Mushroom Melt Burger dan The Flipper di Burghub.co Bandar Perda, Pulau Pinang

Burger daging bersama salad iceberg, bawang dan jeruk timun
Memang puas hati bila dapat makan burger gourmet — daging tebal, sos istimewa, bahan premium. Tapi, penulis sebenarnya sukakan sesuatu yang lebih casual. Sesuatu yang lebih ringkas dan tak mengoyakkan poket kalau pergi setiap minggu.

Lebih baik kalau ada tempat duduk untuk makan secara dine in macam di restoran makanan segera. Kita dah ada tempat yang menyediakan apa yang penulis nak daripada sebuah kedai burger, tapi kebanyakannya bukan jenama tempatan.

Di Pulau Pinang, sebelum ni penulis pernah cuba burger di TheFat.Burger, Bayan Baru. Sedap juga Triple Cheeseburger — dengan tiga jenis keju, bukan tiga patti — yang penulis cuba, tapi penulis perlukan sesuatu yang lebih ringkas.

BURGHUB.CO

Bahagian hadapan restoran Burghub.co
Kali ni, penulis cuba pula burger di restoran Burghub.co di Bandar Perda, Pulau Pinang. Dah dibuka lebih daripada setahun, tapi penulis baru dengar tentang restoran ni di penghujung Febuari 2024.

Selama penulis ke Bandar Perda — untuk jalan-jalan di uptown, makan char kuetiau di Wadie Perda Char Kuey Teaw atau naan tandoori di restoran Kapitan — tak pernah sedar pula tentang kewujudan Burghub.co.


Alamat: 50, Jalan Perda Barat, Bandar Perda, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Waktu: Sabtu - Khamis (3pm - 11pm), Jumaat (3:30pm - 11:30pm).

Pada waktu malam, lampu yang dipasang di dalam dan bahagian depan kedai menjadikan kedai ni yang terpaling terang berbanding kedai-kedai lain di lorong yang sama — banyak juga kedai dan pejabat yang dah tutup pada waktu malam.

Rekaan dalamannya sedikit sebanyak mengingatkan penulis kepada Burger King. Mungkin sebab temanya yang menggunakan warna coklat, kelabu dan putih. Susunan meja dan kerusi kemas, boleh memuatkan sehingga 36 orang di bahagian dalam dan 12 orang di bahagian luar.

Papan menu digital di kaunter pembayaran Burghub.co
Di Burghub.co ada lebih kurang 13 pilihan burger daging, 4 pilihan burger ayam, 1 pilihan burger ikan, dan 3 pilihan cheesesteak. Harga bermula daripada RM14.80 sehingga RM25.80 secara a la carte. Tambah RM5 atau RM4 untuk pesanan kombo bersama air dan kentang goreng.

Selain burger dan cheesesteak, ada juga ayam goreng Korea, lasagna, nugget dan jejari mozzarella. Minuman yang ada di sini pula antaranya kopi, teh dan frappe. Boleh ke Burghub.co untuk dapatkan menu penuh.

Mushroom melt Burger dan The Flipper
Dua menu yang penulis cuba ialah Mushroom Melt Burger secara set bersama kentang goreng dan air berkarbonat Sprite, dan The Flipper secara a la carte. Selain Sprite, ada juga pilihan antara Coca-cola dan Fanta berperisa anggur atau oren.

MUSHROOM MELT BURGER

Mushroom Melt Burger, burger bersama cendawan shitake dan sos truffle
Patti daging tebal — tak pasti berapa gram — dan tak kering. Cumanya, penulis harapkan sebuah burger yang lebih bersos — macam burger mushroom swiss Burger King — sebab namanya "melt" dan katanya ada gunakan sos atau sapuan truffle.

Cendawan tak terlalu banyak, menggunakan jenis shitake. Bahan-bahan lain yang ada ialah salad iceberg, bawang, jeruk timun dan kepingan keju cheddar. Secara keseluruhan, sedap dan mengenyangkan.

Patti burger masih ada bahagian yang sedikit kemerah-merahan, bagi penulis tak ada masalah sebab dah biasa dengan daging yang dimasak medium dan medium-well. Cuma, ada juga tergigit bahagian otot yang keras.

THE FLIPPER

Burger ikan The Flipper dengan roti baguette
Burger ikan dihidang bersama baguette menggantikan ban, jadi saiznya lebih panjang — boleh dibahagikan kepada dua. Bayangkan fish n chip berjenama Pacific West yang diapitkan dengan baguette yang dibelah dua.

Tepung ikannya rangup, isi ikan pula tebal dan flaky, tak lembik macam ikan dory yang penulis biasa makan di kedai. Penulis dapat lebih banyak sos pedas berbanding sos tartar, lebih suka kalau sos tartar yang lebih.

