Chicken Chop dan Spaghetti di Ayla Steakhouse, Sunway Putra Mall

Spaghetti dan chicken chop di Ayla Steakhouse
Mencari makan sewaktu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tak sepatutnya susah, sebab ada banyak gerai dan trak makanan yang disediakan. Yang susah ialah mencari tempat untuk makan.

Waktu penulis ke sana tahun 2024 ni, ada satu kawasan kecil je yang disediakan tempat duduk dan meja. Itupun, seingat penulis; terletak di bawah jejambat bersebelahan Jalan Tun Ismail, berlantaikan tanah yang beralaskan papan.

Tapi sedikit lecak dan tak rata, sebab papan yang digunakan pun dah menjadi lembik — mungkin papan diletakkan selepas hujan — dan mula menunjukkan tanda-tanda kerosakan selepas dipijak ratusan atau ribuan pengunjung yang datang ke PBAKL.

Nak makan di atas lantai, ramai orang. Nak makan sambil berdiri, lokching dan keropok lekor bolehlah. Jadi kenalah cari makan di pusat membeli-belah bersebelahan yang dulunya penulis kenal sebagai 'Yaohan' walaupun nama asalnya 'The Mall'.

Pemandangan bahagian dalam Sunway Putra Mall dari tingkat 4
Dah lama tak ke Sunway Putra Mall, jadi tak tahulah tingkat berapa medan seleranya kalau ada. Tempat makan yang penulis nampak di tingkat bawah dan atas semuanya restoran, tak jumpa pula medan selera macam di KLCC dan Mid Valley.

AYLA STEAKHOUSE

Bahagian hadapan restoran Ayla Steakhouse
Sedar-sedar dah dekat 9 malam, kebanyakan restoran rasanya dah mula berhenti ambil pesanan selepas pukul 9 malam jadi penulis singgah di sebuah restoran yang berdekatan di aras 4, Ayla Steakhouse.

Pertama kali penulis dengar jenama restoran ni, berdekatan je dengan Dubuyo dan Teh Tarik Place. Kebetulan pada waktu tu ada promosi untuk sebahagian menu barat, mudahlah nak buat keputusan.

Alamat: Lot 4-82, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Chow Kit, 50250 Kuala Lumpur.
Waktu: Isnin - Ahad (10am - 10pm).

Dua menu yang penulis cuba ialah pasta dan chicken chop, kalau ikutkan pada menu namanya Hainanese Chicken Chop dan Spaghetti with Teriyaki Chicken. Tak ada gambar pada menu, jadi waktu pesan tu memang tak tahu makanan macam mana yang penulis akan dapat.

HAINANESE CHICKEN CHOP

Chicken chop dengan sos berwarna merah, kentang goreng dan keropok
Sama macam Hainanese chicken chop di Andra by Gula Cakery, Ayla Steakhouse pun gunakan sos berwarna merah yang rasa seakan-akan sos spaghetti atau marinara. Bezanya ada sayur frozen — macam yang ada pada nasi goreng cina — pada sos.

Selain chicken chop, ada juga kentang goreng dan keropok. Tapi, tak ada sos lada hitam ataupun sos perang, jadi semuanya — ayam dan kentang goreng — dimakan dengan sos merah tadi.

Rasa ayamnya sedap, cuma bagi penulis nampak sedikit kosong. Selain daripada sosnya sikit, mayonis atau coleslaw pun tak disediakan. Jadi kalau nak dibandingkan dengan spaghetti, penulis lebih sukakan spaghetti.

SPAGHETTI WITH TERIYAKI CHICKEN

Spaghetti dengan cendawan dan ayam
Spaghettinya dimasak macam aglio olio berbahankan cendawan, oregano dan serpihan cili, tak ada sos tomato atau krim. Rasanya tak macam teriyaki, lebih kepada rasa sos tiram dan sedikit manis.

Peliknya, ayam yang digunakan digoreng seperti bertih ayam, belum pernah lagi makan ayam teriyaki yang digoreng tepung. Jadi mungkin pastanya je yang diperasakan teriyaki.

Label dengan tulisan vanilla chip pada kaunter aiskrim
Terus terang, daripada segi visual kedua-dua menu tadi nampak agak pucat. Tambah pula warna makanan dan kertas hidangan yang digunakan hampir sama. Tapi untuk rasa dan harganya yang cuma RM15.90, kira berbaloilah.

Tak tahulah sampai bila promosi ni akan ada, menu lain pun menarik juga cuma harganya lebih keras. Kalau tengok ulasan di Google, sedikit merisaukan. Restoran ni boleh dikira hit-and-miss, ada masa makanannya ok ada masa tak ok.

Menu Harga
Hainanese Chicken Chop RM15.90
Spaghetti with Teriyaki Chicken RM15.90
Air Mineral RM4.00
Teh Pic Ais RM8.90
Harga menu di restoran Ayla pada Jun 2024.

Kalau tak tahu nak makan apa bolehlah cuba makan di Ayla. Daripada apa yang penulis cuba tadi, penulis syorkan untuk cuba spaghetti sebab saiz hidangannya nampak lebih besar dan mengenyangkan.

Post a Comment

To Top