Nasi Kandar Ayam Negro yang Bikin Ketagih di Restoran Nasi Kandar Ali, Bukit Mertajam
Di setiap restoran nasi kandar yang penulis kongsikan sebelum ni, mesti penulis akan makan dengan ayam goreng atau ayam bawang. Bagi penulis, tu pilihan yang lebih selamat berbanding ayam masak madu, kurma atau merah.
Tapi, kalau penulis ke sebuah kedai nasi kandar di sebelah stesen teksi pekan Bukit Mertajam, Pulau Pinang mesti penulis akan makan nasi kandar dengan ayam masak hitam — bukannya ayam bawang.
NASI KANDAR ALI, BUKIT MERTAJAM
Tak ramai orang luar yang tahu tentang restoran Nasi Kandar Ali, tapi penduduk tempatan di sekitar Bukit Mertajam sanggup beratur seawal selepas subuh untuk makan di kedai nasi kandar berstatus lejen ni — bukan sebab terkenal tapi sebab dah ada sejak 1948.
Selalunya kalau ke kedai nasi kandar penulis akan minta kuah campur dan lauk diletakkan atas nasi. Cuma di Nasi Kandar Ali dan Hameediyah je penulis pernah makan secara hidang bersama keluarga.
Alamat: 243, Jalan Pasar, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Waktu: Isnin - Ahad (6:00am - 4:00pm & 6:00pm - 4:00am).
Waktu: Isnin - Ahad (6:00am - 4:00pm & 6:00pm - 4:00am).
Datang ke sini wajib makan ayam masak hitam. Di Nasi Kandar Ali, ia lebih dikenali sebagai ayam negro. Kalau dilihat dari sudut yang salah, sudut sejarah yang tak ada kena mengena dengan negara Malaysia, agak kontroversi dan bersifat rasis perkataan negro tu.
NEGRO BERMAKNA HITAM DALAM BAHASA SEPANYOL
Tapi, perkataan negro yang berasal daripada bahasa sepanyol dan portugis bermakna hitam, sama seperti perkataan perancis noir. Kedua-dua perkataan negro dan noir berasal daripada perkataan Latin niger.
Kenapa dipanggil ayam negro dan bukannya ayam masak kicap? Sebab rasa dan cara ia dihidang sangat berbeza dengan ayam masak kicap, nak panggil masak hitam pun macam kurang tepat sebab kuahnya tak sama dengan daging masak hitam.
Ayam negro ni macam ayam goreng yang diletakkan kuah berminyak dipenuhi rempah ratus yang telah digoreng. Tak tahulah nama kuahnya apa, boleh jadi kuah negro, kuah hitam, sambal hitam atau sambal tahi minyak — tak kisah apa namanya penulis selalu akan minta lebih.
Ada beberapa tempat lain je yang ada sambal berwarna hitam yang berempah dan sedikit pahit ni, antaranya sambal Vanggey di restoran Nasi Vanggey. Tapi, sambal Vanggey yang penulis cuba 4 tahun lepas tak dapat lawan sambal hitam di Nasi Kandar Ali.
Ada dua jenis sambal yang penulis suka makan dengan nasi kandar, sambal hitam macam yang ada di Nasi Kandar Ali dan Nasi Vanggey, dan sambal kelapa macam yang ada di Uncle Chen Gulai House.
Kalau korang belum pernah makan nasi kandar dengan sambal-sambal tadi, kena cuba. Ataupun, kalau korang suka makanan pedas boleh cuba makan dengan sambal ayam gepuk yang pedas berlemak tu, pun ok.
Ayam negro memang femes, tapi jangan pandang sebelah mata menu-menu lain. Sotong, udang, kepala ikan dan pari pun ada bagi yang suka makanan laut, kebanyakannya dimasak hitam atau gulai.
BEZA DULU DAN SEKARANG?
Selama penulis makan di Nasi Kandar Ali, perasan juga perubahan pada rasa berbanding dulu dan sekarang. Lauknya sekarang, sejak pemiliknya mula ambil pekerja dan kerap balik India; lebih masin — dulu lebih tawar.
Gulai di sini tak semuanya likat macam di Hameediyah, ada juga yang ceroi macam kuah bawangnya. Gulai campurnya dah cukup likat, jadi tak perlu risau kalau sotong dan udangnya tak berapa berkuah.
Orang yang datang ke Nasi Kandar Ali mesti akan makan nasi dengan gulai campur dan sambal tahi minyak. Belum pernah lagi penulis nampak masak kurma, merah ataupun madu macam di kebanyakan kedai nasi kandar lain.
Kalau cuma makan nasi gulai campur dengan ayam negro dan kobis, dalam RM10. Bahagian ayam dipotong empat, rasanya tak dapat harga macam ni kalau di Hameediyah, Nasi Kandar Pokok Ketapang atau Hussain Nasi Kandar.
Kalau datang ke Pulau Pinang, khususnya Bukit Mertajam bolehlah cuba makan di Nasi Kandar Ali. Parkir agak susah sebab kebanyakan petak yang ada dah ditempah khas oleh kedai-kedai berdekatan.
Tak sampai 100 meter dari Nasi Kandar Ali, ada satu lagi kedai mamak lejen — Restoran Zahir & Noordin. Di seberang jalan berhadapan Zahir & Noordin ada tempat parkir berbayar untuk orang yang susah nak dapatkan parkir.
Menu | Harga |
---|---|
Nasi Putih | RM1.50 |
Udang Goreng Rempah | RM7.50 |
Sotong Masak Hitam | RM10.00 |
Ayam Negro | RM6.00 |
Ikan Pari | RM6.00 |
Ikan Kari | RM5.50 |
Ais Kosong | RM0.30 |
Teh Ais | RM1.80 |
Teh O Ais | RM1.60 |
Limau Ais | RM1.80 |
Kopi O Ais | RM1.60 |
Kalau rajin jalan jauh sikit boleh cuba parkir di sebelah perpustakaan. Kemudian, bolehlah cuba kedua-dua kedai, nak makan ayam negro boleh ke kedai Nasi Kandar Ali, nak makan nasi tomato boleh ke Zahir & Noordin.
Nak tengok apa yang terbaru di Nasi Kandar Ali boleh ke laman Facebook Ali Nasi Kandar Bukit Mertajam.
Post a Comment