Richiamo Coffee: Chocolate Lava dan Salted Egg Yolk Croissant Bersama Salted Caramello Latte dan Biscotti Chocolate
Bagi penulis, apa-apa jenis minuman pun boleh digandingkan dengan apa-apa makanan. Kopi tak semestinya dengan donat atau roti canai, teh tak semestinya dengan kuih, dan sirap pula tak semestinya dengan bihun goreng.
Sebenarnya, gandingan tadi adalah gandingan antara rasa lebih berbanding antara minuman dan makanan. Minuman yang pahit digandingkan dengan makanan yang manis, minuman yang manis pula digandingkan dengan makanan yang savuri.
Apa jenis gandingan pun, atas citarasa masing-masing; tak ada masalah. Sekarang, kopi pun dah diolah — dengan bermacam jenis sirap dan coklat — menjadi minuman yang manis.
MINUMAN BERSAMA CROISSANT
Jadi, kalau digandingkan minuman yang dah dimaniskan dengan karamel atau sirap kacang hazel bersama croissant — juga dikenali sebagai kroisan, roti bulan sabit atau roti tanduk — mesti rasanya berkali ganda lebih manis kan? Tak semestinya.
Pastri, sama seperti roti; tak semestinya manis. Kalau tak ditambahkan apa-apa, rasa croissant lebih kurang roti yang diletakkan mentega tetapi lebih rangup dan gebu kalau dimakan fresh from the oven.
Diisikan coklat menjadi manis, diisikan sambal menjadi pedas, dan kalau diisikan sapuan mayonis dan ketulan tuna pula jadilah lemak masin. Memang versatil, croissant bukan hanya dimakan dengan mentega dan jem.
Di Richiamo Coffee baru ni, penulis cuba dua jenis croissant — chocolate lava dan salted egg yolk. Digandingkan pula dengan secawan salted caramello latte dan secawan biscotti chocolate — kedua-duanya sejuk.
Croissant berperisa lahar coklat mempunyai rasa yang manis. Yang berperisa kuning telur masin pula — macam namanyalah — rasa masin. Yang mana satu agaknya lebih sesuai digandingkan dengan kedua-dua minuman tadi?
BISCOTTI CHOCOLATE DAN SALTED CARAMELLO LATTE
Antara salted caramello latte dan biscotti chocolate, biscotti chocolate — yang dah ditambah krim putar — lebih manis. Di atasnya pula digerimiskan sirap coklat dan ditaburkan biskut — atau biscotti — hancur yang rasanya seakan-akan oreo.
Taklah terlalu manis macam air coklat yang penulis pernah beli dari Zus Coffee dan Coffee Bean and Tea Leaf. Tapi lebih manis berbanding dark choco latte yang penulis minum di Gigi Coffee.
Salted caramello latte pula lebih ringkas, tak ada krim putar atau sebarang toping. Rasa karamel sedikit manis, tapi rasa masinnya agak subtle — kalau disuruh teka nama air penulis takkan sebut "salted" pun.
Untuk air sejuk, walaupun lebih sukakan rasa salted caramello latte; penulis sebenarnya lebih sukakan jenis frappe atau ice blended seperti biscotti chocolate tadi.
Jadi kalau penulis ke sini lagi untuk minum air sejuk penulis mungkin akan pesan ice blended salted caramello cappuccino — beza harga tak sampai seringgit pun.
CROISSANT CHOCOLATE LAVA DAN SALTED EGG YOLK
Untuk croissant chocolate lava mungkin ramai dah boleh teka macam mana rasanya, sos coklat yang likat dan sedikit manis. Lebih kurang macam kek coklat lava, cuma gantikan kek dengan croissant.
Saiz croissantnya besar — dua kali lebi besar daripada croissant yang penulis biasa makan — jadi memang banyak ruang untuk masukkan sos terutamanya di bahagian tengah.
Yang penulis tak sangka, walaupun untuk perisa salted egg yolk, ada juga sos di bahagian tengah — seperti campuran mentega dan perasa kuning telur masin. Sos salted egg yolk tak terlalu masin tapi lemaknya memang terasa.
Bahagian atas croissant salted egg yolk ada satu lapisan rangup berperisa kuning telur masin — kurang masin berbanding inti di dalam. Cuma, lapisannya mudah hancur, jadi akan berterabur ketika dipotong.
Croissant dihidang menggunakan piring khas boleh ditindan yang berbentuk seperti sebuah croissant. Tak menggunakan banyak ruang dan cantik dilihat, tapi menjadikan komposisi gambar yang diambil dengan kamera kelihatan sedikit janggal.
CROISSANT MANIS ATAU MASIN?
Berbanding chocolate lava, croissant salted egg yolk mempunyai bahagian luar yang lebih rangup dan bahagian dalam yang lebih lembut. Dari segi tekstur, penulis lebih sukakan croissant salted egg yolk.
Sebagai orang yang kurang makan manis, penulis lebih sukakan kombinasi salted caramello latte dan croissant salted egg yolk. Bagi yang mempunyai sweet tooth atau bergigi manis, mungkin lebih sukakan biscotti chocolate dan croissant chocolate lava.
Menu | Harga |
---|---|
Ice Blended Biscotti Chocolate | RM10.50 |
Krim Putar | RM2.50 |
Ice Salted Caramello Latte | RM9.90 |
Chocolate Lava Croisant | RM8.90 |
Salted Egg Yolk Croissant | RM8.90 |
Kalau mencari alternatif kepada Starbucks dan Coffee Bean and Tea Leaf, bolehlah datang ke Richiamo. Selain daripada dua perisa tadi, ada juga croissant berperisa hazelnut lava dan chicken & cheese slice.
Makanan lain yang ada pula ialah kek, donat, macaron, muffin, scone, danish, dan makaroni dan keju. Untuk makanan yang lebih berat, ada pasta dan juga nasi putih berlauk — boleh ke laman sesawang Richiamo Coffee untuk menu selebihnya.
Post a Comment