Stik Sirloin 400 gram yang Tebal dan Berjus di Alwi's Food, Sungai Buloh
Seingat penulis, dalam banyak-banyak restoran yang penulis pernah pergi cuma satu je restoran yang pemiliknya seorang chef selebriti — D'Global Cuisine oleh Chef Zubir.
Teringin juga nak cuba masakan di restoran chef-chef selebriti seperti chef Wan dan chef Ismail tapi masih belum ada kesempatan dan kemampuan. Jadi penulis cuba ke restoran chef daripada YouTube dan TikTok dulu.
ALWI'S FOOD SUNGAI BULOH, SELANGOR
Kali ni penulis ke restoran Alwi's Food di Sungai Buloh, Selangor. Dengar cerita di restoran milik chef Alwi ni ada menyediakan stik sirloin bersaiz besar, tebal dan berharga cuma RM100. Ini bukan kali pertama penulis cuba steak bersaiz besar, sebelum ni dah pernah cuba stik tomahawk seberat 755 gram di Terengganu.
Mungkin ada yang kenal chef Alwi di TikTok ataupun — macam penulis — di YouTube melalui siaran YouTube Destinasi TV. Pernah menjadi hos dalam beberapa episod program di Destinasi TV, seorang chef yang peramah dan tak kedekut ilmu.
Alamat: Jalan Nautika B U20/B, Pusat Komersial Tsb, 40160 Shah Alam, Selangor.
Waktu: Selasa - Ahad (11:30am - 10:30pm).
Waktu: Selasa - Ahad (11:30am - 10:30pm).
Walaupun tujuan utama ke Alwi's Food sudah tentulah untuk cuba stik sirloin, penulis cuba juga beberapa menu utama lain macam ayam gril dan kambing masak merah, dan menu sampingan sebagai pembuka selera seperti kentang putar.
Kentang putar di sini memang ringkas, tak ada apa yang fancy, hanya kentang putar dan sos perang. Rasa kentangnya lemak dan sedikit manis, kalau tak silap bahan utamanya ialah krim memasak, garam dan lada sulah.
Kedua-dua kentang dan sos sedap. Cuma harga kentang putar — selepas diambil kira saiz bahagian yang penulis dapat — agak mahal, mungkin sebab harga kentang russet pun dah naik ke sekurang-kurangnya RM5.90 per kilo.
Menu utama yang pertama sampai ialah kambing masak merah bersama dengan sepinggan nasi putih. Kuahnya nampak macam daging masak merah di kedai siam, tapi rasanya lebih kurang mcm kuah kupang masak masam manis di kedai ikan bakar.
Dagingnya empuk, penulis paling suka bahagian isi yang berlemak. Cuma rasa sedikit pelik apabila dimakan dengan kacang pis. Saiz hidangan pula boleh dimakan dua orang, memang tak ada masalah kalau nak pesan sepinggan lagi nasi putih.
Ada dua pilihan sos untuk ayam gril — lada hitam atau barbeku — penulis pilih barbeku. Rasa sos barbeku macam sos barbeku di Kenny Rogers dicampurkan dengan sedikit sos marinara ataupun sos hainanese chicken chop yang penulis cuba di Andra.
Dihidang bersama kentang goreng dan coleslaw, ayam gril disediakan menggunakan bahagian paha yang diperap. Isinya tebal, cuma saiz piring yang besar menampakkan ayamnya jauh lebih kecil. Secara peribadi, penulis lebih suka kalau dilebihkan sedikit kentang goreng.
BLACK ANGUS SIRLOIN STEAK
Piring yang sama digunakan juga untuk sediakan stik sirloin daripada lembu jenis black angus seberat lebih 400 gram. Kalau dibandingkan dengan saiz ayam tadi yang tak sampai satu per empat pun daripada saiz piring, stik sirloin yang penulis pesan ni memenuhi hampir separuh daripada piring.
Stik yang penulis pesan dimasak medium, jadi bahagian dalam isinya masih sedikit merah. Bagi penulis, medium adalah pilihan yang terbaik untuk stik untuk mengelakkan daging menjadi kering. Bagi yang tak biasa, mungkin boleh cuba medium well.
Dagingnya tak liat, cuma sedikit kenyal jadi perlu dikunyah. Sebahagian lemaknya pula sedikit liat jadi kena potong kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Sangat berbeza dengan barbeku cara texas yang diasap sehingga dagingnya fall off the bone dan mudah dicarik.
Bersama stik ada juga sayur seperti kacang pis, lobak dan tomato ceri, cendawan dan kentang putar sama macam yang penulis makan tadi. Sayur di sini memang ringkas, nampak macam sayur rebus je.
Daripada kesemua menu yang penulis cuba tadi, yang penulis paling suka ialah stik sirloin diikuti dengan kambing masak merah. Sos perang di Alwi's Food — macam yang dimakan dengan kentang putar dan stik tadi — memang champion, sedikit masin tapi kaya dengan rasa.
Kalau rasa tak mampu nak habiskan stik seberat lebih 400 gram, boleh kongsi dengan famili. Ataupun, pesan stik sirloin yang hanya seberat lebih 220 gram. Kalau tak suka daging lembu, mungkin boleh cuba lamb shoulder atau lamb shank.
Cumanya, sebelum pesan mungkin boleh tanya dulu sama ada makanan yang nak dipesan tu datang dengan kentang goreng atau kentang putar. Sebab bukan semua menu disediakan dengan kentang putar, dan kadang-kadang bergantung pada ketersediaan stok juga.
Menu | Harga |
---|---|
Sirloin Steak Black Angus 400+ gram | RM115.50 |
Mashed Potato Cuppy | RM10.70 |
BBQ Chicken Chop | RM22.70 |
Kambing Masak Merah | RM22.70 |
Nasi Putih | RM2.00 |
Teh O Lemon | RM6.90 |
Teh O | RM3.70 |
Harga makanan di Alwi's Food, nak kata murah tak juga sebab penulis boleh dapat makanan yang sama pada harga yang lebih murah di tempat lain. Tapi untuk sos, kentang putar dan stik 400 gram, tak menyesal datang ke sini.
Ada banyak lagi makanan lain selain daripada stik, kambing masak merah dan ayam gril. Seeloknya, sebelum datang ke Alwi's Food pergi tengok dulu senarai menu di laman sesawang Alwi's Food. Jangan lupa buat tempahan kalau nak datang pada hujung minggu.
Post a Comment