Jagung Cawan Lemak Manis Berlada Sulah di Gerai Jagung Tok Wan, Gurun

Krimer pekat manis digunakan dalam penyediaan jagung cawan
Gerai jagung cawan yang terletak cuma 3 kilometer dari plaza tol Gurun ni pernah tular dua tahun yang lepas. Kalau nak beli waktu balik daripada bercuti di Kuala Perlis dulu, memang kena beratur panjang — walaupun dah setahun sejak viral.

Balik dari Alor Setar baru ni, penulis lalu sekali lagi di jalan yang sama di Gurun, Kedah — jalan raya yang menghubungkan antara Alor Setar dan Sungai Petani. Kali ni, setahun kemudian, hari minggu, tak ramai.

Air nira nipah dan jagung
Walaupun baru lepas makan ikan temenung dan janggut sotong di warung Kak Yang Gulai Temenung, Kuala Kedah rasanya masih ada ruang untuk secawan jagung. Kalau tak ada ruang sekalipun, anggap je lah macam ada.

GERAI JAGUNG TOK WAN, GURUN

Pekerja Jagung Kukus Tokwan sedang memasukkan susu pekat ke dalam jagung yang telah dikukus
Kalau menuju ke arah selatan, akan nampak gerai Jagung Tok Wan di sebelah kanan. Berlatarbelakangkan Gunung Jerai, gerai yang beratapkan zink ni boleh dikatakan besar juga untuk sebuah gerai jagung.


Alamat: Jalan Utama Alor Setar - Sungai Petani, 08300 Gurun, Kedah.
Waktu: Isnin - Ahad (11am - 7pm).

Kesemua bahan yang digunakan boleh dilihat di atas meja, antaranya jagung, marjerin, garam, susu atau krimer pekat manis dan lada sulah. Mungkin ada lagi bahan rahsia lain yang buatkan rasanya istimewa.

Susu atau krimer pekat manis jenama OKI yang tersusun di atas kaunter penyediaan jagung cawan
Susu pekat manis yang digunakan berjenama OKI. Dari jauh dah boleh nampak banyak — mungkin belasan — tin krimer pekat manis berjenama OKI yang akan digunakan untuk membanjiri secawan jagung yang bakal dipesan.

Penulis nampak juga sebuah pengukus, tapi persoalannya sekarang adakah jagung cawannya dikukus? Sebab gerai ni dikenali juga dengan nama Jagung Kukus Tok Wan, tapi nama yang penulis nampak digantungkan pada gerai cuma "Jagung Tok Wan" dan "Gerai Jagung Tokwan".

JAGUNG CAWAN BERLEMAK DAN MANIS

Secawan jagung yang diletakkan susu pekat manis dan lada sulah
Bukan sikit-sikit punya banjir, satu cawan dipenuhi susu pekat. Patutlah ada yang kata jagung cawan di sini manis, kurang sihat dan potong kaki, tapi itulah tarikannya di sini — bukannya makan setiap hari kan?

Tak kedekut bahan, sesuailah dengan harganya RM5 secawan — selalunya jagung cawan cuma RM3. Dah makan baru penulis faham kenapa diletakkan banyak lada sulah, untuk kurangkan rasa manis dan muak daripada susu pekat yang banyak tadi.

Jagung dimasukkan ke dalam cawan
Rasa keseluruhannya sangat berlemak dan manis, cuma sedikit rasa masin. Jadi, kepada yang tak suka makanan yang terlalu manis tapi masih nak cuba Jagung Kukus Tok Wan pastikan letak lada sulah.

Melainkan dihirup kesemua susu atau krimer yang manis tadi, akan ada banyak baki dalam cawan. Apa nak dibuat dengan baki susu yang ada? Nak dibuang rasa sayang sebab ianya termasuk dalam harga RM5 yang kita bayar tadi.

Siapa ada idea boleh kongsikan di bawah. Nak tahu juga kalau ada yang dah cuba gunakan krimer lebihan tadi untuk kuah carbonara atau kopi ais.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top