Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar : Pencinta Pekasam dan Bahulu Wajib Datang Ke Sini

Pekasam ikan Pekan Rabu
Di Kelantan ada Pasar Siti Khadijah, di Terengganu ada Pasar Payang, di Perlis ada Arked Niaga Padang Besar, di Kedah pula ada apa? Di Kedah ada Arked Tanjung Dawai dan Kompleks Pekan Rabu.

Empat daripada lima tadi penulis dah pernah ceritakan dalam artikel berasingan, cuma Kompleks Pekan Rabu je belum. Sebab, sejak penulis mula aktif menulis artikel inilah kali pertama penulis ke Pekan Rabu di Alor Setar.

PEMBINAAN SEMULA KOMPLEKS PEKAN RABU

Gerai jualan dan pengunjung di Pekan Rabu
Cumanya, Kompleks Pekan Rabu yang ada sekarang bukanlah kompleks yang dibina pada tahun 1921 dulu. Tetapi yang dibangunkan semula di jalan yang sama — Jalan Tunku Ibrahim — selepas 2014 dan siap pada tahun 2018.

Kalau dibandingkan dengan pusat membeli-belah yang lebih moden seperti Aman Central — cuma 1 kilometer dari Pekan Rabu — jauh berbezalah rekaan dalaman bangunannya — tak berpendingin hawa dan lebih sempit.

REKA BENTUK DALAMAN PEKAN RABU

Pandangan dari tinkgat paling atas ruang niaga Pekan Rabu
Kalau pernah ke Kompleks Pertama di Kuala Lumpur — bersebelahan sogo — ada satu kawasan dalam kompleks yang mempunyai pelan lantai atau reka bentuk dalaman yang sangat mirip dengan Pekan Rabu.

Walaupun dibina semula selepas 2014, bahagian dalamnya masih mengekalkan reka bentuk lama — sama seperti Pekan Rabu yang dulu — yang banyak berbeza cuma rupa luarannya.


Alamat: Jalan Tunku Ibrahim, Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah.
Waktu: Isnin - Ahad (10am - 8pm).

Laluan pada setiap aras yang dihubungkan oleh tangga di bahagian hujung dan tengah laluan tak membentuk satu bulatan, cuma ada pada sebelah bahagian bangunan. Jadi, jumlah aras kelihatan dua kali lebih banyak.

Sotong, udang dan ikan kering
Walaupun tak berpendingin hawa, berada di dalam Pekan Rabu tak terasa panas atau berbahang — ada kipas gergasi. Mungkin reka bentuknya yang lebih terbuka — tambah pula silingnya yang tinggi — disengajakan untuk pengudaraan yang lebih baik.

Mungkin suasana akan jadi lebih panas kalau ada lebih ramai orang. waktu penulis ke sini keadaan agak lengang.

SYURGA PEKASAM

Antara pekasam yang ada di Pekan Rabu
Berbanding Arked Tanjung Dawai, di Pekan Rabu lebih banyak barangnya. Apa yang ada di Arked Tanjung Dawai — antaranya pekasam, ikan masin dan kudapan — ada lebih banyak di Pekan Rabu.

Kepada yang mencari pekasam, ikan masin atau makanan kering, boleh terus ke tingkat paling atas dengan lif daripada tempat parkir bawah tanah. Belum pernah lagi penulis tengok tempat yang menjual pekasam sebanyak ni.

Bermacam-macam jenis ikan pekasam yang diperagakan di gerai jualan
Di sini ada banyak jenis ikan yang dijadikan pekasam, antaranya ikan keli, lampam, gelama, sepat, tilapia, puyu, kembung dan haruan. Ada pekasam yang diletakkan dalam bekas makanan dan ada juga yang disusun bertindan-tindan.

Peminat pekasam memang wajib singgah di Pekan Rabu, mungkin ada lagi ikan lain — selain yang penulis senaraikan tadi — yang dijadikan pekasam. kalau tak silap pekasam daging pun ada.

BAHULU PANAS-PANAS

Antara gerai bahulu di Pekan Rabu, Emanis Bahulu Panas
Penulis perasan ada banyak juga kedai yang menjual bahulu yang baru dibakar dan masih panas. Boleh tengok sendiri proses pembuatan bahulu yang dilakukan di kedai menggunakan mesin dan ketuhar komersial — proses lebih pantas dan hasil lebih banyak.

Apa lagi yang ada selain pekasam dan bahulu? Kacang seperti gajus dan pistachio, kuih seperti karas, kapit, bahulu, peneram dan loyang, serunding, jeruk dan manisan seperti dodol dan lempuk. Di aras bawah pula ada medan selera.

Reka bentuk aras gerai jualan Pekan Rabu
Ada juga kedai kraftangan, alat kelengkapan solat, kain dan pakaian. Kalau ada yang mencari songkok dan kopiah, pun ada. Daripada barang yang dijual di Pekan Rabu, mesti ramai yang akan datang mencari persiapan menyambut hari raya.

Penulis datang pada hari minggu, lengang. Kalau datang pada hujung minggu, mungkin lain ceritanya. Mungkin juga, betulkan penulis kalau salah; Pekan Rabu yang memuatkan sehingga 355 ruang niaga ni tak sepopular Pasar Payang dan Pasar Siti Khadijah.

PARKIR SEDIKIT SEMPIT UNTUK SUV DAN MPV

Kanak-kanak di hadapan kiosk yang menjual mainan dan minyak gamat
Kalau datang ke Alor Setar, jangan lupa ke Pekan Rabu. Cuma, parkir bawah tanahnya, walaupun boleh memuatkan sehingga 203 buah kereta dan 118 buah motosikal; mungkin tak dapat menampung pengunjung pada hari cuti jadi akan ada yang terpaksa letakkan kenderaan di luar.

Parkirnya juga sedikit sempit untuk sebuah SUV atau MPV, terutamanya apabila meletakkan kereta bersebelahan dengan tiang. Jadi akan ada kereta yang diletakkan rapat ke sebelah kiri atau kanan kotak parkir — kalau terpaksa, merapatlah ke sebelah kiri walaupun tiang di sebelah kiri.

Sebuah ruang niaga yang dipenuhi kotak
Sayangnya tak sempat ambil gambar bahagian depan Pekan Rabu, sebab tu penulis cuma ada gambar bahagian dalam. Tandanya perlu ke Pekan Rabu lagi selepas ni, lagipun penulis masih belum naik Menara Alor Setar dan melawat Masjid Zahir.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top