Nasi Kandar Pokok Ketapang atau Jamal Mohamed di Butterworth, Pulau Pinang

Nasi Kandar Pokok Ketapang atau Jamal Mohamed
Datang ke Pulau Pinang, wajib makan nasi kandar. Kalau tinggal di Pulau Pinang sekalipun, takkan bosan rasanya makan nasi kandar. Setiap beberapa hari mesti akan pekena nasi kandar ayam bawang dengan kobis.

Antara yang terkenal di Pulau Pinang, Nasi Kandar Pokok Ketapang ataupun Nasi Kandar Jamal Mohamed yang terletak di Jalan Telekom atau Jalan kampung Benggali, Butterworth. Kalau datang tak kena masa memang kena beratur.

Kaunter Nasi Kandar Beratur Pokok Ketapang
Tempat letak kereta banyak di sepanjang lorong terletaknya restoran nasi kandar ni. Cumanya kalau datang untuk makan tengah hari, mungkin kena jalan jauh sikit — elok juga, boleh bakar kalori terlebih dahulu.

Nasi Kandar Pokok Ketapang, Jamal Mohamad atau Jamal Mohamed?

Papan tanda restoran nasi kandar pokok ketapang dengan tulisan Jamal Mohamad
Bagi yang tinggal di Pulau Pinang, mesti dah tahu yang Nasi Kandar Pokok Ketapang ada dua kedai yang terletak tak jauh antara satu sama lain — satu lot warung lama di bawah pokok ketapang dan satu lagi di lot kedai.


Alamat: 4846, Jalan Kampung Benggali, Kampung Benggali, 12000 Butterworth, Pulau Pinang.
Waktu: Isnin - Ahad (24 jam).

Harga di kedua-dua kedai sama je, penulis pernah nampak pekerja nasi kandar tolak lauk dari kedai ke warung. Yang penulis tak faham, kenapa di warung gunakan nama Jamal Mohamad, di kedai pula Jamal Mohamed.

Lauk di warung Nasi Kandar Pokok Ketapang
Bab lauk, memang banyak pilihan. Tapi, penulis tetap akan makan nasi kandar berlaukkan ayam bawang — atau ayam goreng — dan kobis. Mudah nak bandingkan dengan nasi kandar di tempat lain yang penulis cuba dengan lauk yang sama.

Kuah campur likat, ayam bawang cukup rasa, kobis pula tak ada apa yang istimewa berbanding di tempat lain. Keseluruhannya sedap, cuma harganya lebih mahal berbanding yang penulis biasa bayar untuk sepinggan nasi kandar.

Harga Nasi Kandar Lebih Mahal Tetapi Masih Berbaloi

Nasi kandar dengan lauk ayam bawang dan kobis
Untuk lauk yang penulis ambil, harganya dalam RM10.50 — lebih kurang Hameediyah, Pelita dan mungkin juga Subaidah. Bagi penulis, masih berbaloi untuk kualiti dan rasa yang penulis dapat.

Tapi, kualiti bukan jaminan. Penulis pernah makan di sini dan dapat nasi yang sedikit lembik — mungkin nasinya masih baru dimasak. Walaupun kuahnya sedap, rasanya akan berbeza.

Lauk di kedai Nasi Kandar Jamal Mohamed
Berbalik ke bab harga, kalau korang selalu ber-nasi kandar hunting di Pulau Pinang, akan jumpa nasi kandar yang sedap — mungkin juga lebih sedap — pada harga yang lebih murah.

Penulis, walaupun ke Pulau Pinang setiap tahun; baru tahu tentang restoran Nasi Kandar Pokok Ketapang selepas tularnya video mantan perdana menteri Malaysia, Najib Razak ke sini untuk membeli nasi kandar pada tahun 2019 dulu.

Nasi kandar kuah campur dengan telur rebus dan kari ikan
Boleh datang dan cuba sendiri Nasi Kandar Pokok Ketapang kalau datang ke Bagan atau Butterworth, Pulau Pinang. Boleh cuba juga samosa, penulis suka sebab ada banyak bawang — berbeza dengan karipap yang hanya ada kentang.

Gerai dan Warung Mi Goreng Sotong Berhampiran

Gerai Mee Sotong Ariff bersebelahan warung Nasi Kandar Pokok Ketapang
Bersebelahan dengan warung Nasi Kandar Pokok Ketapang ada gerai Mee Sotong Ariff. Bolehlah bungkus mi goreng, mi rebus atau pasembor — semuanya RM6 — untuk dibawa balik dan makan di rumah, dah tak perlu masak atau keluar semula untuk cari makan.

Kalau rajin, boleh juga gerak 450 meter dari sini dan cuba mi goreng di warung Mee Sotong Botha. Secara peribadi, penulis lebih sukakan Mee Sotong Botha berbanding Mee Sotong Ariff.

Post a Comment

To Top