Isi ikan yang tebal dan berkeping
Secara peribadi, penulis memang sukakan burger ikan jadi tak mustahil penulis datang ke sini semula hanya untuk makan burger ikan dan bukannya daging. Lagipun, agak susah nak dapatkan burger ikan daripada gerai burger tepi jalan.

CHEESY FINGER

Jejari keju mozzarella yang diregangkan
Jejari berkeju, bentuk dan rasanya agak familiar. Teringat pula Mozzarella Stick yang penulis makan di TheFat.Burger, bezanya di Burghub.co jejarinya menggunakan lebih banyak serbuk roti.

Kerangupan dan kebolehtarikan atau kebolehregangan kejunya hampir sama, tapi sos yang digunakan di TheFat.Burger lebih sedap walaupun di Burghub.co harganya lebih murah. Antara sos marinara dan sos mayo pedas, dah tentulah penulis lebih sukakan marinara.

MACAM RESTORAN MAKANAN SEGERA TAPI TAK SEGERA

Rekaan dalaman restoran Burghub.co
Rekaan dalaman dan menunya nampak seakan-akan restoran makanan segera, tapi pesanan penulis — dine-in dan bungkus — ambil masa lebih kurang 30 minit untuk siap walaupun belum full house.

Mungkin kekurangan staf di bahagian dapur, ataupun memang bukan objektif restoran untuk menjadi alternatif kepada restoran makanan segera lain yang ada diluar. Ada Wi-Fi, tapi kata laluan tak ditulis pada resit pembelian atau di mana-mana ruang restoran yang mudah dilihat.

LEBIH SEDAP SECARA DINE-IN

kentang goreng yang ditaburkan serbuk cili atau paprika
Berbeza dengan burger yang penulis makan secara dine-in, patti daging pada burger — Classic Cheese Burger — yang penulis beli secara bungkus sedikit kering. Kebiasaannya, daging akan menjadi lebih kering apabila sejuk. Masalah ni dapat dikurangkan kalau sos atau mayo dilebihkan.

Satu lagi makanan yang penulis bungkus, Classic Philly Cheesesteak sedikit mengecewakan. Sos keju yang penulis dapat kurang rasa keju dan warnanya tak kekuningan macam yang diiklankan, putih seperti mayo tetapi lebih masin. Dagingnya pula macam ada campuran daging cincang yang sedikit keras.

Bungkusan kertas tanpa jenama
Mungkin ada bahan yang dah habis dan digantikan dengan bahan lain sebab waktu penulis pesan pun dah 9:30 malam. Kualiti perlu dijadikan keutamaan, kalau ada bahan yang kurang seeloknya jangan jual menu yang perlukan bahan tersebut.

Untuk dapatkan pengalaman burger yang terbaik di Burghub.co kena makan secara dine-in. Tetapi, kalau makanan yang kita dapat tak cukup sifat berbeza daripada apa yang sepatutnya memang akan kelautlah rasanya — cumanya kita boleh terus buat aduan.

Tisu dengan jenama kedai Burghub.co
Kita bagi peluang kedua, mungkin kalau pesan cheesesteak sekali lagi lepas ni dan makan secara dine-in akan dapat yang lebih elok. Lagipun penulis tak sempat ambil gambar cheesesteak yang dibungkus dan masih belum cuba burger ayam.

HARGA MASIH PREMIUM

6 batang jejari keju bersama sos mayo pedas
Walaupun harga burger di Burghub.co antara yang termurah untuk burger daging berbanding di restoran lain yang menyediakan burger yang hampir sama — ada burger ayam yang lebih murah di tempat lain — harganya masih dikira premium.

Untuk dapatkan harga yang penulis nak, kena beli daripada gerai burger tepi jalan yang menyediakan smashed burger menggunakan patti daging homemade. Dah tentulah lebih murah sebab tak ada tempat makan berpendingin hawa.

Menu Harga
Classic Cheese Burger RM14.80 - a la carte

RM19.80 - combo
Mushroom Melt Burger RM16.80 - a la carte

RM21.80 - combo
The Flipper RM17.80 - a la carte

RM22.80 - combo
Classic Philly Cheesesteak RM17.80 - a la carte

RM22.80 - combo
Cheesy Finger RM14.80

Kenapa masih perlu pilih antara harga dan keselesaan? Sedangkan kalau penulis ke restoran makanan segera macam McDonald's, Burger King dan A&W akan ada promosi yang membolehkan penulis dapatkan kedua-duanya sekali.

Masih ada ruang untuk menu yang lebih murah, patti yang lebih ringan, roti ban tanpa bijan yang lebih kecil, dan keju yang lebih murah.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top