Nasi Putih Bersama Ayam Lemon dan Air Plum Masam di Restoran Garden Seafood Tanjung Malim

Nasi ayam lemon di Garden Seafood Tanjung Malim
Kalau ke restoran masakan cina, penulis mesti akan pesan nasi bersama ayam lemon. Antara restoran yang menyediakan ayam lemon yang sedap, pada pendapat penulis; ialah Pak Li Kopitiam, Sri Pinang dan Homst. Dengarnya, restoran Sri Pinang di Shah Alam dah beberapa bulan ditutup dan kemungkinan besar takkan dibuka semula.

Jadi kalau nak makan ayam lemon selepas ni, pilihan yang ada cumalah Pak Li Kopitiam dan Homst, dan beberapa lagi restoran masakan cina yang penulis tahu berada di sekitar Lembah Klang seperti Haji Sharin Low, Mohd Chan dan Mohammad Chow.

Kicap masin, bawang putih dan cili
Cumanya, cawangan-cawangan restoran yang penulis sebutkan tadi kebanyakannya tertumpu di sekitar Lembah Klang. Setahu penulis, hanya Mohd Chan je yang ada cawangan luar dari Selangor — di Ipoh, Seremban, Ayer Keroh dan Kuantan.

GARDEN SEAFOOD, TANJUNG MALIM

Bahagian hadapan restoran Garden Seafood di Tanjung Malim
Jadi bila penulis dapat makan ayam lemon di Tanjung Malim, Perak penulis berasa sedikit teruja. Lagipun pada waktu tu penulis sendiri tak tahu — atas sebab kurangnya perancangan — nak makan apa di Tanjung Malim.

Tambah pula, ayam lemon pada asalnya tak ada pun pada menu di restoran masakan cina, Garden Seafood yang penulis pergi baru ni — dalam 3 kilometer dari kampus UPSI, kampus Sultan Abdul Jalil Shah.


Alamat: No. 7, 8 & 9A, Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa, 35900 Tanjong Malim, Perak.
Waktu: Isnin - Ahad (11:30am - 10:30pm).

Walaupun restoran Garden Seafood menyediakan tempat makan berpendingin hawa yang dihiasi jam antik atau vintaj, penulis rasa lebih selesa untuk makan di luar sebab ruang makan di dalam nampak lebih sesuai untuk orang yang datang secara berkumpulan atau berkeluarga.

SET NASI PUTIH BERSAMA AYAM LEMON

Nasi putih bersama ayam lemon dan sayur kobis
Ayam lemon yang penulis pesan disediakan bersama nasi putih secara set. Ada juga pilihan masakan lain seperti ayam masak halia, madu atau cili. Kalau dah jemu dengan ayam, boleh cuba ikan atau sotong.

Selepas membuat pesanan, kicap masin, bawang putih dan cili hijau diletakkan di atas meja bersama sekeping tisu, sudu dan garfu. Waktu penulis ke sini pelanggan tak berapa ramai — dalam pukul 3:30 petang — jadi pesanan penulis termasuk air sour plum disiapkan dalam masa tak sampai 10 minit.

Minuman berperisa plum masam
Harga RM11.50 untuk nasi putih bersama ayam lemon — kalau dibandingkan dengan restoran masakan cina lain yang penulis pernah pergi — agak berbaloi, kuah lemonnya pun banyak. Rasanya pula, lebih manis berbanding masam.

Bahagian ayam yang digunakan ialah dada, tak berkulit dan dipotong tak terlalu tebal. Penulis lebih suka kalau gunakan bahagian paha dan berkulit, tapi kalau gunakan paha tak dapatlah harga RM11.50.

Nasi putih bersama ayam lemon dihidang bersama kicap masin, bawang putih dan cili
Sejujurnya, walaupun penulis biasa makan nasi bersama kuah lemon — sesuatu yang mungkin agak pelik untuk orang lain — selepas beberapa suap dah mula rasa muak. Jadi penulis mula makan bersama cili dan bawang putih cincang yang dicampurkan kicap masin tadi.

Sebelum ni, penulis tak pernah makan nasi hanya dengan kuah lemon. Kebiasaannya akan ada lauk lain seperti tomyam, udang masak mentega atau tauhu sizzling, jadi akan ada rasa savuri bercampur dengan manis.

AYAM LEMON LEBIH SEDAP DENGAN NASI PUTIH ATAU NASI AYAM?

Sudu, garfu, bawang putih dan cili
Secara keseluruhan, rasanya ringkas tetapi sedap. Kalaulah ada nasi ayam untuk digantikan dengan nasi putih, dimakan pula dengan sambal nasi ayam dan halia kisar, mesti jauh lebih sedap.

Ini kali pertama penulis cuba air plum masam, rasanya tak sama dengan asam boi dan asam jawa. Ada sedikit rasa seakan-akan buah prun kering yang penulis pernah beli di RnR dan stesen minyak.

Menu Harga
Nasi Putih Ayam Lemon RM11.50
Air Plum Masam RM4.50

Ada banyak lagi menu-menu menarik di Garden Seafood Tanjung Malim, cuma pilihan menjadi terhad kepada set nasi putih atau nasi goreng kalau datang secara solo — melainkan korang tak kisah keluarkan lebih banyak duit untuk portion makanan yang lebih besar.

Post a Comment

To Top