Bukan Untuk Pembenci Sayur: Teppanyaki Kambing dan Oyakodon di Torii Teppanyaki
Dah banyak kali penulis cuba makanan Jepun, tapi kebanyakannya cumalah sushi, onigiri, donburi dan bento sedangkan pilihan yang ada untuk makanan Jepun adalah jauh lebih banyak.
Belum pernah lagi penulis cuba teppanyaki. Sebab teppanyaki yang penulis kenal banyak menggunakan sayur seperti kobis dan tauge, dan penulis pernah menjadi seorang kanak-kanak yang agak cerewet dengan sayur.
Sekarang, penulis dah tak ada masalah dengan kobis dan tauge — dua sayur yang penulis, sebagai seorang kanak-kanak dulu; tak pernah terfikir akan suka. Kalau makan nasi kandar, mesti ada kobis. Kalau makan nasi ayam, sebolehnya nak ada tauge kicap.
Teppanyaki sebenarnya bukanlah sejenis hidangan, tapi teknik dalam menyediakan hidangan menggunakan kuali atau pemanggang berbentuk leper — selalunya bersaiz besar, lebih besar berbanding pemanggang yang digunakan peniaga burger Ramly — yang dipanggil sebagai teppan.
TORII TEPPANYAKI SETIA CITY MALL
Untuk teppanyaki pertama penulis, penulis ke Torii Teppanyaki di pusat membeli belah Setia City Mall — berhampiran je dengan Village Grocer, Myeondong Topokki, Ah Cheng Laksa dan kiosk Llaollao.
Bagi penulis keadaan restoran sedikit gelap, mungkin disengajakan untuk menampakkan restoran lebih mewah. Lampu yang disorokkan disebalik lapisan dinding dengan rekaan seakan-akan bukit juga nampak menarik.
Alamat: LG-74, Lower Ground Floor, Setia City Mall, Bandar Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor.
Waktu: Isnin - Ahad (11:00am - 10:00pm).
Waktu: Isnin - Ahad (11:00am - 10:00pm).
Cumanya, pencahayaan yang sedikit gelap boleh merencatkan kualiti gambar yang diambil menggunakan kamera kompak atau telefon pintar berharga bajet. Jadi akan banyaklah gambar yang sedikit kabur di Google Maps.
Berbeza dengan restoran teppanyaki yang penulis tengok di YouTube, di Torii Teppanyaki makanan tak dimasak di hadapan pelanggan — kecuali kalau duduk di "kaunta seki" berhampiran laluan masuk yang lebih sesuai untuk pelanggan solo, itupun dinding pemisah antara tempat makan dan memasak agak tinggi.
TEPPANYAKI DENGAN HIRISAN DAGING KAMBING
Penulis pesan teppanyaki kambing — selain kambing ada juga teppanyaki cendawan, ayam, daging lembu, saba, salmon, udang dan sotong. Untuk pesanan secara set, akan dapat sup miso, jeruk timun dan mochi.
Memang dah agak, separuh daripada ruang piring dipenuhi sayur seperti taugeh, lobak dan kobis. Hirisan daging kambing yang digunakan tak terlalu tebal, sedikit empuk dan perapannya — seingat penulis — sedikit manis.
Cuma rasa kambingnya tak berapa hamis, jadi rasanya tak jauh beza dengan lembu. Secara blind test mungkin susah nak bezakan antara keduanya. Tapi tak apa lah, sebab harga kedua-dua teppanyaki kambing dan lembu adalah sama.
Dagingnya sedap dimakan dengan nasi bersama cili hijau kisar yang disediakan — rasa cilinya sedikit masam seperti cili jeruk. Cuma, kalau nak rasa lebih puas dan lebih rasa daging dalam setiap suapan bolehlah cuba teppanyaki dengan stik lembu — dagingnya lebih tebal.
DONBURI AYAM BERSAMA TELUR
Makanan lain yang penulis cuba ialah oyakodon, iaitu nasi yang disediakan bersama katsu ayam, telur dadar dan bawang. Katsu ayam sedikit gelap, tapi tak hangit, sedikit rangup dan isinya tak kering.
Sejujurnya, penulis lebih sukakan oyakodon berbanding teppanyaki. Mungkin sebab penulis lebih suka makan nasi bersama ayam berbanding kambing, ataupun sebab penulis sukakan rasa telur dan bawang yang digunakan.
Sedap juga dimakan dengan sayur campur yang disediakan untuk teppanyaki tadi — nak pesan sayur campur secara add-on pun boleh. Kalau ada yang tertanya "kenapa tak pesan je teppanyaki dengan ayam katsu?", jawapannya sebab tak ada.
Teppanyaki dimasak menggunakan teppan jadi lauknya digril atau ditumis — bukannya digoreng secara deep fry — jadi yang ada cuma ayam teriyaki bukannya katsu.
TAKOYAKI
Takoyaki sebagai starter atau pembuka selera bunyinya agak biasa tapi sesuailah dengan tema restoran yang menyediakan makanan Jepun. Bentuknya elok mengsfera dan rasanya sedap, apa lagi nak diharapkan daripada sebiji takoyaki?
Yang penting intinya sotong, bukannya sosej atau filamen ketam macam yang digunakan takoyaki yang dijual di tepi-tepi jalan atau pasar malam. Lagipun, makna "tako" pada perkataan takoyaki ialah sotong.
ALTERNATIF KEPADA SUSHI KING DAN SUKIYA?
Selain daripada teppanyaki dan donburi, ada juga makanan lain seperti nasi goreng, mi goreng, ramen dan okonomiyaki. Cuma di sini tak ada bento macam di Sushi King dan pilihan Gyudon-nya pun tak sebanyak di Sukiya.
Dari segi harga, makanan di Torii Teppanyaki lebih mahal berbanding Sushi King dan Sukiya untuk jenis makanan yang sama. Jadi, sama ada penulis akan datang lagi ke sini bergantung pada jenis menu dan promosi yang ada nanti.
Menu | Harga |
---|---|
Lamb Teppanyaki | RM26.90 RM31.90 |
Chicken Katsu Omelette Don | RM19.90 RM24.90 |
Takoyaki (6pcs) | RM12.90 |
Air Mineral | RM3.90 |
Teh Hijau | RM5.90 |
Minuman Ringan | RM6.90 |
Mocktail Barbican | RM18.90 |
Harga minuman contohnya, bagi penulis; agak mahal jadi penulis cuma pesan teh hijau dan air mineral. Tapi kalau korang ada banyak duit lebih, boleh cuba pesan mocktail Barbican yang — pada penulis — cara penyediaannya sangat menarik dan unik.
Secara keseluruhannya — selepas ditolak tepi bab harga — walaupun tak ada wow factor yang penulis boleh kongsikan selain daripada jeruk timunnya berwarna merah, penulis masih berpuas hati dengan rasa dan cara makanan disediakan.
Selain Setia City Mall, korang boleh juga ke cawangan Torii Teppanyaki di The Exchange TRX, The Gardens Mall, MyTOWN Shopping Centre, IPC Shopping Centre, Paradigm Mall PJ dan KL Gateway Mall.
Buat masa ni, hanya cawangan MyTown je yang ada pengesahan halal daripada JAKIM. Namun, logo halal juga digunakan di cawangan Setia City Mall dengan disclaimer atau penafian menggunakan perkataan "(MyTOWNKL)" di bawah logo tersebut.
Post a Comment