Sate Perut Tuala yang Lembut dan Laksa Utara di Pasar Minggu Changkat Jering
Pasar borong dan pasar basah bukan sahaja tempat orang mencari bahan mentah seperti sayur, daging dan ikan. Di sesetengah pasar, ada juga yang datang untuk bersarapan atau makan tengah hari.
Contohnya di Pasar Awam & Balai Rakyat Taman Tun Sardon, Pasar Awam Seberang Jaya, Pasar Besar Klang, Pasar Siti Khadijah dan Pasar Payang, semuanya ada medan selera dengan pilihan makanan yang pelbagai.
Tapi, tak tahu kenapa di satu tempat penulis pergi baru-baru ni kebanyakan gerai makanannya jual makanan yang sama. Boleh diibaratkan macam serunding di Pasar Siti Khadijah, keropok ikan di Pasar Payang, dan ikan pekasam di Pekan Rabu.
Tempat yang penulis pergi ni juga dengarnya cuma dibuka pada hari sabtu, jadi kalau datang pada hari lain kemungkinan yang sangat besar takkan jumpa apa yang penulis makan.
PASAR MINGGU CHANGKAT JERING
Di Pasar Minggu Changkat Jering, 3 atau 4 daripada gerai makan yang ada di sini menjual sate. Kalau diteliti, bahagian sate yang dijual dan warna perapan pun seakan-akan sama — seolah-olah macam datang daripada pembekal yang sama.
Alamat: Jalan Changkat Utama, 34850 Changkat Jering, Perak.
Waktu: Sabtu.
Waktu: Sabtu.
Susah nak buat pilihan bila semuanya nampak sama, akhirnya penulis buat keputusan untuk makan di gerai Ali Satay Changkat Jering. Berdekatan gerai yang sama ada juga gerai yang menjual laksa, mi rebus dan bihun sup.
Awalnya penulis ingatkan kedua-dua gerai, daripada kedudukannya yang bersebelahan; bertuankan orang yang sama rupanya bukan. Jadi sate dan laksa berserta minuman dibayar berasingan.
SATE PERUT YANG LEMBUT
Sama macam di gerai-gerai lain, sate yang ada di sini ialah sate ayam, daging, perut, paru dan limpa. Perut yang ada ialah perut tuala, tak pasti sama ada sate perut tembusu atau usus lembu ada di sini ataupun tak.
Secara peribadi penulis lebih sukakan sate perut tembusu berbanding tuala, sebab sate perut tuala yang penulis makan kebanyakannya liat. Tapi, di sini lain sikit sebab sate perutnya lembut — tak pasti macam mana dengan gerai lain.
Mungkin perut yang digunakan dah direbus terlebih dahulu sehingga empuk sebelum diperap. Teksturnya hampir sama dengan sate kulit dan rasanya pula — sama macam sate ayam — tak terlalu masin dan sedikit manis.
Dalam tak sedar dah habiskan lima lidi sate, sate perut kurang mengenyangkan berbanding sate ayam. Jadi kalau nak lebih kenyang kena makan dengan nasi impit, bawang dan timun.
Harga sate di gerai yang penulis pergi ni semuanya RM1 selidi — semua jenis sate sama harganya. Nasi impit pun RM1, tak pasti gerai lain jual pada harga yang sama atau tak
LAKSA DENGAN RASA IKAN YANG KUAT
Laksa dihidang bersama salad dan cili, tapi yang penulis pesan ni tanpa sayur. Warna kuahnya kurang perang berbanding laksa yang penulis biasa makan, rasanya pun tak pedas dan tak berapa masam seperti laksa di Pulau Pinang.
Kuahnya likat dengan isi ikan, rasanya pun kuat dengan rasa ikan. Cuma tak pasti apa jenis ikan yang digunakan, laksa yang penulis makan selalunya gunakan ikan kembung atau sardin.
KURANG 1 KILOMETER DARI PLAZA TOL CHANGKAT JERING
Penulis memang suka singgah makan di tempat yang berhampiran dengan susur keluar lebuhraya sebagai alternatif kepada R&R. Contohnya Mee Kari Ramli berdekatan susur keluar Bidor dan Nasi Bamboo Sungai Klah berdekatan susur keluar Sungkai.
Samalah dengan Pasar Changkat Jering, cuma dalam 1 kilometer dari plaza tol Changkat Jering. Tak sampai 30 minit pun boleh keluar dari lebuhraya, singgah makan sate kemudian masuk semula ke lebuhraya.
Sepatutnya semua peniaga dah dipindahkan ke Laman Changkat Jering — bangunan berhampiran yang menelan belanja sebanyak RM3 juta — pada tahun 2014 tapi nampaknya peniaga lebih selesa dengan tapak sedia ada.
Kalau nak tahu apa yang dimaksudkan dengan projek gajah putih atau projek sakit, Laman Changkat Jering salah satu contohnya. Harapnya suatu hari nanti akan ada peniaga yang memenuhi ruang-ruang kosong di bangunan tersebut.
Post a Comment