Teh Peng Ombak Rindu | RM5.50/RM7.00 |
Teh Peng Hulk | RM6.50/RM8.00 |
Antara restoran nasi dagang lain yang ada di kawasan yang sama ialah Kedai Nasi Dagang Raja Atas Tol dan Mek Ngah Nasi Dagang Atas Tol — bolehlah singgah daripada balik dengan tangan kosong.
Ataupun beli je produk daripada Nasi Dagang Atas Tol, ada beras dan pes gulai. Cara-cara memasak nasi pun diterterakan pada pek, boleh beli untuk kegunaan sendiri di rumah atau dijadikan cenderahati.
Post a Comment