Chalet Seri Idaman dan D'Seafood Paradise: Tempat Memancing dan Makan di Teluk Tempoyak, Pulau Pinang
Memancing bukan sahaja bagaimana kita mencari sesuap makanan, bagi sesetengah orang memancing adalah bagaimana mereka meluangkan masa lapang. Dijadikan sebagai hobi, makan modal tapi seronok.
50 ekor udang hidup dijadikan umpan, belum tentu dapat daratkan seekor siakap. Mungkin ada sesuatu pada hobi memancing — sesuatu yang penulis tak faham — selain daripada memilih umpan, memasang perambut, mengail dan menaikkan ikan.
Cabarannya bila dah berkeluarga dan perlu cari tempat yang sesuai dan selesa untuk memancing. Kalau bermalam, sekurang-kurangnya ada tandas dan tempat tidur, lebih baik kalau ada tempat memasak dan TV.
Sebelum ni, penulis dah pergi ke beberapa penginapan memancing seperti Amir Chalet dan Chalet Nelayan Tiga di Perak, dan Chalet Terapung PPK Merbok dan Sunset D'Bayu di Kedah. Kali ni, penulis ke chalet memancing di Pulau Pinang pula.
CHALET SERI IDAMAN, TELUK TEMPOYAK
Salah satu tempat penginapan yang sesuai untuk kaki pancing ialah Chalet Seri Idaman di Teluk Tempoyak. Terletak betul-betul di atas laut, boleh memancing daripada balkoni bilik sambil makan dan menonton televisyen.
Terletak di kawasan Batu Maung, Pulau Pinang cuma 2.5 kilometer dari susur keluar jambatan kedua Pulau Pinang — Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah — dan 2 kilometer dari Muzium Perang Pulau Pinang.
Alamat: Telok Tempoyak, Batu Maung, 11960, Batu Maung, Pulau Pinang.
Check-In/Check-Out: 3pm/12pm.
Check-In/Check-Out: 3pm/12pm.
Chalet Seri Idaman juga salah satu daripada lima chalet nelayan kepunyaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, LKIM. Harga bilik bermula daripada RM95 untuk bilik standard tanpa balkoni atau RM155 untuk bilik deluxe dengan balkoni.
Kalau tinggal di bilik tanpa balkoni, jangan risau sebab kita boleh juga memancing di sepanjang kaki lima atau ruang memancing di bahagian hujung laluan yang dilengkapi tempat duduk, penapis air dan sinki.
Berdasarkan pengalaman orang lain yang pernah ke sini, ikan yang ada di sini antaranya duri, siakap, kerapu, gelama dan gerut-gerut. Berdasarkan pengalaman penulis pula, ada juga ikan ebek dan pari ketuka.
Waktu ke sana baru ni, ramai juga yang dapat ikan duri dan ketuka. Cuma penulis tak jamin semua orang yang datang akan dapat tarik ikan, bergantung pada waktu dan jenis umpan juga.
Kalau lapar, ada beberapa pilihan tempat makan. Nak jauh sikit boleh ke Medan Ikan Bakar Teluk Tempoyak dalam 550 meter dari chalet. Nak dekat, boleh ke restoran D'Seafood Paradise yang terletak bersebelahan je dengan chalet.
RESTORAN IKAN BAKAR D'SEAFOOD PARADISE
Kalau makan di restoran D'Seafood Paradise, tak perlu keluarkan kereta sebab jarak antara lobi chalet ke restoran cuma 15 meter. Boleh buat pesanan pada waktu petang dan terus datang makan pada waktu malam.
Ikan di sini — antaranya siakap, jenahak, kerapu, pari dan bawal — nampak segar. Waktu ke sini dulu, harga ikan bermula daripada RM7 untuk setiap 100 gram ataupun RM57 seekor bergantung pada jenis ikan.
Harga makanan laut lain macam kepah, udang, sotong dan ketam masing-masing bermula daripada RM5, RM15.50, RM8 dan RM8.50 untuk setiap 100 gram. Kesemua harga makanan laut dah disekalikan dengan upah memasak.
Makanan di sini sedap, cuma harganya sedikit mahal berbanding kedai ikan bakar lain yang penulis pernah pergi. Tapi, itulah harga yang perlu dibayar untuk keselesaan dan kesenangan orang yang tinggal di Chalet Seri Idaman.
Penulis tak pernah makan di Medan Selera Ikan Bakar Teluk Tempoyak, jadi penulis tak dapat komen tentang harga di sana. Cuma penulis agak tertarik dengan sebuah restoran yang berada di atas kelong 100 meter dari chalet.
Mula daripada petang sehingga senja penulis akan nampak orang pergi ke sana dengan bot. Restoran HLY Ocean, sebuah restoran makanan laut all-you-can-eat (kecuali ketam). Nampak menarik malangnya restoran hanya berstatus pork-free.
Sehingga ke hari ni, penulis belum pernah jumpa lagi restoran yang diusahakan oleh orang Melayu dengan konsep yang serupa. Sejarahnya Melayu seorang pelayar dan nelayan yang hebat, jadi kita pun kena ada satu restoran bufet all-you-can-eat di atas laut.
MEMANCING DAN MAKAN
Tempat memancing ada, tempat makan pun ada. Cuma kalau nak mandi laut, nampak macam tak sesuai. Kawasan pantai — beberapa meter dari restoran D'Seafood Paradise — yang ada pun dijadikan tempat nelayan meletakkan perahu atau sampan.
Kalau nak bermain di pantai atau berkelah, lebih sesuai ke Pantai Teluk Bayu atau ke pantai berhampiran Lexis Suites Hotel di Teluk Kumbar — ada banyak juga sampan nelayan di sini tapi pantainya lebih luas.
Bagi penulis, Chalet Seri Idaman sangat sesuai dijadikan tempat memancing para pemancing yang dah berkeluarga. Cuma, penulis tak syorkan untuk datang terlalu awal berbanding waktu check-in sebab ada kemungkinan pagar masuk dan pejabat atau lobinya ditutup.
Dengar cerita, sekarang dah ada bilik dengan private pool macam di Lexis. Yang tu, penulis tak tahulah harganya berapa satu malam.
Post a Comment