Wagyu Tomahawk Berharga RM830 dan Burger di TC Steak House, Kuala Terengganu

Daripada 300 lebih artikel yang penulis tulis sebelum ni, cuma sekali je penulis ulas tentang steak — steak ribeye di Hardcovr Cafe. Selalunya kalau ke kedai makanan barat penulis akan pesan antara chicken chop, chicken grill dan fish n chip.

Sebabnya, itulah antara makanan yang murah di kedai masakan barat — lebih murah berbanding lamb chop, salmon steak dan segala jenis beef steak — contohnya sirloin, tenderloin — atau batang pinang — dan ribeye.

Steak T-Bone yang belum dimasak
Antara dua bahagian steak yang ada dalam bucketlist penulis ialah T-bone dan tomahawk. T-Bone adalah potongan lembu yang terdiri daripada bahagian sirloin dan tenderloin yang bersambung pada tulang yang berbentuk seakan-akan huruf "T".

Tomahawk pula ribeye yang masih belum diasingkan daripada tulangnya. Bukan sahaja harga per gram tomahawk lebih mahal berbanding ribeye, tulangnya — yang tak boleh dimakan — turut menyumbang kepada jumlah berat yang kita perlu bayar.

Wagyu tomahawk seberat 755 gram
Tapi, tomahawk selalunya bersaiz lebih besar, lebih tebal dan nampak lebih cool dan fun berbanding ribeye. Rupanya yang seperti kapak, apabila dipegang terasa seperti seorang viking — tulangnya yang panjang juga menyumbang kepada penampakannya yang gah.

Melainkan ada yang baik hati sudi menumpangkan sedikit rasa senang memang dalam mimpi je lah penulis dapat makan tomahawk, apatah lagi daripada jenis wagyu — yang ni memang perlu bermimpi dalam mimpi.

TC STEAK HOUSE, KAMPUNG WAKAF TEMBESU

Lamb rack yang belum dimasak
Akhirnya ada juga peluang penulis makan steak tomahawk seberat 755 gram di restoran TC Steak House yang bertempat di Jalan Gong Badak, dalam 10 kilometer dari hotel Felda Residence Kuala Terengganu.


Alamat: 12788, Jalan Gong Badak, Kampung Wakaf Tembesu, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu.
Waktu: Isnin - Ahad (5pm - 11pm).

Bukan sebarang tomahawk, tapi wagyu tomahawk dengan markah marbling antara 4 dan 5. Di TC Steak House, ada bahagian steak yang diambil daripada lembu sado atau lembu tempatan. Untuk wagyu, tak pasti gunakan lembu tempatan ataupun tak.

Potongan daging yang diperapkan dengan mentega
Di sini, harga steak bergantung pada jenis dan berat potongan daging yang kita pilih. Selain daripada potongan biasa, ada juga potongan daging yang didry-aged dan butter aged untuk rasa yang lebih kuat.

STEAK WAGYU TOMAHAWK

Steak wagyu tomahawk yang dipotong kepada beberapa bahagian
Di TC Steak House, steak tomahawk dihidang bersama salad, kentang wedges, kentang putar, kaserol kentang, dua jenis sos — sos lada hitam dan sos perang — dan sepinggan pasta sama ada carbonara atau aglio olio.

Untuk menikmati rasa wagyu, steak perlu dimasak antara medium rare dan medium jadi isinya masih bewarna merah jambu. Kalau dimasak sehingga kering atau well done, mungkin rasanya akan sama je dengan daging lembu biasa.

Salad, kentang wedges dan sos
Bagi orang yang tak biasa dengan daging yang dimasak secara medium, mungkin akan rasa sedikit mual atau pelik. Bagi penulis, isinya yang lembut, berjus dan sedikit berlemak tak perlukan sebarang sos — cukup sekadar garam.

Sebenarnya, penulis tak dapat nak bezakan antara tomahawk wagyu dan bukan wagyu sebab ini satu-satunya tomahawk yang penulis pernah makan. Yang pasti, sedapnya jauh meninggalkan steak ribeye yang penulis makan sebelum ni.

BURGER BASIC MEAT

Burger basic meat
Tomahawk tadi, walaupun besar; dikongsi seramai sembilan orang jadi tak peliklah kalau penulis pesan juga burger daging. Steak tomahawk tadi sekadar buat rasa-rasa, kalau nak kenyang perlu pesan menu lain.

Setiap pesanan burger datang bersama kentang goreng atau wedges dan juga salad. Ini lah burger yang paling asas ada di sini — ban arang, sos barbeku dan patti daging bersama kepingan keju, bawang, tomato dan salad.

