Nasi Campur Dengan Gulai Ikan Temenung dan Bawal Goreng di Kak Yah Gulai Ikan Temenung

Nasi putih dan ayam masak merah
Jarang tak sedap gulai kari di Kuala Kedah, selalunya likat dan setanding dengan — boleh jadi juga lebih sedap berbanding — gulai kari di restoran nasi kandar sekitar Pulau pinang.

Di Kedah ada satu jenama rempah kari yang penulis tak pernah perasan ada dijual di Pulau Pinang dan Selangor, rempah kari Cap O. Adakah ini rahsia kepada gulai kari yang sedap di Kedah?

Perancangan asalnya ke Kuala Kedah nak cuba makan di Gulai Temenung Tok Piah Claypot, tapi restorannya tutup. Jadi penulis ke sebuah restoran yang nampak lebih humble 400 meter dari sini.

KAK YAH GULAI IKAN TEMENUNG

Nasi campur di Kak Yah Gulai Ikan Temenung
Kak Yah Gulai Ikan Temenung terletak bersebelahan je dengan lot parkir, 100 meter dari Kak Yang Gulai Temenung. Sebelum ni penulis dah pernah kongsikan tentang gulai dan janggut sotong di Kak Yang Gulai Temenung.

Nama restoran — Kak Yah dan Kak Yang — yang hampir sama, mana yang datang dulu penulis tak pasti. Tapi pelanggan di Kak Yang lebih ramai berbanding di Kak Yah. Jadi kalau tak sukakan crowd yang ramai boleh ke restoran Kak Yah.


Alamat: Jalan Kuala Kedah, Taman Seri Marina, 06600 Kuala Kedah, Kedah.
Waktu: Tak dapat dipastikan.

Cumanya, penulis tak tahu waktu operasi restoran Kak Yah sekarang macam mana. Kalau dulu — cerita 4 ke 5 tahun lepas — restoran dibuka setiap hari kecuali selasa dari 8 pagi sampai 5 petang.

Sebenarnya, ada dua lagi restoran yang menyediakan gulai ikan temenung tapi di Kak Yah Gulai Ikan Temenung lebih senang dapatkan parkir. Lagipun, penulis dah pernah cuba gulai dari restoran ni — lulus.

Jambatan di Jalan Marina Harbor
Walaupun tak ramai pelanggan, rasa gulai ikan temenung dia memang sedap. Restoran Kak Yah Gulai Ikan Temenung cuma ada 19 penilaian di Google Maps, sedikit kalau dibandingkan dengan tiga restoran berhampiran lain yang mendapat 521, 173 dan 78 penilaian.

Di Kak Yah Gulai Ikan Temenung, ada lauk yang disediakan macam di restoran nasi campur. Cuma pada waktu penulis ke sini selepas Zuhur dah banyak lauk yang habis, jadi penulis cuma ambil ayam masak merah dan bendi.

GULAI IKAN TEMENUNG

Tiga ekor ikan temenung dalam gulai
Kena pesan kalau nak makan gulai ikan temenung, sebab gulai disediakan panas-panas. Jadi tak dapatlah makan terus, kena tunggu gulainya siap dulu — tak lama pun — baru boleh boleh mula makan.

Gulainya likat dan tak berapa pedas, makan nasi dengan gulai sahaja pun dah sedap macam di restoran nasi kandar Melayu. Saiz ikan temenung atau kembung tak terlalu besar, cukuplah seekor untuk seorang makan.

IKAN BAWAL GORENG

Ikan bawal goreng bersama cili kicap air asam
Kalau tak cukup seekor ikan boleh pesan dua, ataupun pesan je ikan bawal goreng. Jadi ada dua pilihan, nak makan nasi dengan gulai ikan temenung ataupun nasi dengan gulai dan ikan bawal goreng.

Ikan bawal goreng pun disediakan panas-panas jadi tulang di bahagian sirip atas dan bawahnya masih rangup. Nak makan dengan nasi dan gulai boleh, nak makan dengan cili kicap air asam pun boleh.

Nasi campur dengan gulai dan ayam masak merah
Bab harga, susah nak habaq sebab penulis ke sini tiga bulan yang lepas, resit pun jarang ada kalau makan di warung. Yang pasti harganya lebih murah dan berpatutan berbanding di pekan, memang puas hati makan.

Memang susah nak nafikan, gulai di Kuala Kedah ni memang sedap. Luar dari Kuala Kedah pula, seingat penulis; restoran Uncle Chen Gulai House di Kuala Muda, Nasi Kandar D'Cenerai di Baling, dan warung Nasi Kandar Danial di Stadium Darul Aman pun gulainya sedap.

Pelanggan sedang menunggu gulai ikan temenung
Jadi tak peliklah kenapa kita ada nasi kandar Kedah sekarang untuk lawan dengan nasi kandar Pulau Pinang. Setahu penulis dah ada beberapa restoran nasi kandar yang terkenal dari Kedah, antaranya Nasi Kandar Apollo, Nasi Kalut Jitra Mai dan Nasi Lemak Royale Kedah.

Cuma mazhab nasi kandar di Pulau Pinang dan Kedah mungkin sedikit berbeza, contohnya pada warna nasi — putih di Pulau Pinang dan kuning di Kedah. Kalau di Pulau Pinang nasi kuning macam di Hameediyah ialah nasi minyak.

Post a Comment

To Top