Dua Menu Kena Cuba di Dubuyo: Soondubu Jjigae dan Honey Mustard Chicken Wings
Bercakap tentang restoran makanan Korea, ada beberapa yang penulis pernah cuba macam Myeondong Topokki, Sopoong dan Daseo. Nak kata banyak tu tak juga, sebab belum pernah lagi makan di Mr Dakgalbi, Kyochon, K-Fry dan Nanda Chicken.
Tapi, selang beberapa bulan tetap akan ke Dubuyo juga untuk makan dua menu yang pada pendapat penulis wajib dicuba kalau korang ke Dubuyo — soondubu jjigae dan honey mustard chicken wing.
Kalau masih ada promosi set hidangan untuk dua orang di Dubuyo bolehlah cuba kedua-dua menu tadi sekali dengan air, nasi dan pencuci mulut pada harga tak sampai RM60.
Waktu penulis ke Dubuyo Mini baru ni — satu-satunya Dubuyo yang ada di Pulau Pinang sekarang — tak ada promosi set hidangan untuk dua orang jadi penulis beli kedua-dua set menu tadi secara berasingan.
Tapi, harga menu di Dubuyo Mini lebih murah berbanding Dubuyo, jadi kalau tak ada promosi pun harganya lebih murah. Kedua-dua menu tadi tanpa pencuci mulut dan air cuma dalam RM40 sebelum dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6%.
Rasanya, kalau tambah dua cawan air barli atau teh hijau sekali dengan semangkuk citron dubu pun harganya masih bawah RM60. Dalam RM30 seorang, kalau nak dibandingkan dengan bento di restoran makanan Jepun seperti Sushi King, ini lebih berbaloi.
Walaupun bento juga dihidang dengan beberapa jenis lauk, saiz hidangan soondubu jjigae dan kepak ayam yang penulis dapat jauh lebih besar. Setiap set juga disekalikan banchan dan sup.
SOONDUBU JJIGAE
Ada tiga pilihan soondubu jjigae — makanan laut, daging lembu atau ayam. Penulis cuma pernah cuba ayam dan daging, dan pada selera penulis rasa soondubu jjigae daging lebih intense dan kuat.
Rasa yang kuat pada soondubu jjigae daging sangat berkemungkinan datang daripada lemak yang ada pada hirisan daging lembu yang digunakan. Daging yang digunakan pun mudah dimakan, dihiris nipis seperti shabu-shabu.
Tauhu lembutnya pun banyak, kenalah dengan namanya soondubu atau sundubu yang merupakan sejenis tauhu yang lembut. Bayangkan taufufa yang — selalunya dimakan dengan air gula — sedikit lebih pejal dan dimakan bersama sup.
HONEY MUSTARD CHICKEN WINGS
Setiap kali makan ayam goreng Korea, pilihan sosnya mesti antara soy sauce, honey atau spicy. Jarang dapat jumpa perisa honey mustard, bebas daripada rasa masin kicap dan pedas cili.
Kepak ayam berperisa biji sawi dan madu ni memang berat dengan sos, bukan untuk orang yang sedang diet. Belum pernah lagi penulis makan yang kurang sos, selalunya terlebih.
Rasa sosnya manis dan sedikit masam. Kalau pernah rasa honey mustard jenama MasterFoods, campur pula dengan sedikit madu dan perahan lemon, lebih kurang macam tu lah rasa sosnya.
Seoul Yam Uyu
Selalunya, kalau ke Dubuyo penulis akan minum air teh hijau atau barli. Cuma kali ni rasa tertarik pula dengan satu iklan air keladi — Seoul Yam Uyu — yang penulis nampak di kaunter.
Yam ialah perkataan Inggeris yang bermakna keladi, dan uyu pula perkataan Korea yang bermaksud susu. Jadi rasa airnya lebih kurang macam aiskrim kon perisa keladi yang penulis biasa beli daripada pakcik aiskrim dulu.
Keunikannya ada pada boba berperisa passion fruit atau markisa yang diletakkan di bahagian atas. Bobanya bukan jenis kenyal, tetapi mudah pecah dan akan memancutkan atau merembeskan gula berperisa markisa yang agak manis bercampur masam.
Cumanya, tak tahulah kenapa pada penulis rasa bobanya tak macam markisa. Rasanya lebih kepada sitrus, macam campuran asamboi dan lemon. Mungkin penulis dah terbiasa dengan rasa markisa yang tak terlalu kuat pada teh.
Menu | Harga |
---|---|
Set Soondubu Jjigae Lembu | RM17.64 |
Set Honey Mustard Wings | RM21.60 |
Seoul Yam Uyu | RM14.05 |
Untuk orang yang cuma datang ke Dubuyo untuk makan, bolehlah skip air keladi ni atau apa-apa air yang ada dalam promosi, dan cuma pesan teh hijau atau barli. Yang penting, kena cuba kedua-dua makanan yang penulis kongsikan tadi.
Memandangkan penulis memang suka sangat soondubu jjigae dan honey mustard chicken wing, nak tahu jugalah apa pendapat korang selepas cuba kedua-dua menu ni. Boleh kongsikan juga menu kegemaran yang korang akan pesan setiap kali ke Dubuyo.
Post a Comment