Nasi Ayam Hainan dan Mi Wantan di Mee Wantan Killer, Sungai Petani

Nasi ayam Hainan
Berbanding dulu, sekarang dah makin banyak restoran pemilikan orang Melayu yang menjual mi wantan. Tak macam nasi ayam yang kita boleh jumpa di merata tempat termasuklah pasar malam dan medan selera.

Seingat penulis, kali terakhir penulis tulis tentang mi wantan tempatnya di Seberang Jaya. Kali ni, penulis ke sebuah restoran mi wantan di Sungai Petani. Cumanya, niat asal bukanlah untuk makan mi wantan tapi nasi ayam.

MEE WANTAN KILLER

Kaunter pembayaran di restoran Mee Wantan Killer
Nama restorannya Mee Wantan Killer di Sungai Petani, silap penulis datang ke sini untuk makan nasi ayam. Tapi ada orang lain yang pesan mi wantan jadi dapatlah tengok dan ambil gambar macam mana hidangan tersebut disediakan di sini.


Alamat: 30, Lorong 17, Taman Patani Jaya, 08000 Sungai Petani, Kedah.
Waktu: Isnin - Ahad (8:00am - 5:00pm).

Cuma 4 kilometer je dari Plaza tol Sungai Petani selatan, bolehlah datang melalui lebuh raya. Jarak dari pasaraya pun tak jauh, cuma 3 kilometer dari Lotus's Sungai Petani selatan dan tak sampai 100 meter dari Econsave Taman Petani Jaya.

Sup ladu udang
Perasan perkataan 'GUBBOi' tertulis di dinding restoran, bukannya Mee Wantan Killer — nama glemer? Antara menu yang ada di Mee Wantan Killer ialah nasi ayam, mi wantan, bihun sup, ladu, dim sum dan roti bakar yang dijenamakan sebagai roti GUBBOi.

NASI AYAM HAINAN

Nasi ayam hainan bersama sup dan ayam kukus
Ada dua jenis nasi ayam, hainan atau panggang. Kalau datang beramai-ramai untuk makan nasi ayam boleh pesan nasi secara ala carte bersama ayam seekor atau separuh ekor. Contohnya, empat set nasi ayam hainan berharga RM36. Tapi kalau pesan empat pinggan nasi bersama setengah ekor ayam cuma RM31 — RM46 kalau seekor.

Untuk ayam yang dikukus, sepatutnya lebih berjus dan lembut. Tapi takpe, ada beberapa lagi unsur penting penyediaan nasi ayam, contohnya nasi dan perasa. Apa yang kurang pada tekstur ayam, perlu ditebus dengan kelebihan yang ada pada nasi dan sambal.

Halia, cili dan sambal
Ada empat lagi perasa yang kita boleh cuba selain daripada sambal — halia kisar bersama bawang putih, minyak dengan empingan cili, sambal udang dan cili potong. Untuk nasi ayam hainan, sambal dan halia pun dah cukup.

MI WANTAN BERSAMA AYAM CHAR SIU

Mi wantan bersama ayam char siu
Minyak cili dan sambal udang tadi boleh makan dengan bihup sup, sup ladu atau mi wantan. Mi wantan nampak menarik, dihidang dengan wantan goreng dan lauk yang dipilih — antaranya ayam char siu, panggang atau hainan.

Ayam char siu nampak macam sedap, tapi tak dapat nak komen daripada segi rasa sebab bukan penulis yang pesan. Cuma tak faham kenapa tak ada menu nasi ayam dengan char siu ayam — atau penulis terlepas pandang?

Bihun sup bersama ayam
Selain daripada sup ladu udang, menu sampingan lain yang ada ialah sup bebola ikan, sayur pak choy dan tauge kicap — semuanya boleh dimakan bersama nasi ayam. Cuma satu je penulis kurang berkenan dengan tauge kicap di sini.

KICAP DAN PERASA PADA TAUGE KICAP

Tauge kicap
Jenis tauge, walaupun penting; penulis tak kisah sangat. Cuma kicap yang digunakan tu, bagi penulis; macam ada sesuatu yang kurang, warna kicap yang digunakan tu sama dengan kicap yang digunakan pada mi wantan — gelap.

Mungkin jenis kicap atau perasa tak berapa kena. Secara peribadi, lebih suka kalau bawang goreng digantikan dengan minyak bawang putih goreng, dan kicapnya diperasakan dengan lada putih dan minyak bijan.

Kopi susu santan ais
Kalau nak cuba sesuatu yang menarik atau baru, boleh pesan susu gula melaka ais atau air kopi susu santan. Rasa air susu gula melaka lebih kurang macam air susu dengan gula perang yang kita boleh beli di Jomcha atau Tealive — cuma tak ada boba.

Air kopi susu santan pula, bagi penulis lebih sedap berbanding Spanish latte di kafe biru tua yang manis tahap potong kaki tu. Rasa berlemak dan tak terlalu manis, memang berbeza dengan rasa kopi campur susu pekat manis.

Menu Harga
Nasi Ayam Hainan/Panggang RM9.00
Mi Wantan Kicap Ayam Char Siu RM9.00
Bihun Sup Ayam + Telur RM12.00
Tauge Kicap RM5.00
Sup Ladu Udang RM5.00
Kopi Susu Santan Ais RM6.00
Kopi Susu Santan Panas RM4.00
Harga menu di Mee Wantan Killer cawangan Sungai Petani pada Ogos 2024.

Pelanggan di Mee Wantan Killer yang sedang menunggu makanan
Penulis tak buat homework sebelum ke restoran Mee Wantan Killer, sebab tu penulis pesan nasi ayam. Jangan jadi macam penulis, kalau datang ke sini korang cubalah juga makan mi wantan dan roti bakar.

Selain di Sungai Petani, Mee Wantan Killer juga ada cawangan di Kulim. Boleh ikut Mee Wantan Killer di Facebook atau TikTok untuk berita terkini.

Post a Comment

To Top