Burger basic meat bersama salad dan kentang goreng
Patti dagingnya buatan sendiri dan dimasak cara "smashed burger". Walaupun ada bahagian luar patti yang terlebih garing dan keras, tidaklah sehingga ke tahap mengganggu selera.

Kalau ada satu benda yang penulis nak tambah, mayonis atau mustard untuk rasa yang sedikit berlemak — tak perlu banyak.

NASI GORENG MIYAZAKI DAN TACO

Nasi goreng miyazaki bersama salad
Selain daripada steak tomahawk dan burger, penulis cuba juga nasi goreng miyazaki dan taco. Dari persembahan nasi goreng Miyazaki — nama sebuah wilayah di Jepun — penulis nampak telur hancur dan lada hitam.

Dari sesudu nasi Miyazaki yang penulis cuba, ada sedikit rasa seperti garlic chahan di Family Mart dengan tambahan rasa lemak daging walaupun pada nasi yang penulis makan tak ada daging. Mungkin ada gunakan lemak lembu dalam masakannya — boleh jadi juga mentega atau minyak sapi.

Taco berintikan daging dan keju
Taco pula disediakan bersama salad, kentang wedges dan sos putih yang penulis tak pasti apa — lupa nak cuba. Taco berintikan daging dan keju yang diapit padat oleh sekeping tortilla yang sedikit rangup.

Bagi penulis, taco hidangan yang lebih berat berbanding burger tadi. Saiz hidangannya boleh dimakan dua orang.

SUP KAWAREK ATAU SUP KAKI KAMBING

Sup kawarek bersama roti
Antara menu rare yang ada di sini ialah sup kepala kambing dan sup kawarek atau kaki kambing. Tak sanggup nak tenung kepala kambing, rasanya lebih mudah untuk cuba sup kawarek atau sup kaki kambing.

Isinya lembut, kalau sukakan bahagian tendon, rawan, kulit atau lemak boleh cuba makan sup kaki kambing ni. Bersama sup kawarek disediakan juga 4 keping roti dan sambal kicap. Bagi penulis supnya terlebih masin ketika dimakan dengan roti.

SENARAI HARGA MAKANAN TC STEAK HOUSE

Resit bayaran TC Steak House
Harga steak bergantung pada bahagian potongan dan berat yang akan berubah mengikut masa atau musim. Nak tahu berapa harga kesemua makanan yang penulis cuba? Tengok jadual di bawah:

Menu Harga
Wagyu Tomahawk 755 gram RM830.00
Burger Basic Meat RM21.50
Cheese Taco RM28.50
Nasi Goreng Miyazaki RM12.00
Nasi Mentega RM4.00
Sup Kawarek Kaki Kambing RM18.50
Jus Tembikai/Epal RM8.50
Sirap Ais/Barli Lemon Panas/Lemon Panas RM2.50
Air Suam RM0.00

Bagi penulis, harganya berpatutan untuk sebuah restoran steak. Airnya pun cuma RM2.50 segelas, kebanyakan restoran yang penulis pergi memang tak dapatlah harga macam tu. Selain tu, waktu penulis ke sini ada potongan harga sebanyak 15% untuk wagyu — harga 755 gram wagyu tomahawk selepas diskaun ialah RM705.50.

BEZA ANTARA TOMAHAWK DAN RIBEYE

Tomahawk sebelum dipotong
Perasaan ketika makan ribeye dan tomahawk sangatlah berbeza. Apabila steak tomahawk dihidang, ia bagaikan satu upacara yang dimulakan dengan seorang pelayan memotong daging kepada beberapa bahagian dan diakhiri dengan pelanggan menaburkan garam kepada potongan steak.

Steak ribeye pula apabila dihidang, ia cumalah steak yang bukan sirloin atau tenderloin. Sejujurnya, penulis berpendapat ribeye adalah pilihan yang lebih pragmatik berbanding tomahawk untuk sebuah steak.

Tomahawk selepas dipotong
Tetapi, tomahawk pilihan yang lebih sesuai untuk tujuan keraian. Seperti kek untuk hari jadi atau makan beradab untuk majlis perkahwinan, cara bagaimana ia dihidang dan dihias mempunyai peranan yang penting.

Tuntasnya, kalau ada sambutan yang mana makanannya tak kisah dikongsi — selalunya sambutan antara rakan dan keluarga — bolehlah pesan tomahawk. Tapi kalau masing-masing tak berapa ngam ataupun datang secara berpasangan, ribeye mungkin pilihan yang kurang menjanggalkan.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top