Andra by Gula Cakery: Kek, Pasta, Chicken Chop, Burger dan Banyak Lagi Menu Lain
Dulu, kalau nak makan sesuatu yang manis orang akan cari kuih seperti keria, ketayap dan tepung talam. Sekarang ada lebih banyak pilihan — kebanyakannya diambil dari barat — antaranya kek, brownies, cinnamon roll dan croissant berintikan coklat.
Jenis kek yang ada pun dah terlalu banyak sekarang ni, tak macam dulu waktu kita cuma ada kek coklat, kek pisang, kek buah, kek batik, kek gula hangus, kek lapis dan beberapa jenis kek span.
Sekarang kalau cari kek keju pun dah ada lebih daripada 12 jenis kek keju. Kalau setiap tahun kita sambut hari jadi dengan sejenis kek, seumur hidup pun takkan habis cuba kesemua jenis kek yang ada sekarang ni.
KEK PAVLOVA DAN COKLAT DI GULA CAKERY
Gula Cakery, contohnya; menyediakan lebih daripada 50 jenis kek selain daripada lebih daripada 10 jenis tart dan beberapa jenis brownies dan manisan lain. Hanya kreativiti boleh menjadi had kepada berapa banyak jenis kek yang boleh ada.
Di mana nak dapatkan kek atau manisan daripada Gula Cakery? Boleh dapatkan di salah satu daripada enam cawangan kafe atau bakeri milik Gula Cakery, bergantung pada stok. Seeloknya lakukan pesanan awal atau preorder kek yang korang minat.
Penulis dah cuba kek Chocolate Pavlova dan Double Chocolate Nutella di Andra By Gula Cakery yang terletak di Eco Grandeur. Tak sampai 2 kilometer pun dari Mizukicakes Cafe dan Harcover Cafe yang penulis pernah pergi untuk makan burger dan pasta sebelum ni.
Saiz sepotong kek memang besar, kek coklat Nutella tak perlu ceritalah manisnya macam mana. Yang penulis lebih suka, kek pavlova coklat sebab coklatnya tak terlalu banyak dan di atasnya pula diletakkan buah strawberi dan blueberry.
Manisnya just nice, lapisan pavlovanya pun rangup tapi bila dimakan melting di dalam mulut macam gula-gula kapas. Teringat pula pavlova yang penulis makan di Swiss-Belhotel Kuantan dulu.
Cumanya, kek pavlova ni kena habiskan cepat. Makin lama dibiarkan makin mudah hancur sebab ada lapisan yang mencair — sebab tu juga penulis susah nak letakkan potongan kek pavlova secara menegak.
MAKANAN BARAT DI ANDRA BY GULA CAKERY
Kali pertama ke Andra by Gula Cakery, penulis perasan ada banyak juga pilihan makanan selain kek dan pastri. Contohnya — yang penulis sempat cuba — Spicy Buttermilk Chicken Pasta, Grilled Chicken Chop, Hainanese Chicken Chop dan Mushroom Beef Burger.
Sos buttermillk yang digunakan pada pasta tak terlalu likat tapi berlemak. Ketulan ayam goreng tak kering, rasa keseluruhannya pun tak memuakkan sebab ada gunakan daun kari dan serpihan cili untuk rasa yang sedikit berempah.
Antara kepingan ayam yang dipanggang dan digoreng, yang dipanggang nampak lebih kecil — jauh lebih besar rasanya ayam perap Pak Mat Western — mungkin tepung pada Hainanese Chicken Chop menjadikan dagingnya nampak lebih besar.
Alamat: Eco Grandeur, Lot 6232, B49, Puncak Alam, 42300 Sungai Buloh, Selangor.
Waktu: Isnin - Khamis (10am - 10pm), Jumaat - Ahad (8am - 10pm).
Waktu: Isnin - Khamis (10am - 10pm), Jumaat - Ahad (8am - 10pm).
Tak faham kenapa mesti gunakan perkataan "Hainanese", nama yang lebih tepat mungkin "Marinara Chicken Chop" sebab rasa sos yang diletakkan pada atas kepingan ayam lebih kurang macam sos spaghetti — penulis kaitkan hainan dengan rasa yang berhalia.
BURGER KEJU BERCENDAWAN
Patty daging lembu yang digunakan untuk Mushroom Beef Burger pula tebal dan cendawan yang digunakan sama dengan cendawan yang dihidang bersama ayam panggang tadi. Cuma, walaupun dagingnya tak kering, burger secara keseluruhan terasa sedikit kering.
Cendawan dan bawang karamelnya sedap, tapi kalau boleh lebihkan sedikit — tak perlu sampai melimpah — mayonis atau sos istimewa macam burger Istanbul yang penulis makan di Mizukicakes Cafe ataupun Whopper di Burger King, mungkin lebih sedap.
Bagi penulis, daripada keempat-empat makanan tadi yang paling berbaloi ialah Spicy Buttermilk Chicken Pasta diikuti dengan Hainanese Chicken Chop, Grilled Chicken Chop dan Mushroom Beef Burger.
Menu | Harga |
---|---|
Chocolate Pavlova | RM18.00 |
Double Chocolate Nutella | RM18.00 |
Spicy Buttermilk Chicken Pasta | RM23.00 |
Grilled Chicken Chop | RM28.00 |
Hainanese Chicken Chop | RM28.00 |
Mushroom Beef Burger | RM33.00 |
Cafe Latte Panas | RM12.00 |
Matcha Kaw Sejuk | RM12.00 |
Minty Lime Sparkler | RM14.00 |
Strawberry and Banana Smoothie | RM19.00 |
Teh Earl Grey | RM9.00 |
Harga makanan di sini, mungkin sebab lokasi kafenya yang terletak di kawasan utama Eco Grandeur; lebih premium berbanding Secret Recipe, perlu sediakan sekurang-kurangnya RM30 seorang sebelum ke sini. Tak pasti di cawangan lain macam mana.
Kalau nak makan burger, lebih baik makan di restoran atau kedai burger gourmet — boleh cuba Woodfire, The Fat Burger dan MyBurgerLab. Tapi kalau nak makan pasta, kek dan pastri, boleh datang ke Andra by Gula Cakery.
AISKRIM GULA CREAMERY
Di Andra by Gula Cakery juga ada aiskrim yang dijenamakan sebagai Gula Creamery. Ada sehingga 12 perisa, semuanya penulis tak sempat cuba lagi. Boleh dinikmati bersama kon, waffle buttermilk, milkshake atau banana split.
Memang banyak pilihan menu, akan ada sesuatu untuk setiap pelanggan. Menu yang lebih murah untuk kanak-kanak pun ada, contohnya Chicken Tenders & Fries yang berharga cuma RM13, bolehlah bawa satu keluarga ke mana-mana cawangan Gula Cakery.
Post a Comment