Pelita Nasi Kandar: Menyediakan Nasi Kandar Sejak 1995, Sekarang Dah Lebih 25 Cawangan

Pandangan dari arah atas sepinggan nasi kandar
Seingat penulis, dulu tak ramai yang beratur makan nasi di kedai mamak. Waktu tu, sebut kedai mamak mesti ingat roti canai, teh tarik, dan 24 jam. Senang cerita, nasi kandar waktu tu tak terkenal macam sekarang.

Tapi sekarang, kalau pergi kedai mamak mesti nak cuba nasi kandar walaupun luar dari Penang. Sampaikan kedai mamak yang baru dibuka pun banyak yang gunakan perkataan "Nasi Kandar" pada nama kedai.

DAH BERAPA LAMA NASI KANDAR DI MALAYSIA?

Nasi bersama gulai kari dan ayam goreng bawang
Tapi sebenarnya, nasi kandar ni dah lama dah — sejak sebelum 1907. Sebab tu lah kebanyakan kedai nasi kandar yang bertaraf legenda di Pulau Pinang semuanya di lot kedai lama.

Tak dinafikan Hameediyah sebagai restoran nasi kandar tertua di Malaysia, tapi yang terawal penulis nampak mempromosikan nasi kandar dengan lebih agresif ialah Pelita Nasi Kandar — sejak 1995.

Cawangan Pelita yang pertama penulis tengok di Selangor ialah di Plaza Shah Alam, bersebelahan je dengan hotel Concorde. Waktu tu penulis masih bersekolah rendah dan nasi kandar dianggap makanan yang lebih mewah berbanding nasi campur.

NASI KANDAR PELITA

Pelanggan sedang beratur di kaunter nasi kandar restoran Pelita
Sebagai sebuah jenama nasi kandar, Pelita dah ada di Kuala Lumpur atau Lembah Klang sejak 1996, 11 tahun sebelum Hameediyah, dan rasanya lebih awal juga berbanding restoran lain seperti Subaidah dan Line Clear.

Dulu, bila dengar nama Pelita penulis akan terfikir kedai nasi kandar, bukannya kedai mamak. Harganya pun lebih mahal berbanding kedai mamak yang penulis biasa pergi untuk makan roti canai.

Ada je restoran nasi kandar lain yang dah bertapak luar dari Pulau Pinang jauh lebih awal macam Kudu Bin Abdul, Yaseen dan Sithique, cuma tak ada lagi yang boleh lawan Pelita dari segi penjenamaan dan bilangan cawangan.

LEBIH DARIPADA 25 CAWANGAN

Ayam goreng yang dah dicubit di atas piring
Walaupun tak sebanyak KFC atau McDonald's, kalau ada lebih daripada 25 cawangan pun — antaranya 8 di Pulau Pinang, 9 di Selangor, 3 di KL — dah dikira banyak untuk sebuah restoran nasi kandar.

Nak kata yang paling sedap tu, tak lah. Tapi antara yang sedap, dia lah. Kalau ke Pulau Pinang dan sampai selepas tengah malam, singgah je di cawangan Pelita Autocity cuma beberapa minit daripada plaza tol Juru.

Alang-alang dah singgah ke Pelita rugilah kalau tak makan nasi kandar. Pekena nasi putih dengan ayam bawang — atau ayam goreng — dan kubis, tersandar kenyang sampai ke esok tengah hari.

Ayam bawang di sebalik cermin kaunter nasi kandar
Rasa ayam bawang di sini manis macam ayam madu, berbeza dengan ayam bawang di Hameediyah. Cuma baru ni, tak tahulah sebab apa dan kenapa; kuah gulai atau karinya lebih pedas daripada yang penulis makan sebelum-sebelum ni.

Kadang-kadang makan sup kambing dengan roti benggali, kadang-kadang roti naan dengan ayam tandoori — ikut angin. Cuma kalau sup, lebih suka sup ganja di Klang. Ayam tandoori pula, mengikut citarasa peribadi penulis; lebih sedap di Kapitan dan Ehsan.

SERAGAM, BERSIH DAN SISTEMATIK

Nasi kandar lauk ayam bawang dan kubis
Bagi penulis, antara restoran nasi kandar yang paling seragam, bersih dan sistematik. Setiap makanan yang sampai akan dicatit dalam satu helaian kertas, jadi tak perlu nak ingat dan ulang pesanan di kaunter bayaran.

Cuma sekarang dah banyak kedai mamak yang gunakan kad sebagai rekod pesanan, tapi cawangan Pelita yang penulis pergi masih gunakan kertas. Orang putih kata, "if it ain't broke don't fix it".

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top